KETIKA remaja, penulis sangat suka bermain bola sepak dengan rakan-rakan sebaya.  Kami bermain di sebuah padang kecil di Kampung Kemelong Sik, iaitu tempat penulis dilahirkan.  

Ketika bermain bola sepak, penulis terkenal sebagai pakar gelecek. Ketika itu, kami belum pernah mendengar istilah gelecek. Kami menggunakan istilah goreng yang bermakna gelecek. Sebelum memulakan permainan, rakan-rakan sepasukan berpesan kepada penulis, “Jangan goreng banyak sangat, hantar bola kepada kami sama.” 

Terdapat sekumpulan remaja di kampung penulis ketika itu yang  menubuhkan kugiran, RJ Band. Ketika RJ Band menjalani latihan, penulis dan rakan-rakan berkumpul untuk menyaksikan persembahan secara percuma.

Terdapat dua ahli RJ Band yang sangat pandai memetik gitar, iaitu Aziz Mahmud dan Ramli Jusuh. Ketika menonton, penulis sering terdengar rakan-rakan memuji Aziz yang pandai bermain gitar. Mereka berkata, “Aziz dan Ramli pandai betul goreng gitar.” Goreng dalam konteks ini bermaksud bermain gitar dengan cekap.

Pada masa-masa tertentu, di Kampung Kemelong terdapat buah berangan. Penulis dan rakan-rakan akan merayau hingga ke hujung kampung untuk mencari buah berangan. Kulit buah berangan agak keras. Buah ini perlu digoreng dengan pasir sungai supaya mudah dimakan.

Aktiviti goreng buah berangan merupakan perkara biasa ketika itu. Kini, buah berangan sudah tidak ada di kampung penulis. Penulis tidak dapat melihat aktiviti goreng buah berangan lagi ketika pulang ke kampung.

Penulis menjadi yatim piatu seusia 11 tahun. Kakak sulung penulis yang bernama Afifah menjadi tempat penulis menumpang kasih. Kakak penulis sangat rajin memasak.  Pagi-pagi lagi dia sudah memasak roti canai untuk penulis dan anak-anaknya.

Ketika makan tengah hari, dia akan memasak gulai dan menggoreng ikan temenung untuk kami.  Setiap hari kami akan makan nasi berlaukkan ikan goreng. Kadang-kadang penulis sendiri yang menggoreng ikan untuk dijadikan lauk.

Pada malam Sabtu, penulis akan curi-curi keluar rumah untuk menonton televisyen di rumah jiran. Di Kampung Kemelong ketika itu, terdapat sebuah rumah sahaja yang mempunyai televisyen. Penduduk kampung akan ke rumah tersebut untuk menonton filem P Ramlee atau filem dari Indonesia. Sebelum filem ditayangkan, penduduk kampung akan berborak sesama sendiri.

Ada seorang dua remaja yang pandai bercerita. Kadang-kadang, cerita mereka itu benar dan boleh dipercayai dan ada kalanya, cerita mereka itu hanyalah rekaan. Di kampung penulis, orang seperti ini dikatakan pandai goreng kerana cerita mereka boleh menyebabkan orang yang mendengarnya terlopong.

Sekali-sekala, Jabatan Penerangan akan mengadakan pertunjukan wayang secara percuma di Kampung Kemelong. Pertunjukan wayang tersebut dikenali sebagai wayang pacak atau Panggung Seri Embun. Ayah penulis merupakan seorang guru agama dan beliau tidak membenarkan kami adik-beradik menonton wayang.  

Penulis mempunyai akal panjang. Penulis akan bersolat Isyak di surau dan terus menonton wayang pacak.  Pertunjukan wayang berakhir agak lewat dan penulis gusar akan dimarahi. Rakan-rakan penulis memberikan saranan, “Hang goreng sahajalah, katakan sahaja ustaz di surau mengajar kitab terlalu panjang.” 

Selesai pertunjukan, penulis melangkah pulang dengan keyakinan_ untuk menggoreng ayah. Penulis menghulurkan tangan melalui celah lantai rumah untuk membuka penyelak pintu. Penulis menolak pintu perlahan-lahan.

Sebaik-baik sahaja pintu terbuka, gedebuk sebiji bantal besar singgah di muka penulis, dibaling oleh ayah. Penulis terlentang di pintu dan tidak sempat menggoreng ayah yang jauh lebih bijak. (Semoga ALLAH merahmati roh ayah penulis yang sangat baik itu).

Kisah yang dipaparkan ini merupakan contoh perkataan yang sama bunyi, tetapi mempunyai makna yang berbeza mengikut konteks. Perkataan yang sama bunyi, tetapi mempunyai makna yang berbeza dinamakan homofon. Dalam makalah ini, perkataan goreng mempunyai banyak makna dan boleh digunakan dalam pelbagai keadaan. Terdapat banyak homofon dalam bahasa Melayu. Hebatkan bahasa Melayu?