MENDUNG awan di daerah Mualim kian berarak pergi oleh pawana monsun barat daya. Alam malar hijau yang berlatarbelakangkan Banjaran Titiwangsa beransur-ansur cerah membiru disinari oleh cahaya mentari pagi yang garang.

“Selamat pagi, warga budiman Tanjong Malim!” bisik penulis dalam monolog pagi sambil melihat beraneka kenderaan mula bertali arus di jalan-jalan raya menuju ke destinasi masing-masing.

Menurut Kamus Dewan, kosa kata awan bermaksud wap air yang bergumpul-gumpul di udara (kelihatan seperti asap berwarna putih atau kelabu di langit). Daripada awan (kata tunggal), maka terbitlah awan-gemawan (kata ganda), awan larat (kata majmuk), berawan, mengawan dan merawan (kata kerja) sehingga dapat dikenal pasti oleh penulis akan kehadiran sejumlah peribahasa yang berkonsepkan awan (kata nama) seperti yang berikut:

Ayat contoh:

1. Awan di Kampung Berop kian mendung menandakan hujan akan turun tidak lama lagi.

2. Awan-gemawan di daerah pedalaman itu kebiru-biruan.

3. Burung bangau yang terbang itu putih mengawan di udara.

4. Langit pada malam ini tidak berawan.

5. Objek ganjil itu didapati merawan sejak 1000 tahun yang lalu.

6. Awan gelap yang dialami oleh keluarga malang itu dapat ditangani dengan adanya bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat setempat.

7. Seni awan larat pada bahagian bumbung rumah pusaka itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

8. Nasib gadis itu umpama awan mengandung hujan setelah kedua-dua ibu bapanya terkorban dalam satu kemalangan baru-baru ini.

Dari segi geografi dan laras sains pula, bumi yang kita huni ini sering diselubungi oleh pelbagai jenis awan yang terkumpul di cakerawala. Antara jenis awan yang sering ditemukan termasuklah kumulus, arkus, kumulonimbus, luruhan berjalur, sirus, nimbostratus, pileus, altokumulus, stratokumulus, sirostratus, dan sirokumulus.

Jika dikaji dan dihalusi genre puisi tempatan, kosa kata awan turut ditemukan dalam sajak Sasterawan Negara, Datuk Dr A Samad Said (2 April 1988) bertajuk Obor Hemah:

Guru adalah awan indah terbang rendah,

Melimpahkan hujan pada musim gersang,

Menyegarkan benih ilmu,

Berbuah hikmah;

Ia renjis embun pada tanah bakat,

Suara ihsan ketika manusia kalah,

Sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Apa yang jelas, kehadiran kosa kata, “awan” dalam bahasa Melayu cukup berkesan sama ada sebagai bahasa pengucapan ataupun bahasa persuratan yang turut merangkum pelbagai bidang kehidupan insan, termasuklah bidang bahasa, susastera, sains, dan geografi.

Bahasa Jiwa Bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka