PENULIS sudah lama tidak menjejak kaki ke kampung kelahiran, iaitu di Kampung Kemelong, Sik, Kedah. Baru-baru ini, seorang sahabat lama yang bernama Mohamad Fikri Abd Ghani atau panggilan mesranya Mad Legong menghubungi penulis.

Pada akhir perbualan kami melalui aplikasi WhatsApp, dia mencatat satu peribahasa dalam bahasa Kemelong, “kalu anging tak dak, tak kang pokok nak guek” (Jika tiada angin masakan pokok bergoyang).

Penulis tersenyum sendiri kerana perkataan “guek” dalam peribahasa itu menandakan betapa banyaknya istilah bahasa yang terdapat di kampung kami.

Ketika kecil, arwah ayah penulis (semoga rohnya dirahmati) selalu memberikan nasihat. Sebagai anak kecil berusia tujuh tahun, mendengar nasihat merupakan perkara yang kurang selesa.  Oleh itu, penulis buat endah tak endah sahaja nasihat ayah sambil melihat-lihat ayam berkejaran.

Ayah menegur, “orang beri nasihat, dia buat “phalow””.  Perkataan “phalow” merujuk tindakan penulis yang tidak fokus ketika ayah bercakap. Hebat bahasa Kemelong ini.

Selepas ayah meninggal ketika penulis berusia lapan tahun, penulis membantu emak (semoga rohnya dirahmati) membelah kayu api. Kami mengambil batang getah bulat bersaiz dua kaki setiap satu untuk dibelah menggunakan beliung seterusnya dijadikan kayu api.

Penulislah yang paling banyak membelah kayu api berbanding abang penulis (Datuk Takiyuddin Hassan – YB Kota Bharu) kerana pada waktu itu beliau sedang belajar di Maktab Mahmud Alor Setar.

Selepas membelah kayu api yang sangat banyak, penulis rasa “tehele”. Perkataan “tehele” tentulah tidak terdapat di tempat lain. “Tehele” bermaksud keletihan melampau. Penulis bangga ketika menggunakan perkataan ini. Ini bahasa Kemelong.

Sekali-sekala Jabatan Penerangan Malaysia akan masuk ke Kampung Kemelong untuk menayangkan wayang pacak. Arwah ayah melarang kami daripada menonton wayang pacak kerana sebab-sebab tersendiri.

Penulis dan anak-anak saudara akan “hite” ayah dari luar rumah sama ada ayah sudah tidur atau masih berjaga.  Setelah sah ayah tidur, kami berlari pantas ke kawasan wayang pacak ditayangkan. Kosa kata “hite” bermaksud melihat-lihat. Indah sungguh bahasa Kemelong ini.

Masyarakat lelaki di Kampung Kemelong ketika itu kebanyakannya gemar tidak berbaju. Mereka hanya memakai kain pelikat dan “sebe” sehelai kain di atas bahu. Kain ini jugalah yang dijadikan sejadah jika perlu.  

Antara gemulah yang bergaya seperti ini ialah Pak Chu, Pak Wa Din, Chu Ail dan banyak lagi. Istilah “sebe” sungguh bermakna bagi penduduk di Kampung Kemelong kerana istilah ini menerangkan maksud yang sangat tepat. “Sebe” bermaksud meletakkan kain di atas bahu. Tiada istilah ini di tempat lain.

Sekali-sekala penulis membantu orang kampung mengerjakan sawah. Apabila keadaan panas, tentulah terjadi “charak”. Kami menggunakan kajang untuk melindungi diri daripada cahaya matahari. “Charak” bermaksud silau akibat panahan cahaya matahari. Antara perkataan silau dan “charak”, perkataan yang digunakan di kampung kami itu lebih tepat. Penulis sungguh bangga akan perkataan luar kamus yang digunakan di Kampung Kemelong.

Penulis dan rakan-rakan sekampung bukanlah terlalu baik dalam erti kata perangai kanak-kanak. Kami semua “lulih”. Kami ambil selipar orang kampung di surau, masukkan ke dalam guni dan gantung di pokok. Apabila jemaah keluar surau, mereka riuh-rendah mencari selipar. Kami ketawa besar sambil berlari.

Kami “lulih” sebenarnya tetapi semua yang “lulih” itu kini berjaya menjadi insan yang baik. Perkataan “lulih” bukan bermaksud jahat tetapi dalam jahat ada baik dan dalam baik ada jahatnya. Istilah “lulih” sungguh tepat. Bahasa Kemelong sangat hebat.

Beberapa istilah yang penulis kemukakan merupakan sebahagian daripada istilah bahasa Kemelong yang terpinggir. Terdapat ribuan lagi istilah di kampung ini yang perlu diketengahkan oleh pengkaji bahasa. Anak-anak muda di kampung ini sudah tidak dapat menggunakan bahasa Kemelong dengan fasih. Hal yang demikian ini akan menyebabkan bahasa Kemelong akan lenyap.

Kepada peminat bahasa, datanglah ke Kampung Kemelong dan berjumpalah orang tua seperti Mad Legong dan Muslim Mak Long Sarah untuk memulakan kajian hebat ini.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka