PESANAN leluhur, “melentur buluh biarlah dari rebungnya” masih tekal abadi diuar-uarkan oleh masyarakat pascamerdeka baik yang muda mahupun yang tua.

Peribahasa Melayu itu sentiasa diucapkan oleh pengucapnya untuk memberikan gambaran yang jelas dan menyeluruh bahawa anak-anak muda generasi alaf baharu ini boleh dididik minda dan jiwanya selain tingkah lakunya seawal mereka di bangku sekolah lagi.

Hal sebeginilah yang menjadi kebanggaan masyarakat Malaysia berbilang kaum dan agama yang hidup aman sejahtera di bumi Malaysia ini. 

Sehubungan dengan keampuhan dan kerelevanan peribahasa Melayu itu, baru-baru ini, penulis telah dipertanggungjawabkan oleh sebagai pemudah cara dan pembimbing dalam sesi Pembinaan Ayat Bahasa Melayu Tinggi dalam kalangan murid yang bakal menduduki Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada tahun 2018. 

Murid-murid dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu Kumpulan PT3, Kumpulan SPM dan Kumpulan STPM. Setiap kumpulan mempunyai seorang ketua, pencatat dan pembentang. Mereka diberi tugasan mudah oleh penulis.

Setelah tiga jam berbengkel dan diberi panduan yang komprehensif tentang fungsi kata, frasa, ayat selain binaan subjek dan predikat, akhirnya, murid-murid telah berjaya membina dan menulis ayat yang gramatis mengikut tema yang diberikan penulis.

Kumpulan Murid PT3 diberi tema Ayat Bahasa Melayu Usai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Antara ayat yang dibina oleh mereka termasuklah:

1. Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

2. Rakyat Malaysia seyogianya menyokong usaha murni Kerajaan Baharu di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tun Dr. Mahathir bin Mohamad melalui penubuhan Tabung Harapan Malaysia untuk mengukuhkan kewangan negara.

Kumpulan Murid SPM pula diberi tema Ayat Bahasa Melayu Usai Hari Raya Aidilfitri 1439 Hijrah. Antara ayat yang dibina oleh mereka termasuklah:

3. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah bekerjasama dalam Operasi Bersepadu bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

4. Pelbagai jenis biskut yang beraneka rasa dan corak terkini hasil bikinan Puan Ramziah Muhamad Amin mendapat sambutan daripada pembeli untuk dihidangkan pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Kumpulan Pelajar STPM pula diberi tema Ayat Bahasa Melayu Usai Raya Bola Piala Dunia 2018. Antara ayat yang dibina oleh mereka termasuklah:

5. Pasukan bola sepak Perancis menepati ramalan peminat bola sepak tempatan lantaran kejayaan mereka menjulang Piala Dunia FIFA 2018 buat kali kedua setelah menumpaskan pasukan bola sepak Croatia pada perlawanan akhir di Stadium Luzhniki, Moscow, Rusia.

6. Masyarakat Arab di Timur Tengah semestinya berasa bangga atas pemilihan negara Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA pada tahun 2022 justeru kemasukan pelancong asing juga akan turut bertambah.

Tuntas bicara, yang amat menggembirakan penulis ialah murid-murid kini sedikit pun tidak berasa kekok ketika berkolaboratif, justeru saling menyumbangkan buah fikiran sesama mereka. Tahniah penulis zahirkan kepada guru-guru yang senantiasa menyokong anjakan pendidikan negara demi merealisasikan Pembelajaran Abad Ke-21 dalam kalangan murid mereka di sekolah sekali gus mendidik mereka “Sayangi Malaysiaku” saban waktu.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka