DALAM membina satu-satu tamadun, perlulah dihalakan perhatian penuh kepada bahasa ibunda masing-masing supaya kita mampu berfikir dan melakukan inovasi seterusnya bergerak melakukan pembaharuan.” Demikianlah kupasan mantik Syeikh Ali Jum’ah, mantan Mufti Mesir tentang keperluan memperjuangkan martabat bahasa sendiri.

Dalam meniti usia kemerdekaan negara Malaysia yang ke-59 pada 31 Ogos 2016, sesetengah rakyat Malaysia yang masih belum sedar akan kehebatan bahasa Melayu, iaitu bahasa leluhur sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa wajar bermuhasabah diri dan merujuki pakar bahasa tempatan selain membaca pelbagai jenis bahan bacaan ilmiah tentang sejarah perkembangan dan pengembangan bahasa Melayu di Nusantara.

Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu/Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera, lisan dan tulisan.

“Bahasa ialah media perhubungan yang diturunkan oleh Maha Pencipta. Bahasa diturunkan dengan kerangka yang berbeza daripada penurunan agama wahyu. Berbanding dengan agama, bahasa diturunkan sejajar dengan kewujudan bangsa.

Agama tidak diturunkan kepada kaum dan geografi tertentu, sebaliknya diturunkan secara umum untuk semua manusia di dunia. Dengan hal yang demikian, hampir setiap bangsa mempunyai bahasanya sendiri.

Oleh sebab itu, bangsa Inggeris tidak mengamalkan bahasa Melayu, dan bangsa Jepun tidak berbahasa Perancis. Dengan penurunan berdasarkan bangsa, bahasa menjadi anugerah kepada kaum berkenaan.

Oleh itu, bahasa Melayu ialah anugerah ALLAH kepada bangsa dan keturunan Melayu. Lazimnya, sesuatu pemberian istimewa akan dijaga dan dipelihara oleh penerimanya, sebagai tanda penghargaan kepada pihak yang memberi anugerah itu. Untuk menjaga bahasa, kita hendaklah sentiasa menggunakannya dengan betul.” (Suhaimi Mohd Salleh, 28 April 2013)

Dalam sidang media seusai perlawanan akhir Euro 2016 antara pasukan Portugal dengan pasukan Perancis, pengendali pasukan Perancis, iaitu Didier Deschamps melahirkan kekecewaannya atas kekalahan pasukan Perancis dalam bahasa ibundanya.

Begitu juga dengan pengendali pasukan Portugal, iaitu Fernando Santos yang melahirkan kegembiraannya atas kemenangan pasukannya dalam bahasa ibundanya. Kedua-dua orang jurulatih berpengalaman itu sedikit pun tidak berasa kekok tatkala berbicara dengan para wartawan antarabangsa dengan menggunakan bahasa ibunda masing-masing.

Inilah maruah bahasa leluhur yang perlu dipertahankan dan betapa mahalnya nilai bahasa ibunda yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit kerana yang jelasnya “Bahasa Melambangkan Bangsa”.

Hakikatnya, bahasa Melayu perlu dimartabatkan, disayangi, dihormati, dan dimanfaatkan masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dengan betulnya tanpa dicacamarbakan dengan bahasa lain, iaitu bahasa sekerat ular, sekerat belut.

Bahasa Melayu pada masa ini semakin berkembang maju dan menjadi salah satu bahasa asing yang diminati di kebanyakan universiti terkemuka dunia seperti di China, Korea Selatan, dan Jepun.

Hal ini mungkin berpunca daripada pembangunan pesat sektor ekonomi negara di rantau Asia, di samping sebahagian besar penduduk di Asia Tenggara iaitu kira-kira 300 juta orang ialah penutur asli bahasa Melayu.

Tuntas bicara menyulam bahasa, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa bertamadun selain berfungsi sebagai lingua franca sejak abad ke-7 Masihi tidak seharusnya diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak yang tegar menjadi duri dalam daging untuk menidakkan kehebatan bahasa Melayu kendatipun dunia sudah berubah, zaman kian maju.

Hal ini bertepatan dengan ungkapan muluk Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim (2012), “Jangan dibiarkan abad ke-21 ini menjadi zaman terkuburnya bahasa yang gemilang ini di tanah airnya sendiri. Kejayaan bahasa Melayu pada masa ini dan pada masa hadapan terletak dalam genggaman generasi muda sekalian.”