PERIBAHASA sering digunakan dalam percakapan pengguna bahasa Melayu. Peribahasa terdiri daripada perumpamaan, simpulan bahasa, bidalan dan kata-kata hikmat. Contoh  peribahasa yang biasa terdapat dalam bahasa Melayu ialah burung terbang dipipiskan lada yang bermaksud sudah bersedia untuk merayakan sesuatu yang belum pasti diperoleh.      

]Jika diselami dengan lebih mendalam, peribahasa tersebut menggambarkan pemerhatian yang teliti masyarakat Melayu pada zaman ini terhadap persekitaran mereka. Maksud burung terbang dipipiskan lada ialah burung yang masih terbang bebas sudah tentu sukar ditangkap tetapi lada sudah dipipiskan (dilumatkan) untuk memasak burung itu menjadi lauk. 

Bukan itu sahaja peribahasa lain juga menggambarkan ketajaman pemikiran penciptanya terhadap alam dan keadaan sekeliling. Kita biasa menggunakan hanya jauhari mengenal manikam.

Terdapat lelucon yang dibuat oleh segelintir pengguna bahasa yang kurang prihatin berkaitan peribahasa ini seperti hanya Johari mengenal Maniam, akibatnya bahasa kita tercemar, kesantunan dalam peribahasa juga tercalar. Makna jauhari ialah ahli atau penjual batu permata. Manikam ialah batu permata atau intan.

Perumpamaan tersebut secara simboliknya merujuk kepada mereka yang pakar dalam sesuatu bidang sahaja dapat mengenal dengan lebih dekat bidang yang dikajinya. Maksudnya, orang yang mahir sahaja akan mengenal nilai permata, sama ada berharga atau biasa. 

Ketajaman pemikiran orang Melayu dahulu juga merentas sempadan ilmu fizik. Tamsilnya, dalam peribahasa bagai mencurah air ke daun keladi. Kenapa dengan air di daun keladi? Apa yang berlaku kepada air? Apa yang berlaku kepada daun keladi? Keladi ialah sejenis tumbuhan yang mempunyai permukaan daunnya yang kalis air.

Daun keladi tidak menyerap air. Jika dicurahkan air ke atasnya, air akan kekal di atas daun keladi. Melalui pemerhatian ini terciptalah peribahasa bagai mencurah air ke daun keladi iaitu membawa maksud perlakuan menasihati seseorang yang tidak mengendahkan nasihat.  

Sifat semula jadi tumbuh-tumbuhan sekeliling juga menjadi sumber inspirasi datuk nenek kita dahulu kala. Pernahkah kita terfikir kenapa tumbuh-tumbuhan di kawasan belukar tidak sama ketinggiannya? Sudah pasti ada sebab dan alasan yang boleh dihuraikan secara semula jadi.

Pokok-pokok amat memerlukan cahaya matahari untuk hidup. Jadi pokok-pokok ini seolah-olah berebut sesama sendiri untuk mendapatkan lebih cahaya matahari.

Orang Melayu belajar daripada keadaan ini. Pokok enau akan sentiasa cuba mengatasi pokok-pokok lain di sekelilingnya agar cahaya matahari dapat diserap. Pokok enau seolah-olah tidak peduli kepada pokok-pokok renek sekitarnya asalkan ia tidak terjejas. Maka terbitlah peribahasa bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing yang bermaksud seseorang yang mementingkan diri sendiri. 

Aktiviti sehari-hari masyarakat Melayu dahulu juga tidak terlepas daripada pemerhatian bijak pandai ini. Orang-orang Melayu dulu-dulu kebanyakannya terlibat secara langsung dengan kerja-kerja pertanian. Sebagai contohnya, aktiviti menanam padi yang menjadi aktiviti utama pertanian suatu ketika dahulu kerana padi menghasilkan beras yang menjadi makanan ruji masyarakat Melayu.

Semasa padi ditanam, diperhatikan keadaan pokok padi yang pada peringkat awalnya berdiri tegak tetapi semakin padi berisi semakin pokok padi menunduk.

Falsafah yang dipelajari ketika itu, semakin banyak ilmu, semakin merendah diri kerana secara logiknya jika seseorang itu berilmu akan dirasakan banyak lagi perkara yang dia tidak tahu. Maka lahirlah peribahasa ikut resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. 

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan juga menggambarkan ketajaman pemikiran masyarakat kita. Tidak banyak dalam kalangan kita yang sanggup menghidu bau pekasam apatah lagi menyeluk tempayan yang berisi pekasam.

Pasti tangan akan berbau pekasam dan bau ini akan melekat untuk tempoh yang lama. Puaslah disental dan dilumur losen yang wangi tetapi bau pekasam lebih kuat. Jika begitu keadaannya, peribahasa alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan ini tidak menggambarkan maksud positif tetapi bermaksud alang-alang berbuat jahat, biar betul-betul jahat.

Peribahasa ini sering digunakan untuk menggambarkan kesungguhan dalam melakukan sesuatu usaha baik adalah tidak tepat. 

Penciptaan bahasa memerlukan ketajaman pengamatan dan kekayaan pengalaman dan pergaulan. Hasil kebijaksanaan dan kepantasan berfikir penciptanya lahirlah peribahasa berdasarkan kiasan terhadap ragam hidup masyarakat sekelilingnya. Alangkah ruginya jika ada pihak yang mengubah peribahasa ini sewenang-wenangnya seperti yang diviralkan di media sosial.

Mungkin tujuan asal mereka hanya sekadar bergurau tetapi gurauan tak bertempat bakal mengundang padah. Berilah peluang kepada generasi baharu hari ini dan akan datang untuk menggunakan peribahasa yang betul warisan asli  moyang kita. Jika tidak kita yang menghargai bahasa kita, siapa lagi? Bahasa Jiwa Bangsa.