DALAM mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan pencapaian prestasi semasa dalam organisasi, ketua jabatan telah mengemukakan idea yang bernas. 

“Kita dapati bahawa prestasi organisasi kita masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan. Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan agar kita mengadakan kolaborasi dengan beberapa syarikat luar agar dapat kita berkongsi kemahiran dan kepakaran bagi mencapai visi dan misi yang telah ditetapkan pihak pengurusan tertinggi.”

Kadangkala terdapat juga penggunaan kata kolaborasi digunakan dalam penulisan surat rasmi.

“Dengan hormatnya dimaklumkan bahawa pihak kami telah bersetuju untuk mengadakan kolaborasi dengan pihak tuan berhubung program bulan kemerdekaan yang bakal berlangsung.”

Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan kolaborasi sebagai subahat (kerjasama) dengan musuh atau orang jahat. Perkataan kolaboratif pula bermaksud erat (dari segi kerjasama antara dua pihak ataupun lebih). Setelah kita mengetahui maksud kedua-dua perkataan tersebut, baik penggunaan perkataan kolaborasi dalam mesyuarat yang telah digunakan oleh ketua jabatan mahupun dalam penulisan surat rasmi, kedua-dua penggunaannya kurang tepat. Cuma, kesannya berbeza. 

Dalam mesyuarat yang dihadiri oleh ahli-ahli yang terlibat, perkataan tersebut hanya disebut dan kemungkinan besar tidak dapat diingati oleh semua ahli yang hadir. Jika perkataan kolaborasi itu tadi digunakan dalam surat rasmi antara jabatan, sudah tentu kecuaian yang berlaku akan menggambarkan imej jabatan atau kakitangannya. Bagaimanakah jika perkataan tersebut ditulis pada sepanduk atau media sosial yang dibaca oleh sebahagian besar khalayak? Kekhuatiran yang berlaku, banyak yang akan beranggapan bahawa perkataan itu baharu dan betul penggunaannya. 

Dalam ruangan minggu ini, penulis tidak bermaksud untuk membicarakan definisi kolaborasi atau kolaboratif. Kedua-dua perkataan itu hanya dapat dirujuk dalam Kamus Dewan atau Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Penulis sebenarnya ingin berkongsi dengan sidang pembaca bahawa ungkapan atau perkataan yang disalahgunakan ini akan meninggalkan akibat atau kesan yang besar terutama kepada generasi muda yang sedang membina jati diri atau masih dalam alam persekolahan. Lebih-lebih lagi, jika perkataan tersebut dianggap betul dan dijadikan amalan dalam penulisannya. Situasi ini akan menjadi semakin sukar jika perkataan tersebut dijadikan pegangan tanpa rujukan atau sumber autentik.

Begitulah iktibarnya jika kita hanya menyebarkan sesuatu perkara atau berita, tanpa kita ketahui kesahihannya. Kita mungkin berasa seronok jika kita merupakan orang terawal yang berkongsi sesuatu berita. Bagaimanakah jika berita yang dikhabarkan itu tidak benar? Mungkin kita boleh memohon maaf secara terbuka atas kekhilafan yang berlaku, tetapi kesilapan yang terjadi itu jelas menunjukkan bahawa budaya menyelidik atau berfikir sebelum bertindak, sudah tidak ada dalam kamus diri kita. Kita tidak mahu gejala melempar batu sembunyikan tangan masih lagi berlaku!

Sebagai pengguna bahasa yang tidak hanya mampu mengungkapkan slogannya sahaja, kita perlu mengakui bahawa tidak semua perkataan yang biasa kita gunakan itu betul, sama ada perkataan tersebut pernah kita baca ataupun terlihat pada papan iklan. Memandangkan bahasa itu bersifat dinamik, pelajarilah daripada sumber yang dipercayai. Sebaik-baiknya, jika kita telah memahami dan mengerti ungkapan yang betul, maka biasakanlah penggunaannya dan sebarkanlah sebagai perkongsian bijak. Kita bakal menyambut hari kebangsaan kali ke-59. Biarlah usia itu menjadi ukuran untuk kita matang dan bijaksana dalam membuat perkiraan atau keputusan! 

Bahasa Menunjukkan Bangsa.