HUJAN di pantai timur begitu bertenaga menghimpit jarak dan kebebasan bergerak orang-orang di Kelantan dan Terengganu ketika orang lain riuh menyambut kedatangan tahun baharu.

Fenomena ini mengikis keghairahan anak-anak sekolah yang hampir sebulan lebih menunggu untuk kembali ke sekolah dengan menggayakan pakaian dan aksesori baharu.

Inilah realiti masyarakat di pantai timur saban hujung tahun, namun kelangsungan hidup tetap diteruskan. Rutin hidup dan aktiviti harian berjalan seperti biasa dari setahun ke setahun, malah kejayaan-kejayaan masih mampu diraih walaupun ada juga kegagalan yang menimpa.

Begitu jugalah dengan kisah bahasa kita. Amalan berbahasa Melayu masih berjalan selari dengan peredaran masa, sejak dulu-dulu hingga sekarang. Ada ketika disanjung dijulang, ada ketika dibiarkan, dan ada ketika diperlekehkan.

Ada orang mahu bahasa kita diperkasakan sejajar dengan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, ada pula yang hanya membiarkan begitu sahaja tanpa ada rasa apa-apa, dan ada juga yang menghina dan merendah-rendahkannya.

Mujurlah bahasa kita bahasa negara. Satu-satunya bahasa yang dinobatkan dalam perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai bahasa rasmi, ia tetap utuh walaupun pelbagai badai melanda. Terima kasih dan tahniah kepada pemimpin dan pejuang bahasa dahulu yang sanggup berjuang dan bersusah payah meletakkan bahasa Melayu dalam kalam perlembagaan negara.

Apabila tahun baharu 2017 bermula, kita mengharapkan bahasa Melayu tetap segar dan gagah melayari lautan kehidupan walaupun terpaksa berdepan ombak dan gelombang yang bakal mendatang.

Sepatutnya bahasa Melayu semakin menongkah maju pada setiap kedatangan tahun baharu sepertimana unjuran kemajuan sesebuah organisasi dalam menghadapi tahun-tahun ke depan.

Jadi, ayuhlah wahai rakyat Malaysia, kita bangsa Malaysia, bahasa kebangsaan negara kita ialah bahasa Melayu, bersama-samalah kita memeriahkan bahasa kita, berbanggalah mengamalkannya. Bahasa jiwa bangsa. Jangan malu jangan segan, betulkan amalan yang salah, biasakan amalan yang betul. Tiada bangsa di dunia yang malu dan suka menghina bahasa sendiri kerana bahasa ialah lambang jati diri bangsa.

Melangkah ke zaman negara maju, kita jangan hanya melihat kepada kompleksnya pembangunan material atau hanya terpesona dengan kecanggihan teknologinya sahaja, tetapi harus diingat, masyarakat yang maju lebih mementingkan etika dan keberadaban hidup.

Nilai-nilai mulia dan ketertiban hidup amat dititikberatkan. Amalan kesopanan dan kesantunan berbahasa juga menjadi teras pergaulan mereka. Nah, ini semua ‘nadi mekar’ dalam bahasa kita. Gerakkanlah, bangkitkanlah dan amalkanlah amalan ini dengan penuh kesedaran dan rasa bangga. Tunjukkan kepada masyarakat dunia bahawa bahasa Melayu penuh dengan nilai kesopanan dan kesantunan, penuh dengan nilai moral dan estetikanya.

Ketika berhubung dengan orang yang lebih tua, ada laras hormatnya, apabila bertemu dengan orang muda, ada nada gurau sendanya. Ada kias ibarat dalam menegur membina, ada gurindam seloka, juga pantun dan sajak bagi menenangkan jiwa yang lara.

Ada simpulan bahasa dan peribahasa bagi mereka yang tinggi pemikirannya, ada pepatah petitih untuk yang suka merenung kehidupan.

Pendek kata, bahasa kita sarat dengan nilai adab dan falsafah kehidupan, mengapa perlu rendah rasa sedangkan ia amat membanggakan.

Sememangnya mutakhir ini kualiti bahasa standard semakin dicemari oleh penangan bahasa media sosial, bahasa media baharu kegilaan generasi muda yang menginginkan sesuatu yang pantas dan ringkas, namun sampai ke mana noktahnya.

Kecelaruan amalan berba-hasa generasi kini tentunya melambangkan kecelaruan pemikiran dan gaya hidup mereka. Sesuatu yang celaru akan menuju kehancuran.

Jadi, lambat laun titik keseimbangan akan dicari demi keharmonian dan kestabilan hidup. Nah, ketika itu nilai-nilai yang benar dan keberadaban hidup akan ditatang semula. Salah satu caranya ialah ketertiban berbahasa dan kesantunan berbudaya. Bersedialah untuk mendukungnya.