PERSOALAN dan masalah yang timbul berkaitan bahasa memerlukan tempat merujuk yang sesuai dan tepat. Ditambah pula matra dan ehwal bahasa sangat rencam dan luas litupannya.

Kalau berkaitan ilmu hukum hakam bahasa itu, dikaitkan dengan tatabahasa, manakala berkaitan kemasyarakatan atau komuniti bahasa maka bidangnya sosiolinguistik.

Aspek psikolinguistik pula kajian bahasa berkaitan pemerolehan bahasa dan pemahaman manusia tentang bahasa. Malah, lebih rumit lagi jika kita berbicara tentang falsafah bahasa, yang mengkaji bidang kesahihan dalam berbahasa.  

Dalam banyak bidang bahasa, pengguna bahasa selalunya mencari jawapan kepada norma-norma dalam berbahasa, kerana hal inilah menentukan betul atau salah dalam penggunaan bahasa. Litupan dalam hal ini sudah tentulah berkaitan tatabahasa.

Dalam bahasa Melayu, peraturan berkaitan berbahasa telah digalurkan dan dilumatkan dalam buku Tatabahasa Dewan.

Hal ini bermakna buku Tatabahasa Dewan satu-satunya ‘kitab’ yang memaparkan peraturan atau sistem bahasa Melayu digunakan sama ada dalam tulisan mahupun lisan.

Jadi, jika ingin mencari rujukan berkaitan peraturan bahasa, maka buku rujukan yang sesuai ialah buku Tatabahasa Dewan yang di dalamnya dicernakan pelbagai sistem bahasa termasuklah aspek morfologi dan sintaksis.

Kita tidak perlu meragui buku ini kerana pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah beberapa kali mengulang cetak dan mengemaskinikan kandungannya, sehingga yang mutakhirnya ialah Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, cetakan 2011.  

Buku ini diangkat menjadi buku pegangan di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi. Justeru, inilah buku rujukan yang sah dan tidak boleh dipertikaikan lagi.

Dalam kalangan pengguna bahasa ada juga yang terkeliru terutama apabila memilih bahan rujukan yang tepat ini. Jika berkaitan hukum atau peraturan bahasa mereka merujuki Kamus Dewan, sudah tentulah hasilnya tidak tepat.

Hal ini kerana, Kamus Dewan merupakan kitab untuk kita merujuk sesuatu makna perkataan, istilah atau kosa kata tertentu.

Dalam Kamus Dewan termuat pelbagai kata umum, slanga, dan  istilah yang dientrikan untuk memaparkan makna tertentu mengikut penggunaannya.

Jadi, tidak tepat jika kita merujuk peraturan bahasa menggunakan Kamus Dewan, kerana buku ini digunakan untuk membuat rujukan berkaitan makna perkataan.   

Ada juga pengguna bahasa yang merujuk ejaan perkataan tertentu menggunakan Kamus Dewan.  

Sekali lagi cara rujukan itu tidak kena tempat dan tersasar. Jika kita mencari tempat untuk merujuk ejaan yang betul tentang sesuatu perkataan dalam bahasa Melayu, maka buku rujukan yang tepat ialah Daftar Ejaan Rumi Bahasa Melayu, juga diterbitkan oleh DBP untuk kemudahan pengguna bahasa.  

Daftar Ejaan Rumi ini menyenaraikan perkataan yang terdapat dalam bahasa Melayu dengan ejaan yang betul. Daftar ejaan itu berdasarkan kata masukan atau entri yang terdapat dalam Kamus Dewan tadi.

Selain itu, buku Daftar Ejaan Rumi ini juga mengajar kita menggunakan sistem ejaan yang standard dan seragam.

Jadi, apabila kita berdepan dengan masalah mengeja sesuatu perkataan, maka buku Daftar Ejaan Rumi inilah bahan rujukan yang perlu kita cari, bukan kamus.

Sekadar menyebut tiga buku rujukan yang utama ini, iaitu buku Tatabahasa Dewan, Kamus Dewan dan Daftar Ejaan Rumi Bahasa Melayu, sudah memberi sedikit panduan kepada pengguna bahasa mencari rujukan yang tepat dan sesuai.

Ketiga-tiga buku ini muktamad dan diiktiraf menjadi pegangan di institusi pendidikan di negara kita. Tidak salah jika saya mencadangkan setiap rumah perlu ada buku-buku ini untuk menyenangkan kita dan anak-anak kita membuat rujukan berkaitan bahasa Melayu yang kita sayangi ini. Kalau tidak kita, siapa lagi?