BARU- BARU ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah memperkenalkan 140 perkataan baharu atau istilah dalam pelbagai bidang.

Kebanyakan perkataan atau istilah yang diperkenalkan ini berasal daripada bahasa Inggeris.

Antaranya, perkataan viral dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang bermaksud keadaan sesuatu yang merebak atau diedarkan dengan cepat dan meluas menerusi alam maya, dari satu pengguna internet kepada yang lain.

Sejak perkataan tular digunakan, media massa, media sosial telah menggunakan perkataan ini dengan meluas sama seperti maksud perkataan tersebut.

Begitu juga dengan perkataan trending yang bermaksud suatu yang muncul sebagai popular; disebut secara meluas dan dibincangkan dalam ruang maya atau internet juga telah diberikan padanan dalam bahasa Melayu sebagai sohor kini.

Perkataan-perkataan atau istilah baharu ini dicipta bertujuan untuk mendukung konsep atau perkara baharu yang timbul dalam masyarakat hari ini.

Apabila masyarakat semakin berkembang selari dengan perubahan ilmu pengetahuan, sudah pasti semakin banyak pula konsep, proses, fenomena atau keadaan baharu yang memerlukan perkataan baharu untuk mengungkapkannya.

Banyak perkataan yang digunakan sebelum ini hanya digunakan sebagai ikut-ikutan sahaja tanpa kita mengetahui bahasa sumbernya.

Ada kalangan pengguna bahasa yang tidak mengetahui maksud perkataan, tetapi bebas menggunakan perkataan tersebut semasa berkomunikasi. Hal ini menyebabkan fenomena bahasa rojak berlaku akibat percampuran yang tidak terkawal antara bahasa Melayu dengan bahasa asing.

Inisiatif yang diambil oleh DBP ini menggunakan dua proses utama iaitu melalui penggunaan popular seperti dalam penulisan kreatif, media massa dan melalui proses perancangan bahasa yang rasmi. Kedua-dua proses ini akan melibatkan proses pengayaan bidang bunyi bahasa (fonologi), pembentukan kata (morfologi) dan kosa kata (leksikal).

DBP dalam buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia (1975) menggariskan tujuh langkah dalam proses pembentukan istilah.

Pertama, istilah yang dipadankan merupakan perkataan bahasa Melayu yang lazim dipakai dan mendukung makna istilahnya seperti garis pusat, hasil keluaran dan lain-lain.

Kedua, perkataan bahasa Melayu yang kurang lazim dipakai seperti cerakin, mendap dan jisim.

Ketiga, perkataan bahasa serumpun atau dialek Melayu yang lazim dipakai seperti dermaga dalam bahasa klasik.

Keempat, perkataan bahasa serumpun atau dialek yang tidak selalu digunakan seperti dening dalam dialek Kelantan.

Kelima, perkataan atau istilah daripada bahasa Inggeris seperti struktur, spesies dan profesional.

Keenam, penggunaan perkataan daripada bahasa lain seperti ad hoc, espirit de corp dan de facto. Ketujuh, membuat pemilihan terbaik antara langkah pertama dengan langkah keenam jika berlaku beberapa kemungkinan.

Dalam hal ini, empat syarat perlu dipatuhi iaitu, ungkapan yang dipilih mestilah ungkapan yang paling singkat, ungkapan yang maknanya tidak menyimpang, ungkapan yang tidak membawa pengertian yang buruk dan ungkapan yang sedap didengar.

Perkataan-perkataa yang diperkenalkan seperti tanda pagar (hashtag), bicara pagi (breakfast talk), swafoto (selfie), nyah pepijat (debug), pasang ganti (clean install), makanan cekut (finger food), iklan acah (teaser), swafoto bersama (wefie), bicara santai (table talk), kata pikat (pick-up line) bukanlah sekadar untuk kita ketahui padanannya sebaliknya menggunakannya atau menyebarkannya untuk faedah kita semua selaku pencinta bahasa. Sesuatu yang baharu pada mulanya agak canggung tetapi jika telah menjadi kebiasaan, tentulah kita dapat menerimanya, bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa.  

Rajin-rajinlah melayari laman sesawang prpm.dbp.gov.my untuk mendapatkan maklumat sohor kini kerana yang bulat tak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Sememangnya, bahasa menggambarkan keperibadian bangsanya.