SETIAP bahasa yang diciptakan memiliki keistimewaan tersendiri. Begitu jugalah bahasa Melayu. Bahasa kebangsaan ini mempunyai enam bunyi vokal yang dilambangkan oleh lima huruf.

Daripada kelima-lima huruf tersebut, huruf /e/ menghasilkan dua bunyi iaitu e pepet dan e taling. Agak sukar untuk menjelaskan bunyi sebutan e pepet atau e taling dalam tulisan ini.

Cara mudah untuk menjelaskannya, huruf /e/ dalam perkataan emak disebut sebagai e pepet manakala e taling diwakili oleh perkataan /enak/.

Kekeliruan atau masalah sebutan ini tidak hanya berlaku dalam bahasa Melayu sahaja. Huruf /a/ dalam bahasa Inggeris dibunyikan dengan pelbagai kelainan.

Perhatikan bunyi yang dihasilkan oleh perkataan apple, apartment dan army. Kita dapati terdapat tiga bunyi yang dihasilkan daripada huruf vokal yang sama.

Dalam bahasa Melayu pula, huruf /a/ pada akhir kata sering kali dibunyikan dengan e pepet seperti yang digunakan dalam dialek Johor Riau yang digunakan dengan meluas di selatan dan tengah Semenanjung Malaysia.

Huruf /e/ sering menimbulkan masalah kepada pelajar di sekolah. Kelemahan seperti ini juga berlaku kepada pelajar menengah atas.

Kekeliruan ini terjadi bagi perkataan homograf iaitu perkataan yang sama ejaan tetapi berbeza makna, contohnya, perkataan semak. Perkataan semak yang dibunyikan dengan e pepet bermaksud tumbuh-tumbuhan kecil atau belukar.

Perkataan yang sama jika dibunyikan dengan e taling pula bermakna memeriksa, meneliti atau mengkaji. Selain semak, perkataan homograf yang kerap kita gunakan ialah selak, bela dan perang.

Kamus Dewan merupakan buku yang mengandungi kata-kata dengan keterangan mengenai makna perkataan. Malangnya, kebanyakan pengguna bahasa tidak memanfaatkan kamus untuk merujuk sebutan yang betul.

Apakah sebutan yang betul bagi perkataan peka? Jika kita membelek kamus, huruf /e/ bagi perkataan tersebut dilambangkan sebagai e tanda (ĕ) iaitu cara penyebutannya dengan e taling, bukannya e pepet. Kesilapan membezakan sebutan bagi perkataan homograf sudah tentu akan menimbulkan kesan negatif kepada penutur.

Bahasa Melayu merupakan bahasa standard yang mempunyai struktur yang lengkap dan sempurna seharusnya dijiwai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan.

Keseragaman sebutan akan mewujudkan satu variasi yang dapat digunakan dalam situasi rasmi atau formal. Keadaan ini akan meningkatkan kecekapan berbahasa dalam kalangan pengguna bahasa di samping memantapkan sistem dan struktur dalaman bahasa Melayu agar menghasilkan sistem sebutan yang mantap.

Secara khusus, sebutan yang seragam akan mengurangkan penggunaan pelbagai gaya sebutan malahan menghindarkan penggunaan dialek setempat sewaktu proses pengajaran, pembelajaran dan pemudah caraan di bilik darjah berlangsung.

Berbalik soalan yang menjadi topik ruangan minggu ini, cukupkah sekadar sebutan yang betul? Sebagai pengguna bahasa yang bijak, mereka sepatutnya mengetahui bahawa sebutan merupakan medium penting alat perhubungan atau komunikasi dalam kelompok manusia.

Sebutan yang betul akan menghasilkan percakapan yang baik selain menyerlahkan tingkah laku yang sopan dan tertib. Sebutan yang baik juga akan menggambarkan jati diri penutur yang memiliki ketinggian akal dan budi. Tidak dapat kita nafikan, bahasa sebenarnya menyerlahkan keperibadian bangsanya.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka