YANG kurik itu kundi,

yang merah itu saga;

yang baik itu budi,

yang indah itu bahasa.

Pantun di atas jelas menunjukkan pentingnya budi bahasa dalam kehidupan masyarakat. Budi bahasa merupakan aspek yang penting dalam kehidupan bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu di negara kita.  

Aspek budi bahasa hendaklah diamalkan dalam kehidupan harian, khususnya dalam komunikasi agar keharmonian dan ketenteraman hidup di negara berbilang kaum ini dapat dipertahankan.

Salah satu aspek terpenting semasa berkomunikasi ialah budi bahasa. Hal ini demikian bermaksud penggunaan bahasa yang baik, halus dan bersopan santun haruslah kita amalkan semasa berkomunikasi.

Orang Melayu khususnya memang dikenali sebagai bangsa yang mempunyai budi bahasa yang tinggi ketika bertutur kerana mengamalkan cara pertuturan yang beradab sopan, lemah lembut dan penuh kelembutan.

Pandangan ini dapat dibuktikan apabila melihat beberapa kaedah penggunaan bahasa dalam komunikasi dalam kalangan orang Melayu di negara kita.

Tidak elok bagi orang Melayu untuk menggunakan bahasa yang kasar dan tidak sopan ketika membicarakan hal-hal yang berkaitan maruah, seks, kesedihan dan malapetaka kerana mampu menyinggung hati pihak-pihak tertentu.

Lantaran itulah kosa kata yang lebih sopan digunakan untuk membicarakan hal-hal yang berkaitan perkara tersebut. Kita akan menyebut operator pengeluaran bagi menggambarkan pekerja kilang, pengawal keselamatan (jaga) dan pegawai perkhidmatan pelanggan (pelayan wanita) supaya lebih manis didengar dan dalam masa yang sama mampu meningkatkan taraf pekerjaan mereka.

Begitu juga dalam aspek-aspek lain, orang Melayu digalakkan menggunakan bahasa yang sopan ketika berbicara tentang seks, malapetaka, kesedihan dan sesuatu yang menakutkan, contohnya datang bulan (haid), kanser payudara (barah buah dada), kembali ke rahmatullah (mati), si belang (harimau) dan beberapa contoh lagi. Hal ini demikian bagi memastikan tidak ada pihak yang tersinggung dalam sesuatu komunikasi.

Dalam sesuatu majlis rasmi pula, kita mempunyai protokol tertentu khususnya kepada tetamu undangan yang hadir dalam majlis tersebut. Nama dan gelaran tetamu undangan akan disebut mengikut urutan keutamaan oleh juruacara semasa memulakan majlis atau ketika memulakan ucapan oleh individu yang berucap dalam sesuatu majlis.

Protokol ini mungkin jarang-jarang terdapat dalam budaya bangsa lain, tetapi itulah antara kesantunan bahasa yang terdapat dalam budaya orang Melayu sebagai tanda menghormati tetamu yang hadir dalam sesuatu majlis.

Namun, ledakan teknologi maklumat telah menyebabkan sedikit demi sedikit nilai kesantunan ini hilang. Kewujudan pelbagai media sosial yang dipacu oleh kemunculan internet menyebabkan nilai-nilai kesantunan ini semakin meluntur.

Walaupun bukan semua komunikasi melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan Instagram bersifat kasar, namun kemunculan media sosial ini serta beberapa media sosial yang lain telah membuka ruang kepada kita untuk menyaksikan pengguna-penggunanya berlumba-lumba menggunakan bahasa yang kesat, lucah, kasar, maki hamun, berbentuk provokasi dan menghina kepada pihak lain.

Adakah fenomena ini menggambarkan nilai-nilai kesopanan dalam kalangan bangsa Malaysia, khususnya orang Melayu semakin luntur?

Situasi ini menjadi lebih parah apabila rancangan-rancangan hiburan di media massa seolah-olah merelakan pembiakan bahasa-bahasa yang kasar. Perbuatan yang dianggap negatif seperti bercakap dengan bahasa yang kasar dan bergelak ketawa dalam keadaan yang tidak terkawal seolah-olah diizinkan untuk berlegar-legar dalam media massa yang ‘pengguna’ utamanya ialah remaja.

Kita cuma berdoa kepada ALLAH SWT agar generasi Trans-formasi Nasional 2050 (TN50) masih mempunyai jati diri yang mantap untuk membawa perubahan positif kepada negara tercinta ini.

Sudah banyak peringatan yang diberi oleh generasi terdahulu supaya kita menjaga kesopanan dan budi bahasa seperti 'Bahasa Jiwa Bangsa' dan 'Bahasa Melambangkan Bangsa,' namun kehidupan kini yang memerlukan semua perkara termasuk berkomunikasi dilakukan dengan cepat, ringkas dan padat menyebabkan kita seolah-olah terlupa dengan peringatan itu.

Walau bagaimanapun khazanah bangsa kita turun-temurun ini tidak harus dikesampingkan. Sama-samalah kita menjaga kesopanan dan kehalusan semasa berkomunikasi walaupun sedang menghadapi ledakan teknologi maklumat terkini. Dirgahayu Bahasaku!