SUATU ketika saya dihubungi oleh seorang sahabat yang saya hormati dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau terus menceritakan tentang seorang pemuda British yang datang ke sini semata-mata untuk belajar berbahasa Melayu.

Matlamat akhir kedatangannya supaya boleh bercakap menggunakan bahasa Melayu dalam dialek Kelantan yang diperlukan dalam tugasnya sebagai seorang sukarelawan pertolongan cemas di Selatan Thai.  

Dengan penuh harapan, sukarelawan Inggeris ini merasakan kawan saya dapat memenuhi matlamatnya.

Namun demikian, atas kesibukan tugas seharian, kawan saya terpaksa mencadangkan supaya;

1. Pendedahan asas bahasa Melayu baku akan dilaksanakan di UKM.

2. Kemahiran penguasaan bahasa seterusnya akan diteruskan oleh seorang

Munsyi Dewan di Kelantan sehingga boleh berbahasa Melayu dialek Kelantan.

 Pada peringkat awal, saya terfikir-fikir juga cara untuk mengajar pemuda berusia 34 tahun ini.

Pelbagai formula terbayang dalam fikiran untuk mencapai matlamat akhir iaitu ‘dapat bercakap dalam Bahasa Melayu Dialek Kelantan’.

‘Konkrit kepada abstrak’ dan ‘mudah kepada payah’ merupakan pegangan biasa dalam pengajaran.

Peringkat permulaan, saya gunakan saja anggota badan dari hujung rambut ke hujung kaki sebagai bahan mengajar.

Kosa kata pada bahagian kepala sebenarnya sudah mencecah hampir 20 patah iaitu kepala, rambut, mata, dahi, kening, telinga, muka, hidung, pipi, bibir, misai, mulut, pipi, dagu, janggut, leher, gigi, lidah dan gusi.

Kosa kata yang bersifat konkrit ini dilatih tubi secara dua peringkat iaitu secara sebutan baku dan diikuti secara sebutan dialek.

Secara keseluruhannya, natijahnya cukup memberangsangkan serta memberi keyakinan kepada saya bahawa bahasa kita memang menjadi buruan kepada mereka yang memerlukan.

 Pemuda yang cekal ini telah mengikuti tutorial saya selama 29 hari dengan kadar dua hingga empat jam sehari.

Sama-samalah kita perhatikan cebisan hasil pembelajaran pemuda sukarelawan ini menguasai bahasa kita dalam masa kurang lebih 20 jam pembelajarannya.

Tulisannya dalam bahasa Melayu standard: Sekarang saya tinggal di Kota Bharu hampir seminggu. Kali ini adalah kali ketiga saya datang ke Kota Bharu. Saya datang kali pertama semasa sebelas tahun dahulu. Pada masa itu saya datang melalui Rantau Panjang. Tetapi saya tinggal di Kota Bharu hanya satu hari sahaja. Kemudian saya menaiki kereta api di Wakaf Bharu ke Kuala Lumpur.

 Kali kedua enam tahun lepas.  Saya datang minta wisa Thailand di kedutaan Siam di sini. Kali ini saya datang belajar bahasa Kelantan. Minggu lepas, tiap-tiap pagi saya belajar bahasa Kelantan di sekolah kecil berhampiran Pasar Berek Dua Belas.

Sebelum mula belajar saya makan roti telur di kedai berhampiran sekolah. Selepas belajar saya makan tengah hari di kopitiam sebelah hotel tempat saya tinggal.

Tulisannya dalam dialek Kelantan: Lorni sayo du Kkota Bharu doh semenggu. Kali ni kali ketigo sayo maghi Kkota Bharu. Sayo maghi kali p’tamo masor sebela ta’un dulu. Masor-tu sayor maghi koh Ranta Panjae.

Tapi sayor dut Kkota Bharu hanyo s’aghi jah. Lepatu sayo naik K’eto api di Waka’ Baru gi Kuala Lu’pur. Kali kedua enae ta’un lepa. Sayor maghi mi’to wisa Thailand di duta Si-yae sini.

Kali ni sayo maghi ngaji bahasa kelatae. Menggu lepa nat-nat (tiap-tiap) pagi sayor ngaji bahasa kelatae di sekolah keci deka pasar beghe dua bela. Sebelu’ masuk kelas sayo makae roti telur di keda deka’ sekolah. Selepa ngaji sayo makae tengoh haghi di kopitiam di teupi hotel sayo.

Selain daripada pemuda ini, saya juga pernah menerima seorang warganegara Perancis yang ingin belajar bahasa Melayu dengan matlamat yang sama dan hasilnya amat membanggakan.

Oleh itu percayalah bahawa bahasa Melayu akan sentiasa diburu demi komunikasi sejagat.

*Penulis ialah Munsyi Dewan (Bahasa), Pensyarah Kanan IPG Kampus Kota Bharu. Catatan ini merupakan satu pengalaman penulis.

*Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka