SABAN tahun penulis akan meluangkan masa untuk mendengar ucapan bersemangat daripada perwakilan terpilih dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU).

Ketika PAU 2017  berlangsung baru-baru ini, penulis terpaksa berebut-rebut siaran televisyen  dengan anak buah yang mahu menonton siri kartun kegemaran mereka.

“Action, action, action!”, kedengaran suara lantang daripada salah seorang perwakilan yang mengungkapkan kesungguhan dalam perjuangan.

“Eksyen tu apa?”, tanya anak buah penulis yang belum pun sedekad usianya.  

“Berlagaklah tu…”, jawab abangnya.

“Bukan. Action tu maknanya nak mula berlakon macam dalam filem P Ramlee tu…”, celah sepupunya pula.

Penulis tersenyum mendengar ulasan daripada anak-anak kecil yang masih di bangku sekolah rendah. Kata-kata mereka ada kebenarannya.

Dalam dialek Kelantan, action boleh membawa maksud perbuatan seseorang yang suka berlagak atau suka menunjuk-nunjuk. Oleh itu, kalau anda buat action di Kelantan, anda membuatkan orang meluat dan berasa benci.

Kalau kita menonton filem Seniman Bujang Lapok pula, tentunya kita akan tercuit oleh aksi-aksi lucu P Ramlee dan rakan-rakannya yang terpaksa  mengulangi action mereka berkali-kali.

Ternyata setiap orang akan memberikan tanggapan dan reaksi yang berbeza tentang sesuatu perkara.

Kadang-kadang kita perlu belajar daripada kanak-kanak. Mereka mengungkapkan sesuatu dengan ikhlas tanpa sebarang agenda tersembunyi.

Keikhlasan inilah yang menjadi tunjang penting dalam perjuangan sebagaimana yang digariskan oleh Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.   

Masyarakat akan dapat menilai tindak-tanduk kita sama ada sekadar untuk menunjuk-nunjuk ataupun sekadar lakonan. Kita tidak perlu berasa risau akan pandangan serong dan fitnah orang jika kita benar-benar ikhlas dalam tindakan.  

Kita juga tidak boleh menghalang orang lain membuat pelbagai andaian kerana persepsi setiap orang tentunya berbeza.

Di situlah letaknya kepentingan penggunaan bahasa yang tepat lebih-lebih lagi ketika berucap di depan khalayak yang pelbagai ragam.

Jelasnya, keikhlasan menjadi tunjang dalam perjuangan bukan sahaja untuk mengekalkan kuasa malahan dalam perjuangan untuk memartabatkan bahasa.

Secara ikhlasnya pula, penulis berasa amat bangga melihat para perwakilan memakai pakaian lengkap berkonsepkan budaya Melayu. Baju Melayu dan baju kurung seolah-olah sudah menjadi satu kriteria pembugaran budaya.  

Alangkah baiknya jika PAU juga dijadikan saluran penting untuk agenda pemerkasaan bahasa. Sebagai parti keramat bagi bangsa Melayu, tidak ada lagi pihak yang lebih layak memikul tanggungjawab untuk memelihara kedaulatan bahasa Melayu.

Jika tidak, sifat keramat bahasa kita akan berkubur bersama-sama semangat Sang Saka.  

Budaya keanekaan bahasa sememangnya baik untuk rakyat dan negara dan tidak ada sesiapa yang menafikannya.

Penulis pernah terbaca suatu catatan tentang Laksamana Hang Tuah dikatakan menguasai lebih  daripada 10 bahasa asing.

Namun demikian, tidak pernah pula ada naskhah yang merakamkan Datuk Laksamana menggunakan bahasa cacamarba untuk berbicara.  

Oleh itu, sebagai golongan yang mewarisi amanah bangsa, para pemimpin Melayu perlu menjadi suri teladan dalam penggunaan bahasa yang mengagumkan.

Jika berbahasa Inggeris, ikutlah peraturannya, dan jika berbahasa Melayu jagalah kepersisan dan kesantunannya.

Agenda pemerkasaan bahasa sewajarnya diberikan perhatian kerana penggunaan bahasa cacamarba membawa kesan buruk terhadap masyarakat kita.

Banyak siswazah kita belum mendapat pekerjaan kerana dikatakan tidak dapat menguasai kemahiran berkomunikasi dengan baik bukan sahaja dalam bahasa antarabangsa bahkan dalam bahasa ibunda.

Banyak juga ucapan atau penjelasan para pemimpin dan menteri yang disalahertikan akibat penggunaan bahasa berselut; sekerat ular, sekerat belut.

Banyak pula warga yang mahu menyertai sektor awam tetapi tidak dapat menguasai Bahasa Kebangsaan.

Tidak syak lagi, PAU merupakan gelanggang  besar bagi para pemuka bangsa untuk bersuara dengan penuh wibawa.

Sekalung tahniah perlu diberikan kepada Naib Presiden dan Ketua Pergerakan Wanita apabila dapat menyampaikan ucapan penggulungan masing-masing dalam bahasa Melayu yang baik dan terkawal.  

Sebagai pemimpin, ilmu tentang budaya dan keindahan bahasa perlu ditimba supaya  munculnya pejuang bangsa yang tidak meminggirkan maruah bahasa kerana bahasa itu jiwa bangsa.