ANTOLOGI sajak Bahasa yang Sama telah diterbitkan oleh Penerbit UPSI Tanjong Malim. Sebagai makluman, buat pertama kalinya antologi tersebut menggabungkan 60 sajak yang telah dihasilkan oleh tiga penyair berlainan kaum, latar belakang dan agama di negara kita.

Sehubungan dengan usaha murni tersebut, ketiga-tiga penulis, iaitu Dr Ghazali Din (UPSI), Dr Raja Rajeswari Seetha Raman dan penulis telah diundang menjayakan program Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang disiarkan secara langsung melalui TV1 pada 27 Jun lepas.

Panel pertama, Dr Ghazali berkongsi latar belakang keluarga, nostalgia dan pengalaman beliau sehingga terhasilnya usaha penerbitan antologi sajak tersebut.

Bersumberkan pergaulan akrab beliau dengan sahabat keluarga Ah Seng, Letchumi dan Raja sejak zaman kanak-kanak di Kuala Kedah, sebuah perkampungan nelayan, maka tercetuslah ilham Dr Ghazali untuk membukukan sajak-sajak yang terpilih bersama-sama Dr Raja Rajeswari Seetha Raman dan Munsyi Dewan Chai Loon Guan.

Menurut Dr Ghazali lagi, sajak atau puisi Melayu moden dapat diolah dengan bahasa yang indah dan puitis sehingga mampu menawan hati, minat dan pemikiran pembaca daripada pelbagai kaum melalui media massa, sama ada media cetak, media elektronik atau media sosial.

Tangisanmu Rohingya adalah gerimis malam

Rohingya yang singgah di hati sanubari

tangisanmu bagai gerimis malam

saling kita terasa kesedihan

air matamu, Rohingya

adalah titisan nasibmu

dan bagaimana dapat kupadamkan

pada ingatan lewat cerita duka

di pantai deritamu

sering kali ditampar ombak kekejaman

(Ghazali Din, UPSI, 2016)

Selaku panel kedua, Dr Raja Rajeswari menjelaskan bahawa sajak-sajak yang terpilih dalam antologi, Bahasa yang Sama merangkumi pelbagai tema dan persoalan, iaitu aspek kemanusiaan, perpaduan, cinta akan bahasa kebangsaan, sejarah, alam sekitar dan isu-isu semasa yang bersifat sejagat.

Menurut beliau lagi, genre bahasa dan kesusasteraan Melayu, khususnya puisi (sajak) wajib didedahkan kepada murid-murid sejak prasekolah (tadika) hingga institusi pengajian tinggi selain peranan dan penekanan terhadap sukatan dan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah oleh guru besar, pengetua, dan guru-guru Bahasa Melayu.

Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu juga perlu diwajibkan dalam kurikulum kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia agar timbul nilai cinta dan minat yang berterusan dalam hati sanubari murid-murid.

Rona-rona harapan

Malam menghamparkan kehidupan yang tajam, kejam dan hitam. Rembulan berusaha memancar sedar dalam kalbu ungu dengan kuning cahayanya yang tinggi. Bayu bertekad menerbangkan kelabu sebuah perasaan yang masih bertamu di rumah putih. Semoga alam mengembalikan biru sebuah kalbu agar perjalanan merah yang diharungi untuk membeli harmoni kembali menghijau pertiwi. (Raja Rajeswari Seetha Raman – Dewan Sastera, Oktober 2014)

Munsyi Dewan, Chai Loon Guan, DBP pula menjelaskan bahawa budaya membaca haruslah dipupuk dalam kalangan anak di rumah dan perlu berkesinambungan usaha di sekolah, institusi pengajian tinggi, dunia kerjaya dan kehidupan kita sehari-hari selaras dengan slogan Membaca Jambatan Ilmu dan Ilmu Pelita Hati.

Menurut beliau lagi, melalui pentafsiran terhadap alam dan kehidupan sarwajagat, genre sajak banyak mengungkapkan gaya bahasa yang indah dan berirama, iaitu bahasa figuratif antaranya termasuklah metafora, personifikasi dan simile yang mampu menghasilkan sajak-sajak yang bermutu, puitis dan tinggi nilai estetikanya untuk bacaan dan tafsiran pembaca.

Sajak juga merupakan satu daripada genre puisi Melayu selain puisi Melayu lama, yakni pantun, seloka, syair, gurindam, teromba dan nazam yang mampu memupuk nilai-nilai persefahaman, kasih sayang, kemanusiaan dan perpaduan kaum.

Oleh itu, guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu haruslah proaktif dan kreatif untuk menyebar-luaskan genre puisi, khususnya sajak melalui PdP atau PdPc Bahasa Melayu sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah selain kegiatan kokurikulum akademik.

Genre puisi Melayu juga wajar didedahkan pembacaannya kepada masyarakat umum, khususnya kakitangan awam dan kakitangan swasta dari semasa ke semasa.

Balada hidup

sehelai daun kering

berguguran

di bumi hayat

senja hiba

berlabuh lesu

di horizon waktu

bulan

kehilangan bintang

akur bertafakur

di cakerawala hidup

(Chai Loon Guan, Dewan Sastera, Jun 2017)

Seusai sahaja siaran langsung SPM, kami singgah sebentar di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur untuk bertanyakan khabar kepada Editor/Editor Kanan Bahagian Majalah dan Bahagian Buku Umum sebelum menjamu selera, yakni makan tengah hari di Restoran Ikan Bakar Seri Melaka, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.

Antologi sajak Bahasa yang Sama – dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim, Daerah Muallim, Perak Darul Ridzuan ke RTM, Bangunan Angkasapuri, Bukit Putra, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. BAHASA JIWA BANGSA.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka