PADA penghujung November yang lalu, penulis berada di Ipoh selama empat hari kerana menghadiri mesyuarat penting. Penulis menggunakan perkhidmatan Uber sebagai alat pengangkutan dari hotel ke tempat mesyuarat. Selain tambang yang murah, penulis tertarik akan sikap baik diamalkan oleh pemandu Uber.

Salah seorang pemandu Uber ialah pemuda berbangsa India bernama Harithnathan. Ketika penulis melangkah masuk ke dalam teksinya, dia mengucapkan selamat kepada penulis dengan senyuman manis. Sambil mengubah siaran radio berbahasa Tamil kepada siaran Hot. FM, dia menyantuni saya.

Bahasa Melayu yang digunakannya lintang-pukang, tetapi penulis masih memahami isi bicaranya. Penulis amat senang akan sikap Harithnathan kerana dia tetap mesra sepanjang perjalanan walaupun penggunaan bahasa Melayunya amat lemah.

Peristiwa ini menyebabkan penulis terfikir bahawa bahasa bukan sekadar tatabahasa, tetapi yang lebih penting ialah kesantunan ketika berbahasa.

Pada suatu petang, penulis ke Dataran Ipoh untuk makan-makan. Orang sangat ramai di situ. Ada yang datang dengan anak-anak dan pasangan masing-masing. Penulis yang bersendirian memilih tempat duduk di tengah-tengah orang ramai yang sedang makan.

Dari jauh penulis melihat seorang tua peminta sedekah bergerak dari sebuah meja ke sebuah meja. Ada beberapa orang yang sedang makan itu mengherdiknya dengan kata-kata kurang wajar. Ada juga antara mereka yang berpura-pura tidak mendengar salam daripada peminta sedekah itu. Hati saya pilu tatkala melihat tingkah-laku orang ramai yang hilang kesantunan.

Penulis yakin bahawa semua orang yang sedang makan itu belajar tatabahasa bahasa Melayu ketika di sekolah. Pada hemat penulis, bahasa bukan sekadar tatabahasa, tetapi yang lebih penting ialah kesantunan ketika berbahasa.

Pada 25 November 2016, tibalah masanya untuk penulis pulang ke Kedah setelah empat hari bermesyuarat tentang SKPMg2. Harithnathan menghantar penulis ke Stesen Kereta Api Ipoh dengan santun.

Orang sangat ramai di situ. Mungkin disebabkan cuti persekolahan telah bermula. Suasana di situ hingar-bingar. Pengumuman berkaitan ketibaan dan pelepasan Perkhidmatan Kereta api Elektrik atau ETS (Electric Train Service) dan komuter hanya dilakukan secara manual.  

Oleh sebab penulis tidak dapat mendengar pengumuman, penulis bergerak ke hadapan untuk bertanya petugas kereta api yang berbaju kekuningan. Ada empat orang warga emas berbangsa Cina sedang bercakap dengan petugas kereta api. Daripada perbualan yang agak kasar itu, saya memahami bahawa keempat-empat warga emas itu terlepas kereta api untuk ke Butterworth.

Saya terpaksa campur tangan kerana tidak tergamak melihat bahasa Melayu digunakan tanpa kesantunan. Sekarang, saya berhadapan dengan petugas yang berpakaian putih kebiruan.

Dia juga melayani saya dengan kasar, tetapi akhirnya masalah warga emas itu selesai juga.  Mereka menaiki ETS bersama-sama saya ke Sungai Petani. Berkali-kali keempat-empat warga emas berbangsa Cina itu mengucapkan terima kasih kepada saya.

Penulis sungguh hairan dan kesal kerana warga emas berbangsa Cina itu dilayan dengan kasar menggunakan bahasa Melayu. Jelas dan nyata bahawa bahasa Melayu bukan hanya berkaitan tatabahasa, tetapi yang lebih penting ialah kesantunan ketika menggunakan bahasa.

Abang ipar penulis bernama Abdullah Hassan. Kami memanggilnya Abang Kassim (Semoga ALLAH merahmati rohnya). Dia bukan orang bahasa, tetapi tutur katanya lembut dan menyenangkan hati pendengar. 

Mungkin Abang Kassim tidak memahami apa-apa tentang tatabahasa bahasa Melayu, tetapi diksi yang dipilihnya mendatangkan kesan yang sangat baik kepada penulis.

Ketika dia sakit di Hospital Sultanah Bahiyah, penulis meminta nasihat daripadanya buat kali terakhir. Abang Kassim menasihati penulis supaya bercakaplah apa-apa sahaja yang kita suka asalkan yang menyenangkan hati semua orang. Penulis pegang kata-katanya itu sehingga hari ini.

Benarlah bahawa bahasa bukan sekadar tatabahasa, tetapi yang lebih penting ialah kesantunan ketika berbahasa.

* Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.