Pulau pandan jauh ke tengah,

Gunung daik bercabang tiga;

Hancur badan dikandung tanah,

Budi yang baik dikenang juga.

DEMIKIANLAH serangkap pantun Melayu yang diucapkan oleh pemidato Lisa Shimazaki dari negara Matahari Terbit sebelum meninggalkan pentas utama peringkat akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017 yang telah pun usai diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 26 Julai lalu.

Tampaknya, kata leluhur ku, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu’ dan ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ terserlah kebenarannya bahawa ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Usaha yang berterusan tanpa penat dan jemu pastinya menuai hasil yang menggirangkan baik diri pemidato mahupun keluarga pemidato.

Penulis berkesempatan ke PICC untuk menyaksikan pertandingan akhir PABM 2017 tersebut yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri.

Penulis berasa amat kagum sekali akan penampilan, kepetahan dan kekuatan daya ingatan para pemidato yang mencuba dengan sebaik-baik mungkin mengingati teks pidato yang disediakan masing-masing untuk dipersembahkan di hadapan Perdana Menteri, dif-dif kehormat dan para penonton yang memenuhi PICC pada malam itu.

Yang menggembirakan penulis ialah para pemidato dalam pelbagai kategori telah menyampaikan pidato masing-masing dengan gaya yang bersahaja serta tekal beradab selain penggunaan bahasa Melayu yang gramatis, ungkapan bahasa indah (UBI) dan unsur kecindan yang bersantun.

Lisa Shimazaki, 21 tahun yang turut dikenali sebagai Raihanna (nama Melayu) merupakan pelajar Universiti Bahasa Asing Tokyo.

Beliau mempelajari dan mendalami bahasa Melayu dalam tempoh tiga tahun justeru beliau sering dibantu oleh pensyarahnya yang tidak jemu-jemu mengajarnya berbahasa Melayu dengan santunnya.

Beliau juga gemar membaca buku-buku bahasa Melayu selain menonton filem-filem Melayu untuk memperkaya perbendaharaan kata sekali gus memahirkannya berbahasa Melayu.

Buku-buku pantun Melayu dan peribahasa Melayu juga menjadi rujukannya di universiti selain melayari internet untuk memperoleh maklumat dan pengetahuan yang mendalam tentang bahasa Melayu.

Dalam hal ini, penulis berpendapat bahawa bahasa Melayu tidaklah sukar untuk dipelajari oleh sesiapa sahaja terutamanya penutur asing.

Sikap positif terhadap bahasa Melayu yang ada pada setiap pemidato asing dalam PABM 2017 membuktikan keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa yang sekian lama bertapak kejap dan dituturkan sebagai lingua franca di rantau Asia, sama ada dari segi ekonomi atau siasah.

Yang paling penting ialah keinginan yang kuat dan jitu untuk mempelajari dan menguasainya serta mempunyai minat yang bersungguh-sungguh untuk menggunakannya dalam apa-apa jua situasi baik penulisan mahupun perbualan seharian.

Generasi pascamerdeka yang baru berjinak-jinak untuk menceburi bidang pengucapan awam seperti berpidato, berdebat, bersyair, berseloka, bergurindam atau bercerita sewajarnya berguru dengan yang arif dalam bidang tersebut selain menonton video pengucapan awam melalui YouTube untuk memahirkan diri masing-masing sebelum bertanding.

Persediaan dari awal baik mental mahupun fizikal adalah penting agar seseorang pemidato misalnya tidak berasa berdebar atau gabra ketika berhadapan dengan khalayak pengucapan awam.

Sebagai peneguh bicara, pencinta bahasa Melayu seyogianya mengingati dan menghayati pesanan Perdana Menteri, “Sebarang penggunaan yang boleh merendahkan dan mencemarkan keindahan serta nilai estetika bahasa Melayu, khususnya seperti yang sering terjadi melalui aplikasi komunikasi dan media-media sosial, seperti Facebook, Twitter, Instagram  dan SMS, seharusnya dielakkan serta dibendung pada kadar segera.

Contohnya, penggunaan tatabahasa yang ‘tunggang-langgang’, ejaan ‘hentam keromo’, termasuklah menggunakan perkataan harian seperti ‘lu’ dan ‘gua’ yang bermaksud, ‘awak’ dan ‘saya’, yang sedikit sebanyak boleh menjejaskan  keindahan bahasa Melayu.” (PABM 2017)

Maka, kita pencinta bahasa Melayu haruslah berusaha dan menggalas titipan murni itu dengan ikhlasnya untuk membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa selagi hayat dikandung badan.