BELAKANGAN ini, isu berkaitan peribahasa Melayu ditularkan melalui Facebook dan aplikasi WhatsApp, kononnya terdapat sejumlah peribahasa yang tidak tepat dan salah. Lumrah kehidupan di dunia, perkara yang agak luar biasa sedikit, mudah merebak melalui apa-apa sahaja saluran media. Hal ini mendapat liputan meluas juga dengan ulasan daripada pandangan pelbagai pihak. Ada dalam kalangan sarjana bahasa, ahli bahasa, guru bahasa, pencinta bahasa, malah orang biasa juga memberi ulasan berkaitan isu yang nadir ini.

Antara beberapa peribahasa yang dipertikaikan kerelevanannya seperti; Harapkan pagar, pagar makan padi (Harapkan pegar, pegar makan padi), Melepaskan batuk di tangga (Melepaskan batok di tangga), Mata keranjang (Mata ke ranjang), Merah Padam (Merah Padma), Menjolok mata (Mencolok mata), Saling tak tumpah (Salin tak tumpah) dan beberapa lagi.

Yang menariknya, peribahasa yang dipercayai betul (seperti dalam kurungan), disokong menggunakan hujahan logik yang juga boleh diterima bersesuaian  budaya masyarakat Melayu. Alangkah malangnya, ada dalam kalangan pengguna bahasa terus menerima hujahan itu secara bulat-bulat dan menganggap peribahasa yang sedia ada itu perlu dibetulkan segera. Kita agak risau jika perkara ini dibawa ke dalam kelas untuk dijadikan bahan pengajaran guru-guru Bahasa Melayu.

Peribahasa Melayu merupakan salah satu elemen yang penting bagi mengungkapkan pemikiran dan akal budi orang Melayu semasa berkomunikasi. Penggunaannya sejak sekian lama terhasil daripada pengamatan yang cukup tinggi oleh masyarakat dahulu terhadap kejadian alam sekeliling, tingkah laku, norma hidup, adat dan budaya. Oleh itu, peribahasa Melayu ini dapat dikatakan sebagai cerminan kehalusan budi, ketinggian ilmu serta pemikiran masyarakat Melayu dahulu ketika berbahasa.

Menurut Za’ba, peribahasa ialah segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai sejak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya dipakai akan dia serta menjadi sebutan-sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan, dan pengajaran. Penggunaan peribahasa ini sebenarnya mempunyai fungsi yang sangat menarik.  

Peribahasa digunakan dengan tujuan untuk menyampaikan maksud yang tertentu dengan cara yang cukup halus atau berlapik. Peribahasa juga berfungsi sebagai peringatan, nasihat dan kritikan untuk tujuan kebaikan kepada seseorang. Penggunaan peribahasa berupaya membawa mesej nasihat tanpa menyinggung hati seseorang. Selain itu, penggunaannya mempunyai objektif yang tersendiri, iaitu supaya orang yang mendengar atau membacanya tidak mudah rasa tersinggung dalam sesebuah komunikasi.   

Justeru, dengan ciri-ciri falsafah yang dicernakan melalui peribahasa itu, tidak mungkin datuk nenek kita memilih perkataan untuk disulami dalam peribahasa itu tidak tepat. Jika kita berfikir secara logik dari segi kerelevanan dan kesesuaian penggunaan perkataan secara tersurat sudah tentulah kita terjerumus ke alam pemikiran yang dangkal luar daripada dunia falsafah orang Melayu. Sifat orang Melayu, apabila menggunakan perkataan atau semasa berbahasa untuk menyatakan isi hati, ada ketikanya mereka menggunakan perkataan secara literal, namun ada juga menggunakan secara kiasan.

Begitulah peribahasa kita, Harapkan pagar, pagar makan padi, bukan bermakna pegar yang logiknya boleh makan padi, tetapi unsur kiasan bahawa fungsi pagar itu menjaga keselamatan dan melindungi. Hujahan yang sama boleh dikaitkan dengan peribahasa lain di atas.

Sesungguhnya, janganlah kita sesuka hati ingin merombak dan membaiki  peribahasa Melayu yang cantik itu, kerana melaluinya sudah tercerna nilai, kepercayaan, falsafah hidup yang sangat tinggi dan mendalam. Sebaliknya, marilah kita berusaha menggunakan peribahasa Melayu, demi menjaga kelestariannya ke akhir zaman.