KETIKA penulis menulis artikel ini, penulis sedang menggunakan Per-khidmatan Kereta Api Elektrik atau Electronic Train System (ETS) dari Kuala Lumpur ke Sungai Petani. Penumpang di sebelah penulis ialah seorang lelaki yang lebih berusia daripada penulis.

Setelah bersalaman, lelaki tersebut memulakan perbualan dengan soalan demi soalan. Bermula dengan soalan asas bagi masyarakat Melayu seperti; “Encik hendak ke mana?”, “Berapa lamakah  encik di Kuala Lumpur?” dan “Rumah encik di mana?”, pertanyaan lelaki itu semakin berkembang ke arah persoalan peribadi seperti; “Badan encik ini sasa macam pegawai polis ye?” dan “Isteri encik kerja di mana?”

Penulis terus  menyantuni  lelaki itu dengan sabar  sambil berharap dia akan turun di destinasinya secepat mungkin. Doa penulis dimakbulkan Tuhan kerana lelaki itu turun di Stesen Kereta Api Tanjung Malim.  

Sebelum meninggalkan penulis, sempat juga lelaki itu bertanya; “Bilakah kita akan berjumpa lagi?” Lelaki itu tetap dengan soalan. Penulis yakin, perwatakan lelaki tua itu melambangkan pengguna bahasa Melayu secara keseluruhannya.

Penulis membuka komputer riba untuk menaip artikel ini dengan harapan dapat berseorangan di tempat duduk.

Selang dua minit, seorang lelaki muda berkopiah yang baru masuk ke dalam ETS duduk bersebelahan dengan penulis. Penulis senyum kepadanya dan berharap lelaki semuda itu tidak akan berperwatakan seperti lelaki tua tadi. Penulis fokus ke arah komputer dan mula menaip.  

Tiba-tiba terdengar suara lelaki muda itu mula bertanya; “Abang buat apa tu?” Penulis menjawab yang penulis perlu menulis sesuatu untuk siaran akhbar dengan harapan pemuda itu memahami bahawa penulis memerlukan ruang untuk berkarya. Harapan penulis meleset lagi.  

Orang muda itu terus bertanya; “Akhbar apa?” “Siaran hari apa?” dan “Boleh abang tandatangan di beg saya?” Penulis terus menutup komputer dan melayani orang muda itu sehingga ke Stesen Kereta Api Tapah.

Pengalaman penulis diajukan soalan demi soalan seperti yang berlaku di dalam ETS, terjadi kepada semua orang. Kadang-kadang kita menggunakan bahasa untuk mengorek rahsia dan mengambil tahu hal orang lain sebagai modal perbualan. Kita tidak akan mengambil kisah sama ada orang yang bercakap dengan kita itu selesa ataupun tidak dengan gaya kita berbahasa.

Haji Ismail Awang Kechik merupakan rakan di pejabat penulis yang sangat baik dan bersopan santun. Apabila bertemu penulis dan sesiapa sahaja, beliau akan berkata, “Semoga tuan diberikan kesihatan dan hidayah.” Penulis berasa kagum akan kata-kata seperti ini.

Penulis yakin semua orang yang bertemu dengan beliau akan berasa selesa kerana sahabat penulis ini tidak akan mengorek cerita daripada sesiapa dengan pelbagai soalan.

Penulis merenung kisah silam penulis dan rakan-rakan ketika membesar di Kampung Kemelong Sik. Kehidupan kami ketika itu diselubungi soalan. Ketua kami ketika itu bernama Tajudin, tetapi kami memanggilnya Fuad (Tajudin Abdullah (Datuk), kini Exco Kerajaan Negeri Kedah).  

Setiap kali bertukar musim permainan, Fuad akan bertanya; “Siapa hendak main guli esok?” atau Fuad akan bertanya; “Petang ini hendak mandi di pangkalan mana?” Komunikasi kami dipenuhi dengan soalan.

Pada hemat penulis, cara kita berbahasa perlu diubah. Seorang guru disiplin tidak perlu bertanya; "Mengapa datang lewat?” kepada murid yang terlewat, tetapi gantikan dengan; “Alhamdulillah, sampai juga awak ke sekolah walaupun terlewat sedikit”. Soalan seperti “Awak hendak ke mana?” perlulah diganti dengan “Semoga perjalanan awak selamat”.  

Penggunaan bahasa memer-lukan kebijaksanaan. Pengguna bahasa masih boleh bertanya asalkan tidak menimbulkan kegelisahan pihak lain.

Ketika berbahasa, kita bukan sahaja perlu menguasai aspek bahasa, tetapi kita juga perlu menguasai aspek kemahiran komunikasi. Bahasa merupakan wahana komunikasi. Indah bahasa, indahlah komunikasi.