SATU daripada kecenderungan berbahasa ialah penyingkatan perkataan. Perkataan yang terdiri daripada beberapa suku kata dipendekkan menjadi satu suku kata sahaja. Keadaan ini bukan sahaja berlaku dalam bahasa Melayu, sebaliknya turut terjadi dalam bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, perkataan information dipendekkan menjadi info, dan televisyen diringkaskan menjadi TV sahaja. Frasa juga diringkaskan menjadi satu perkataan, antaranya I’ve, (I have), you’re (you are) dan hasn’t (has not).

Dalam percakapan bahasa Melayu, khasnya dalam suasana tidak rasmi, memang banyak bentuk penggunaan perkataan yang ringkas. Singkatan terhasil apabila bunyi atau huruf tertentu digugurkan daripada pengucapan atau penulisan. Umpamanya, tidak menjadi tak, mahu menjadi mau, tetapi menjadi tapi, dan sebagainya. Begitu juga dengan panggilan dalam keluarga, singkatan perkataan digunakan untuk panggilan seperti tok (datuk), mak (emak), dan kak (kakak). Nama orang pula memang selalu dipendekkan. Nama Norhayati menjadi Yati atau Ti sahaja. Bagi lelaki, Muhammad dipanggil sebagai Mamat, atau lebih ringkas lagi, Mat sahaja.    

Kecenderungan menyingkatkan perkataan timbul daripada sebab-sebab tertentu. Antaranya, penggunaannya dapat menjimatkan masa. Hal ini mustahak bagi orang yang menghendaki sesuatu dengan pantas. Ada pendapat yang menyatakan bahawa lebih baik menggunakan bentuk kata yang pendek jika maknanya masih sama dengan bentuk yang panjang. Bentuk yang singkat juga dapat menjimatkan ruang, terutamanya ruang dalam aplikasi WhatsApp, Telegram, WeChat, dan sebagainya. Bentuk yang ringkas sangat wajar untuk kegunaan telefon mudah alih, kerana ruang papan kekunci dan skrin paparan teks yang terhad dalam peranti itu.

Dalam konteks sapaan, pemendekan panggilan nama orang menunjukkan wujudnya kemesraan, contohnya jika seseorang itu bernama Othman tentu berasa mesra apabila dipanggil Man sahaja. Demikian juga halnya bagi Nordiana, dipanggil Ana atau Na sahaja. Oleh itu, dalam masyarakat, bentuk ini diamalkan untuk mewujudkan keadaan perhubungan yang akrab. Keadaan ini juga terjadi dalam lingkungan bahasa Inggeris, seperti Catherine dipanggil Cat, dan Michael dipanggil Mike sahaja.

Dari segi peranan, pemendekan kata memberikan kesan langsung dan tidak langsung kepada status bahasa Melayu. Hal ini boleh kita lihat dari sudut baik dan buruknya. Yang baik terdapat pada pemendekan kata nama orang atau ahli keluarga. Penggunaannya memaparkan kesopanan dan kemesraan. Namun begitu, positifnya dalam lingkungan penggunaan tidak rasmi sahaja. Hal ini sedemikian kerana dalam keadaan rasmi, penggunaan bentuk ringkas kak untuk kakak dan long untuk sulung tidak dibolehkan.

Sebaliknya, penggunaan ejaan ringkas dalam penulisan teks pesanan ringkas melalui WhatsApp dan seumpamanya memberikan kesan yang tidak baik kepada taraf bahasa kebangsaan. Ini mewujudkan kecelaruan dan pencemaran bahasa. Hal ini timbul daripada ejaan ringkas yang dicipta secara sewenang-wenangnya oleh pengguna media sosial. Contohnya, situ dan sini yang masing-masing yang dieja 'ctu' (kadang-kadang 'c2') dan 'cni'  mengelirukan kerana dalam bahasa Melayu, konsonan 'c' tidak berbunyi 'si'. Selain itu, untuk lebih ringkas dan kelihatan 'bergaya' kononnya, ketupat pun dieja sebagai 'ktu4'.

Untuk menggunakan ejaan ringkas pada ruangan yang terhad, Dewan Bahasa dan Pustaka (2008) menerbitkan buku Panduan Singkatan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Bahasa Melayu. Buku panduan ini mencadangkan contoh penggunaan singkatan bagi nama khas, nama umum, dan kata serapan daripada bahasa Arab. Terdapat juga cadangan penggunaan simbol dan emoticon. Namun begitu, sebahagian besar singkatan ini tidak sesuai dibawa ke dalam penulisan esei pelajar sama ada di sekolah atau di institusi pengajian tinggi.  

Kesimpulannya, keperluan bentuk ringkas untuk penggunaan tertentu tidak boleh dinafikan. Dalam bidang sains, karbon dioksida diringkaskan dengan menggunakan simbol CO2. Maksudnya, dalam laras akademik juga terdapat bentuk ringkas. Namun begitu, penciptaan bentuk ringkas yang tidak bersistematik perlu dikawal agar tidak merosakkan ciri indah dalam penulisan bahasa. Kita perlu menjaga mutu bahasa kita sepanjang masa kerana Bahasa Jiwa Bangsa.