ANAK-ANAK kita diibaratkan cerminan keperibadian kita orang dewasa. Bagaimana mereka hidup dalam didikan dan asuhan keluarga begitulah mereka memperagakan diri mereka.

Kita selalu melihat dan mendengar anak-anak berbahasa kasar, tidak santun, malah ada yang mencarut dan menggunakan bahasa makian yang menyakitkan telinga kita mendengarnya.

Perolehan bahasa begitu, berpunca daripada pengaruh persekitaran mereka, sama ada keluarga terdekat, mahupun rakan sebaya mereka. Semasa anak-anak belajar memperoleh bahasa, apa-apa sahaja yang didengari akan diterima dan akan menggunakan kosa kata tersebut apabila mereka boleh berkata-kata.

Dalam lipatan sejarah hidup Rasulullah, diceritakan bondanya membawa anaknya yang bernama Muhammad itu keluar dari kota Makkah ke sebuah daerah yang terpencil, kerana penduduk daerah itu masih menggunakan bahasa Arab yang santun dan murni.

Hasilnya, Muhammad yang masih kecil itu memiliki keperibadian yang luhur dan terpuji. Demikianlah contoh fungsi asuhan bahasa dalam keluarga, terutamanya di rumah.

Dalam dunia yang dilanda kemajuan teknologi dan maklumat ini, pelbagai cabaran dirasai dan tidak terkecuali dalam ranah berbahasa. Anak-anak kita terdedah dengan penggunaan bahasa melalui pelbagai saluran media, sama ada televisyen, radio dan sebagainya. Peranti media baharu seperti komputer, telefon bimbit, netbook, (dan banyak lagi) menghidangkan pelbagai aplikasi menjadi wadah orang berbahasa.

Anak-anak kita mengenali semua itu sejak lahir lagi. Justeru, sangat mudah bagi mereka terpengaruh dengan bahasa kasar dan kesat yang dihidangkan melalui peranti kegemaran mereka. Oleh itu, sebagai langkah untuk mengasuh anak-anak agar tidak dimomokkan oleh saluran bahasa yang cacamerba itu, ibu bapa perlu bijak berperanan.

Langkah pertama, jadikanlah lingkungan keluarga kita sebagai tempat permulaan pembinaan komunikasi yang murni dan benar. Ibu bapa perlu mengaktifkan semula budaya bercerita, berdongeng dan bersembang-sembang dengan anak-anak sebagai satu kaedah mendidik dan mengasuh anak-anak menggunakan bahasa yang santun.

Pilihlah perkataan atau kosa kata yang lunak dan sedap didengar apabila bercerita dan berkomunikasi dengan anak-anak. Jika ada anak-anak menyebut perkataan yang agak kasar atau kesat, segeralah menegur mereka dengan berhemah.

Contohnya “Nak, jangan gunakan perkataan itu, tidak baik dan berdosa, ALLAH marah”. Elakkan menengking dan memarahi mereka atas kesilapan penggunaan bahasa yang kurang baik itu.

Langkah kedua, apabila ibu bapa ingin memberi arahan atau sesuatu perintah, elakkan menggunakan bahasa yang keras, contohnya “Ahmad, pergi mandi cepat, kalau lambat mak akan tinggal”. 

Berdialoglah dengan anak-anak supaya mereka boleh dengan mudah menerima arahan dan suruhan kita. Cara berdialog akan membuka suatu saluran memberi kesedaran kepada anak-anak dan bukan secara paksaan.

Langkah ketiga, biasakan berbahasa dengan anak-anak menggunakan bahasa yang betul. Jika ibu bapa ingin memberitahu tentang barangan di dalam rumah, sebut dengan betul contohnya, alat pendingin hawa (bukan alat penghawa dingin), sos cili (bukan cili sos), kereta kawalan jauh (bukan kereta remote control) dan banyak lagi perkataan yang selalu kita menyebut dan mengasuh mereka dengan salah.

Kesimpulannya, anak-anak yang masih kecil mudah dibentuk dan diasuh kerana fikiran mereka masih suci dan tidak dicemari oleh anasir merosakkan. Begitulah juga aspek berbahasa dalam mendidik mereka, jika sejak kecil lagi mereka didengarkan dengan bahasa yang santun dan muluk, itulah acuan mereka berbahasa apabila mereka besar nanti.

Sesungguhnya, perkataan yang baik dan pemberian maaf itu, lebih baik daripada pemberian sedekah yang diiringi dengan kata-kata yang menyakitkan... (maksud daripada Surah al-Baqarah, ayat 263).