KETIKA dalam lingkungan usia 10 tahun, penulis sering diminta oleh abang penulis untuk membeli akhbar. Penulis mengayuh basikal sejauh dua kilometer untuk membeli akhbar tersebut di Pekan Sik.

Penulis senang hati akan arahan itu kerana akan menjadi orang yang pertama membaca ilustrasi kartun Senyum Kambing  yang dipaparkan di bahagian bawah sebelah kanan akhbar itu.

Sejak itu, penulis sering tertanya-tanya maksud senyum kambing yang menjadi tajuk ilustrasi kartun tersebut. Apakah kaitan kambing dengan kata kerja senyum?

Persoalan ini bermain-main dalam fikiran penulis sehingga kini. Penulis pernah bertanya kepada seorang petugas Zoo Taiping sama ada binatang pernah senyum ataupun tidak kepadanya.

Petugas itu ketawa sambil menyatakan inilah soalan paling pelik yang pernah ditanyakan kepadanya sepanjang tempoh dia bekerja di situ. Manusia dan binatang berpisah tiada.

Sebenarnya, banyak keadaan manusia yang tidak semena-mena dikaitkan dengan binatang. Jika binatang tahu akan perkara ini, tentulah semua binatang di hutan akan keluar untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran bagi membantah tindakan manusia ini.   

Penulis juga 'terkejut beruk' pada suatu hari apabila melihat gambar lama abang penulis yang berambut panjang. Usia dia ketika itu dalam lingkungan 19 tahun, rambutnya panjang melepasi bahu, lebih kurang rambut penyanyi rock.

 Penulis sering melihat beruk ketika di Kampung Kemelong Sik dan tidak pula terfikir untuk meneliti wajah beruk ketika binatang ini terkejut.

Marilah kita cepat-cepat melihat ke arah cermin ketika terkejut bagi memastikan kita masih mengekalkan wajah sendiri atau wajah kita telah bertukar menjadi seperti wajah beruk.

Ketika di bangku sekolah rendah, penulis sering bermanja dengan emak (semoga rohnya ditempatkan bersama-sama roh orang bertakwa) dengan berbaring-baring di ribaannya. Kakak penulis yang bernama Khairiyah selalu berkata, “Sudah besar gajah pun manja lagi dengan emak,” sambil menjegil ke arah penulis.

Yang pasti badan penulis tidaklah sebesar gajah. Persoalannya, mengapakah gajah yang dibandingkan dengan penulis dan bukannya bukit atau guni beras?  

Kebanyakan perbuatan atau tindakan manusia yang dikaitkan dengan binatang mempunyai unsur negatif.

Cuba teliti kata majmuk seperti pening lalat, kerang busuk, cakar ayam, mandi kerbau, dan pekak badak. Semua kata majmuk itu tentu direka oleh pengguna bahasa zaman dahulu dan diikuti oleh pengguna bahasa zaman sekarang tanpa banyak soal.

Jika kanak-kanak bertanya kepada kita sama ada benar ataupun tidak badak merupakan binatang yang pekak, agak sukar bagi kita untuk menjawabnya. Lebih sukar jika kita ditanyai, “Apakah benar lalat yang sentiasa pening itu dapat terbang ke sana ke sini tanpa perlu ke hospital?”

Baru-baru ini penulis ke Padang Kota, Pulau Pinang untuk makan-makan. Penulis memilih kerang bakar untuk dimakan dengan sos. Salah satu kerang itu telah busuk dan menghilangkan selera penulis untuk makan.

Penulis memerhatikan kerang busuk itu, tiada apa-apa yang pelik. Kerang tetap kerang, tetapi mengapakah manusia mengaitkan kerang yang busuk itu dengan seseorang yang sering tersengih-sengih.   

Dalam kajian penulis, hanya terdapat tiga analogi sahaja yang positif dalam memperkatakan kaitan bahasa antara manusia dengan binatang, iaitu lipas kudung, akal kancil dan mata helang.

Lipas kudung bermaksud seseorang yang berlari pantas. Akal kancil bermaksud seseorang yang bijak manakala mata helang bermaksud seseorang yang dapat melihat dengan jelas.

Ketiga-tiga binatang ini tentu berbangga akan pengiktirafan yang diberikan oleh manusia. Binatang yang paling teruk dibelasah oleh manusia ialah babi. Sudahlah najis berat, dikatakan gila pula. Gila babi. Binatang lain semua waras.