BEBERAPA hari yang lalu, abang penulis yang bernama Takiyuddin (YB Kota Bharu) menghantar sekeping gambar kepada penulis melalui aplikasi WhatsApp. Beliau sedang bergaya dengan basikal tua dalam gambar itu. Gambar tersebut memberikan makna tersendiri dalam sejarah hidup kami berdua.

Dengan basikal tualah, beliau mengajar saya menunggang basikal di Kampung Kemelong, Sik, Kedah. Di kampung kami, budak lelaki yang berusia tujuh tahun perlu berupaya menunggang basikal sebagai bukti kelelakian.  

“Bila nak start belajar basikal?” tanya abang ketika mahu mengajar penulis menunggang basikal. Ketika itu, penulis faham bahawa penulis telah berusia tujuh tahun.  

“Pegang handle kuat-kuat”, kata beliau lagi.  

“Abang Ki pegang pelantar basikal dulu, nanti Abang Ki lepas, adik kayuh straight”. Begitulah arahan seterusnya daripada abang penulis.  

Ketika latihan bermula, abang penulis melepaskan pegangan pada pelantar basikal dan penulis terus mengayuh basikal itu straight seperti pesanan beliau. Penulis terlanggar pokok dokong dan jatuh tergolek.

“Mengapa tak corner?” tanya abang penulis.

“Dah kata straight tadi,” jawab penulis.  

Begitulah kisah penulis belajar menunggang basikal yang bukan sahaja dipenuhi tawa riang, tetapi dipenuhi juga dengan bahasa rojak yang diterima dalam masyarakat. Kosa kata start (mula), handle (pemegang), straight (lurus) dan corner (belok) merupakan per-kataan bahasa Inggeris yang telah sebati dalam kehidupan masyarakat di daerah kami.

Setelah gagal dalam percubaan pertama untuk menunggang basikal, abang penulis mengenakan denda terhadap penulis. Beliau menyuruh penulis memegang seat basikal sambil go ahead gostan beberapa kali. “Untuk meningkatkan keya-kinan,” kata beliau.

“Try control basikal tu.” Abang penulis terus berbahasa rojak.

“Nanti dah pandai naik basikal janganlah action.” Abang penulis terus berpesan. Dia juga berpesan supaya menunggang secara slow  sahaja kerana khuatir accident lagi.

Setelah seminggu belajar menunggang basikal, akhirnya penulis berjaya menunggang dengan cekap.

“Pass!” Abang penulis yang kini bertindak sebagai Setiausaha Agung Pas 'meluluskan' penulis.

Perkataan seat, go ahead (ke depan), gostan (ke belakang), try (cuba), control (kawal), action (berlagak), slow (perlahan), ac-cident (kemalangan), dan pass (lulus) juga merupakan kosa kata bahasa Inggeris yang mewarnai komunikasi masyarakat kami, khasnya dan masyarakat di Malaysia, umumnya.  

Sebenarnya, bahasa rojak telah mendominasi komunikasi masyarakat kita sejak dahulukala. Masyarakat kita pada hari ini, khususnya anak-anak muda tidak boleh dipersalahkan jika mereka menggunakan bahasa rojak kerana mereka hanya mewarisi cara penggunaan bahasa daripada masyarakat terdahulu.

Pada tahun 1974, penulis mula melangkah ke bangku sekolah. Penulis bersekolah di SK Batu Lima Sik (semoga sekolah ini terus berjaya).

Emak penulis berpesan, “Jaga bok elok-elok”.

Bok yang dimaksudkan ialah buku (book). Selain bok, penulis juga membawa kaler (colour) Luna dan rubber (getah pemadam).  

Oleh sebab jarak antara rumah penulis dengan sekolah agak jauh, penulis dan anak saudara penulis (Haji Ghazali Ahmad – Pengetua Mozac) terpaksa menaiki bas. Drebar (driver) bas yang bernama Ah Chai sangat ramah dan dia tidak pernah lupa memulangkan balance (baki) tambang.

Kosa kata book, colour, rubber, driver, dan balance telah menjadi pilihan pengguna bahasa Melayu sejak zaman-berzaman. Ada juga antara perkataan yang berasal daripada bahasa Inggeris ini telah dimasukkan dalam Kamus Dewan dan diterima oleh pakar bahasa sebagai kata pinjaman.

Proses peminjaman perkataan asing berlaku dalam semua bahasa di dunia. Proses ini ditafsirkan sebagai mobiliti bahasa. Setiap bahasa memerlukan mobiliti atau perubahan demi mengelakkan berlakunya kejumudan bahasa.

Oleh itu, pakar bahasa perlu terus mengkaji penggunaan bahasa rojak dalam masyarakat bagi mengetahui sama ada perkara itu mampu membina bahasa ataupun meruntuhkan bahasa.