KEADAAN penggunaan bahasa oleh masyarakat terutamanya Bahasa Melayu formal sama ada secara lisan atau bertulis dari dahulu hingga sekarang boleh dikategorikan kepada dua keadaan iaitu pertamanya bahasa difahami dengan tatabahasa yang betul dan yang keduanya bahasa difahami dengan menyalahi hukum tatabahasa.

Lantaran kebiasaan, keadaan kedua dikatakan ‘boleh digunakan’ atas landasan peranan bahasa sebagai wahana komunikasi tiada cacat-celanya.

Namun demikian, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyedari bahawa keadaan kedua ini tidak wajar dibiarkan sehinggakan tertitip ungkapan keramat yang amat bermakna jika direnungkan iaitu ‘Betulkan yang biasa, biasakan yang betul’ apabila membicarakan penggunaan bahasa di mana-mana sahaja.

DBP amat menggalakkan dai bahasa sentiasa mengingatkan pengguna bahasa supaya menitip ungkapan ini apabila berhadapan dengan khalayak sama ada secara langsung mahu pun secara tidak langsung.   

Dalam Radio Kelantan FM, pada setiap petang Khamis ruangan Rampai Budaya: Kayanya Bahasa Kita telah menjadi satu rancangan radio yang masih beroperasi sejak lebih daripada 10 tahun yang lalu.  

Rancangan yang diterbitkan secara kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Radio Kelantan FM ini telah menjadi rancangan yang amat diminati oleh masyarakat Kelantan sejak dahulu sehingga sekarang.  

Walaupun munsyi pengendali ruangan ini berkomunikasi dalam dialek Kelantan, namun ruangan ‘Betulkan yang biasa, biasakan yang betul’ telah diletakkan pada peringkat awal keseluruhan rancangan yang bersifat ‘interaktif’ ini.  

Sehingga kini, boleh dikatakan apabila ungkapan ini disebut, masyarakat boleh menerimanya serta memahami maksudnya.  

Dalam ruangan ini, munsyi yang mengendalikan rancangan telah mengemukakan kepada para pendengar hal-hal penggunaan bahasa yang sering menjadi kekeliruan masyarakat.          

Antaranya tentang penggunaan ejaan kini (ejaan baku), penggunaan kata pemeri, penggunaan kata nafi, penggunaan kata bilangan dan kata nama, penggunaan kata ganti nama, penggunaan kata tanya dan sebagainya.

Dalam tulisan ini, penulis cuba merungkaikan kekeliruan dalam penggunaan kata pemeri.  

Kadang-kadang pengguna bahasa mengambil sikap tidak kisah jenis kata pemeri yang digunakan sama ada semasa berlisan atau menulis.

Terdapat dua kata pemeri dalam Bahasa Melayu iaitu ‘ialah’ dan ‘adalah’.  Ketentuan penggunaan dalam tatabahasa, ‘ialah’ boleh hadir di hadapan frasa nama atau kata nama.  

Manakala ‘adalah’ digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama sahaja. Contoh penggunaannya;

1.  Rumah itu adalah rumah baharu saya. (salah)

2.  Rumah itu ialah rumah baharu saya. (betul)

3.  Penjelasan yang diberikan ialah tepat sekali. (salah)

4.  Penjelasan yang diberikan adalah tepat sekali. (betul)

5.  Kutipan wang yang didermakan ialah untuk pelajar miskin. (salah)

6.  Kutipan wang yang didermakan adalah untuk pelajar miskin. (betul)

Dalam ayat 1 dan 2 yang menjadi contoh ini, munsyi menegaskan bahawa ‘rumah baharu saya’ merupakan frasa nama yang sewajarnya kata pemeri ‘ialah’ digunakan sebelumnya.

 Begitu juga ayat 3 dan 4, frasa ‘tepat sekali’ merupakan frasa adjektif yang sepatutnya menggunakan kata pemeri adalah.

Dalam ayat 5 dan 6 pula, frasa ‘untuk pelajar miskin’ merupakan frasa sendi nama dan kata pemeri adalah digunakan.

 Dalam konteks siaran radio, munsyi pembicara juga cuba jelaskan masalah yang ditemui dalam ayat yang dijadikan contoh seolah-olah ‘dua dalam satu’ berlaku dalam satu siaran.  

Contoh dalam ayat 1 dan ayat 2, perkataan ‘baharu’ digunakan. Pembicara cuba bincangkan secara langsung sebab penggunaan perkataan baharu dan tidak menggunakan perkataan ‘baru’.  

Perkataan ‘baharu’ ialah kata adjektif waktu yang memberi pengertian konsep masa sebagai unsur keterangan selepas kata nama.  

Manakala perkataan ‘baru’ ialah kata bantu aspek yang menimbulkan suasana perbezaan masa terhadap perbuatan atau kata kerja yang digunakan.  

Oleh itu jika dalam ayat 1 dan ayat 2 digunakan perkataan ‘baru’ sudah tentu menyalahi hukum tatabahasa.  

Demikianlah sebahagian daripada kesalahan-kesalahan bahasa sering berlaku dalam masyarakat kita.

Justeru, marilah kita sama-sama betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Bahasa Jiwa Bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka