“AMBOI, lawanya! Bergembak-gembak. Beringgit-ringgit.” Begitulah kata-kata pujian nenek penulis sambil membelek-belek perhiasan yang terdapat pada gaun yang dipakai oleh penulis ketika itu. “Tak habis seringgit pun. Bukannya beli. Orang bagi.” Demikianlah pula jawapan penulis sebagai tindak balas spontan terhadap pujian tersebut.  

Penulis, yang ketika itu baru berumur tujuh tahun, beranggapan bahawa banyak 'ringgit' yang perlu dibelanjakan jika gaun itu dibeli.  

Dalam dialek Kelantan, 'bergembak-gembak' bermaksud beralun-alun atau berombak-ombak. Perkataan ini digunakan untuk menunjukkan sifat beralun yang ada pada sesuatu benda. Perkataan ini sering digunakan untuk merujuk ciri-ciri sesuatu benda seperti rambut yang ikal dan benda yang berlapis-lapis seperti ropol yang indah susunannya sebagaimana yang terjahit pada baju.

Sememangnya, gaun penulis itu berhias ropol yang berombak-ombak dan bertingkat-tingkat.  

Penulis beranggapan bahawa kata ringgit merujuk kepada mata wang rasmi Malaysia sahaja. Hal yang demikian menyebabkan penulis cepat-cepat memberikan penjelasan bahawa tidak ada ringgit yang dihabiskan untuk membeli gaun tersebut.  

Berbeza dengan penutur dialek negeri lain di Malaysia, orang Kelantan jarang sekali menyebut perkataan ringgit apabila melakukan urusan jual beli.

Sebagaimana mereka menyebut pitis untuk merujuk kepada wang mereka lebih banyak menggunakan perkataan rial sebagai unit mata wang dalam pertuturan mereka walaupun lambang RM jelas tertulis pada wang itu. Kemungkinannya, jenis mata wang rial sudah terkenal sejak sekian lama sebelum istilah ringgit diperkenalkan secara rasmi selepas negara mencapai kemerdekaan. 

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ringgit bermaksud mata wang yang mempunyai nilai tertentu yang dirujuk khas kepada unit mata wang Malaysia (dengan simbol RM).

Selain itu, ringgit juga bermaksud gerigi atau rigi-rigi (gigi-gigi yang selalunya terdapat pada tepi roda pemetik api dan sebagainya). Beringgit-ringgit pula bermaksud bergerigi atau berigi-rigi, dan meringgiti bermaksud membuat ringgit-ringgit pada bahagian tepi sesuatu benda seperti pada besi. 

Dalam dialek Kelantan, ringgit mempunyai makna tersendiri. Pada zaman dahulu, perkataan ringgit digunakan sebagai kata nama yang merujuk kepada perhiasan khas yang dijahit atau dilekatkan pada pakaian mewah termasuk pada mahkota atau tiara. Lazimnya, perhiasan ini terdapat pada pakaian golongan bangsawan atau raja-raja sahaja. 

Perhiasan tersebut terdiri daripada batu permata dan manik-manik yang disusun rapi membentuk lengkung atau keluk pada bahagian tepi baju, selendang atau kain. Pada setiap keluk itu diletakkan pula untaian manik yang kelihatan berjuntaian ke bawah.

Hiasan pada renda dan kerawang itu kelihatan seperti gerigi yang berkilauan dan berayun-ayun apabila orang yang memakainya bergerak. Dari jauh lagi ringgit-ringgit ini akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandangnya, dan selayaknya dipakai oleh golongan kaya sahaja.

Penulis sendiri hanya berpeluang melihat pakaian yang beringgit-ringgit ketika menonton persembahan makyung. Pakaian watak utamanya selalunya dipenuhi perhiasan indah yang berjuntaian, berayun-ayun mengikut gerak tari pelakonnya. Dari situlah penulis mula memahami makna lain bagi kata ringgit, dan tentunya ringgit-ringgit yang ada pada baju penulis itu meninggalkan kenangan yang amat berharga hingga kini.  

Berdasarkan makna tersebut, penulis percaya bahawa kata ringgit dipilih sebagai unit mata wang kita sebenarnya berasaskan makna yang digunakan dalam dialek Kelantan. Ringgit melambangkan kemewahan, taraf dan kedudukan serta darjat seseorang. Semua ini akan diperoleh oleh mereka yang memiliki ringgit.  

Namun demikian, penulis juga berasa gusar apabila memikirkan bahawa sudah terlalu banyak kosa kata dalam dialek kita yang seakan-akan pupus dan tidak diketahui lagi oleh generasi muda. Jelasnya dewasa ini, terlalu banyak orang yang lebih mementingkan ringgit berbanding dengan kelestarian bahasa kita. 

Cintailah bahasa kita.