BAHASA merupakan anugerah Tuhan yang sangat istimewa kepada makhluk-Nya. Bukan hanya manusia yang mempunyai bahasa tetapi makhluk lain seperti haiwan juga berinteraksi dengan menggunakan bahasa. Haiwan saling memahami bahasa sesama mereka. Antara sejenis binatang dengan binatang yang lain, bahasa yang digunakan adalah berbeza.

Dalam kalangan manusia pula, terdapat ribuan bahasa yang digunakan. Bahasa digunakan untuk menyampaikan mesej kepada pihak lain, Ada bahasa bersuara, ada bahasa isyarat, dan ada juga bahasa tanpa suara dan tanpa isyarat iaitu bahasa diam. Dalam diam ada makna yang kadang-kadang lebih bererti daripada bahasa bersuara.

Pada zaman dahulu, budaya risik dan pinang merupakan perkara penting yang perlu dilakukan oleh sesebuah keluarga sebelum majlis perkahwinan dilangsungkan. Apabila seseorang gadis dirisik melalui ibu bapanya, ibu bapa akan mendapatkan persetujuan daripada gadis berkenaan terlebih dahulu.

Menurut cerita orang tua-tua, gadis yang bersetuju untuk dipinang akan mengambil tindakan berdiam diri dan menundukkan kepala. Dalam konteks ini diam membawa makna setuju dan gembira. Bahasa diam yang diamalkan oleh gadis zaman itu difahami oleh keluarganya walaupun tanpa suara. Diam gadis zaman itu, diam ada makna.

Pada Disember 2017 yang lalu, salah seorang rakan sepejabat penulis yang bernama Dr Mohamad Rushdan Azizan telah dilantik sebagai Pengarah Pendidikan Kedutaan Malaysia di Dubai. Pada hari terakhir beliau mengetip kad perakam waktu, kami mengiringinya sambil membuat bulatan.

Ketika Dr Rushdan menyam-paikan ucapan terakhir di pejabat kami, kadang-kadang beliau diam tanpa kata beberapa saat sambil menundukkan kepala. Kami yang berdiri juga diam. Rakan sepejabat yang paling muda, Mohd Luqman Hidayat diam sambil tunduk, dan Pengerusi Kelab Kebajikan, Badaruddin Yeop yang biasanya ceria kini diam sambil merenung ke arah Dr Rushdan.

Kami menggunakan bahasa diam untuk menyatakan perasaan yang bercampur-baur antara sedih dan bangga. Sedih kerana pemergian rakan yang amat baik dan bangga kerana kepakaran rakan sepejabat diterima di peringkat antarabangsa. Kami jelmakan perasaan kami melalui bahasa diam. Diam kami ada makna.

Ketika penulis bertugas sebagai guru disiplin di SMK Sik Kedah, setiap pagi penulis akan menunggu pelajar di pintu masuk sekolah. Penulis dan Cikgu Abdul Latif Salleh hanya berdiri tanpa kata apa-apa kecuali menjawab salam daripada murid. Ada juga murid yang hadir lewat ke sekolah. Kami juga tidak berkata apa-apa terhadap murid yang lewat.

Bagi kami, kehadiran murid ke sekolah sudah cukup baik. Kami hanya diam tetapi murid yang lewat akan tergopoh-gapah datang ke arah kami dan memohon maaf.  Kami tetap diam. Lama-kelamaan tiada lagi murid yang datang lewat ke sekolah. Diam kami penuh makna dan berjaya menyelesaikan masalah murid datang lewat ke sekolah.

Ketika penulis masih kecil dan tinggal di Kampung Kemelong Sik, Kedah, penulis belajar al-Quran di rumah jiran yang bernama Haji Nordin (Semoga roh Pak Wa Din ditempatkan bersama-sama dengan roh orang bertakwa). Kami datang selepas Maghrib untuk membaca al-Quran secara sendiri-sendiri terlebih dahulu. Sebenarnya kami tidak membaca pun, tetapi kami hanya bersembang. Suasana agak bising ketika itu. Pak Wa Din keluar dari biliknya dan berdiri tegak di situ. Kami semua diam. Tindakan Pak Wa Din diam di situ membawa makna supaya kami semua tidak bising. Diam Pak Wa Din membawa makna tersendiri kepada kami.

Diam sebenarnya membawa makna yang pelbagai. Tidak semua masalah dapat diselesaikan melalui arahan bersuara. Kadang-kadang diam memberi kesan lebih mendalam. Oleh itu, ketika kita berbahasa, jangan lupa fungsi bahasa diam. Diam yang ada makna, bukan diam yang menampakkan kebodohan sendiri. Biar jadi diam ubi berisi, jangan jadi diam besi berkarat.