DALAM perjalanan balik dari Hotel Grand Kampar ke Tanjong Malim pada minggu lalu, penulis menggunakan Jalan Persekutuan. Rasionalnya, kami sekeluarga ingin melihat dan menghayati landskap di sepanjang perjalanan tersebut.

Oleh itu, kami perlu melalui beberapa buah pekan kecil, termasuklah pekan Temoh, Tapah, Bidor, Sungkai, dan Slim River sebelum tiba di rumah kami di Tanjong Malim, Daerah Muallim.

Sebaik kenderaan kami melalui pekan Slim River, penulis terpandang akan kain rentang yang terpampang kemas di tepi jalan raya berhampiran dengan Pusat Beli-belah Econsave Slim River. Tertera dengan jelas tulisan pada kain rentang itu, iaitu: Meriahnya Shopping 2017!

Sebagai pengguna dan pencinta bahasa kebangsaan, penulis cukup tertarik akan penggunaan kosa kata, bershopping, iaitu ber + shopping  dan shopping. Shopping atau bershopping? Rancu betul kedua-dua kosa kata tersebut. Yang jelas, slanga tersebut kian leluasa digunakan sama ada dalam pertuturan (lisan) atau penulisan. Malangnya, kedua-dua perkataan tersebut pula dianggap betul oleh sebilangan besar pengguna bahasa dan masyarakat kita pada hari ini.

Yang anehnya, perkataan dalam bahasa kebangsaan, iaitu beli-belah atau membeli-belah tidak digunakan oleh penutur, penulis atau peniaga tempatan. Tidak glamorkah kedua-dua perkataan tersebut?

Barangkali, pada hemat penulis, sesetengah pengguna bahasa kebangsaan beranggapan bahawa slanga bershopping atau shopping, kononnya lebih mudah, terampil, ringkas.

Perkataan bershopping atau shopping yang digunakan secara leluasa mutakhir merupakan bahasa slanga dan tidak baku (gramatis) sifatnya dalam konteks morfologi bahasa Melayu yang rasmi, betul dan persis.

Ayat Contoh:

1.     Ibu penulis sedang bershopping di Pasar Raya Yat Foong. (Salah).

2    Ibu penulis sedang membeli-belah di Pasar Raya Yat Foong. (Betul).

3.      Penulis bershopping di Pasar Raya Yat Foong. (Salah).

4.     Penulis beli-belah/membeli-belah di Pasar Raya Yat Foong. (Betul).

Sehubungan dengan itu, para pengguna dan pencinta bahasa kebangsaan juga wajar mengetahui kehadiran sejumlah perkataan atau kosa kata lain yang baku, bermakna dan gramatis sifatnya dalam bahasa Melayu seperti berdering (berbunyi seperti bunyi giring-giring, berbunyi dengan nyaring), beriring (berjalan bersama-sama, berturut-turut), berbanding (dibandingkan, ada bandingnya), berpaling (mengubah arah muka ke kiri, ke kanan atau ke belakang, beralih atau bertukar pandangan, berubah atau bertukar pegangan), bergemerencing (berbunyi seperti bunyi rantai besi bersentuhan), bersamping (memakai kain di sebelah luar seluar, memakai samping), bertanding (berlawanan, beradu, ada bandingnya, berlumba-lumba, bersaingan), berunding (bercakap-cakap dengan sungguh-sungguh, berbicara, berembuk, berkira-kira, bertolak ansur), bersanding (duduk bersebelah-sebelahan, berdamping, berbucu tajam, bisa atau tajam), berdaging (mempunyai daging, gemuk, kaya), berbimbing (berpimpin, berpegang), berbaring (merebahkan badan pada sesuatu seperti katil), berasing (menyisih, memisahkan diri dari, berubah, menjadi lain), berdamping (berada dekat dengan atau di sisi, berdekatan, berapat-rapat), berunting (merupakan unting atau berkas), dan berbaling (berkisar seperti baling-baling).

Sebagai kesimpulannya, penggunaan kosa-kosa kata (slanga) seperti shopping dan bershopping atau slogan Meriahnya Shopping 2017!” jelas amat telah mencemarkan bahasa kebangsaan kita, iaitu bahasa Melayu.

Penggunaan kosa kata atau istilah pinjaman tidak harus bersifat sewenang-wenangnya sebaliknya sebagai pengguna dan pencinta bahasa kebangsaan yang betul dan persis, kita perlulah senantiasa menggunakan kosa kata, istilah atau slogan berdasarkan dokumen, kamus atau buku tatabahasa yang sah, terkini dan berwibawa di samping memperoleh pengesahan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka agar bahasa kebangsaan yang baku, betul dan gramatis.