KETIKA remaja, penulis gemar menonton wayang di pawagam. Antara filem Melayu yang masih kekal dalam ingatan penulis termasuklah Adik Manja lakonan Dharma Harun Ar-Rashid, Mekanik lakonan Azmil Mustafa, Marah-marah Sayang lakonan Maria Arshad, dan Prebet Badul lakonan A.R. Badul.  

Selain filem Melayu, penulis juga menonton filem Inggeris dan Hindustan, yang penulis sudah terlupa judulnya. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan penulis berminat untuk menonton filem-filem berkenaan, antaranya termasuklah kekacakan dan kejelitaan aktor dan aktresnya, jalan cerita yang menyebabkan penulis perlu berfikir, dan juga kesan bunyi yang amat menakjubkan.

Setelah meningkat dewasa, penulis sering terfikir tentang kepentingan kesan bunyi bukan setakat dalam filem, tetapi ke dalam perbualan masyarakat Melayu khususnya. Apakah akan berlaku sekiranya, filem yang penulis tonton tiada kesan bunyi?

Sebagai contohnya, adakah filem Combat akan ditonton sekiranya tiada kesan bunyi “tene ne nee ne neng...”.  Muzik yang melatari filem Ali Setan pula sangat berkesan ketika babak sedih atau lucu antara Azmil Mustafa dengan Ogy Ahmad Daud.

Secara terus terang penulis katakan bahawa penulis menonton filem tersebut kerana kesan bunyi yang amat hebat ketika itu. Aktual, kesan bunyi bukan sahaja penting dalam filem, tetapi amat penting dalam perbualan masyarakat Melayu.  

Kehidupan kita sendiri dilatari oleh kesan bunyi.  Ketika kita kecil, ibu mengajak kita makan dengan ungkapan, “Mam, mam, sayang”. Ibu mungkin tidak berkata, “Sila makan, sayang” ketika kita belum memahami perkataan. Kemungkinan ibu beranggapan bahawa kita belum mengerti apa-apa ketika itu, tetapi ibu tidak pula terfikir bahawa kita juga tidak mengerti maksud “mam, mam” yang disebutkan ibu.

Sebenarnya ibu menggunakan kesan bunyi untuk mendorong kita makan. Ketika mendodoikan bayi, ibu kadang-kadang menyanyi, tetapi kita tidak memahami lagu yang dinyanyikan ibu. Bayi akan terlena di dalam buaian setelah ibu menggunakan kesan bunyi, “du, du, duu...”.

Bayi yang dahaga akan menangis dan mengeluarkan bunyi “waaaaaaa...” bagi mendapatkan perhatian ibu untuk disuapkan susu.

Beberapa contoh ini menunjukkan bahawa sejak kecil lagi kita bijak menggunakan kesan bunyi untuk menyatakan sesuatu.

Dalam kehidupan kita seharian, perbualan merupakan wahana untuk menyatakan sesuatu maksud. Kadang-kadang perbualan yang tidak diselangi dengan kesan bunyi tidak mendatangkan impak yang baik kepada pendengar.

Ketika kita bercakap tentang sesuatu barang yang terjatuh dan pecah, kita akan menyebut, “prangg”. Sila teliti ayat ini. “Lebih kurang pukul 12 tengah malam tadi, ‘prangg’ tingkap rumah aku pecah.” Ayat ini berbentuk lisan dan salah jika digunakan dalam penulisan. Jika nangka jatuh kita akan berkata, “gedebuk”. Jika kereta berlanggar, kesan bunyinya ialah “gedegang”.

Kita juga pernah bertanya orang lain secara lisan seperti ini, “Siapa yang sedang berjalan ‘dikk, dikk’ di tengah panas itu?”
Secara keseluruhannya, kesan bunyi tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan manusia. Ayam berkokok “kurr, kurr” telah mengeluarkan kesan bunyi supaya kita segera bangun menjelang subuh.

Pada masa kini, kesan bunyi terpenting dalam kehidupan kebanyakan manusia ialah kesan bunyi telefon. Ada telefon yang mengeluarkan kesan bunyi gaya lama seperti “kring, kring”. Ada juga seperti mesin taip “tik, tik tik”. Enjin motosikal mengeluarkan bunyi “brumm”, kucing mengiau “miau, miau”, dan pelbagai lagi kesan bunyi di sekeliling kita.  

Pada waktu rehat di pejabat, penulis dan rakan-rakan akan bermain pingpong. Setiap kali kami bermain, maka bunyi “pingpong, pingpong” akan kedengaran. Setelah begitu lama bermain permainan ini, barulah penulis tahu bahawa permainan ini dinamakan pingpong kerana kesan bunyi bola yang dipukul. Kita boleh juga menyimpulkan bahawa jenis permainan juga berpunca daripada kesan bunyi.  

Penulis teringat akan cerita abang penulis sewaktu kecil. Abang akan bercerita “Aku tolak Dolah. ‘Gedebum’ dia jatuh sungai.”  “Gedebum” juga merupakan kesan bunyi yang menyebabkan penulis tetarik untuk terus mendengar cerita abang penulis.

Penulis sedang menaip “ke tuk ke tak ke tuk ke tak” bagi menyiapkan tulisan ini. Kesan bunyi daripada komputer ini begitu mengasyikkan penulis. Sambil menaip penulis “sruppp” minum kopi.  

Kesan-kesan bunyi ada di mana-mana dan sangat bermanfaat kepada kita.  Bertuahlah kita kerana diberikan nikmat pendengaran kerana dengan nikmat itu kita dapat menikmati hebatnya alam ciptaan ALLAH.