SELESAI program tahunan, Bual Bicara Tatabahasa Bahasa Melayu peringkat Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM), Daerah Muallim, kami minum petang di Kafeteria MDTM.

Dapatlah penulis, selaku pemudah cara program duduk semeja, bergebang sambil minum petang bersama dengan beberapa peserta program.

Mereka terdiri daripada ahli Majlis MDTM, ahli Majlis Masyarakat Sivil (MMS), MDTM, Pengerusi, Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung dan Pegawai Perkampungan, Bahagian Kampung Baru di Daerah Muallim.

“Munsyi, bolehkah saya tumpang bertanya?” Puan Ann Phang memulakan bual bicara.

“Silakan, puan!”

“Apakah perbezaan antara kata nama dengan frasa nama dalam bahasa Melayu?”

Menarik sekali. Barangkali persoalan tersebut sudah sekian lama bersarang di minda beliau.

“Begini puan. Dalam bahasa Melayu, terdapat berbagai-bagai golongan kata yang digunakan dalam percakapan (lisan) dan penulisan. Oleh itu, kita perlu mengetahui golongan kata supaya kita dapat menggunakannya dengan betul dan baik.

Berdasarkan penggunaan perkataan dalam ayat, golongan kata bahasa Melayu terbahagi kepada empat golongan, iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif, dan kata tugas.”

Puan Ann Phang mencatat setiap penerangan munsyi dalam buku catatan beliau. Yang lain turut pasang telinga masing-masing.

“Kata nama ialah kelompok perkataan yang menamakan orang, haiwan, tempat, benda atau konsep. Kata nama menjadi unsur inti frasa nama dalam binaan ayat bahasa Melayu.”

“Contohnya, munsyi?”

“Komputer itu canggih sekali. Kosa kata, ‘komputer’ ialah kata nama manakala ‘komputer itu’ dikenal sebagai frasa nama.”

“Penulis difahamkan bahawa kata nama terbahagi kepada tiga jenis, iaitu kata nama am, kata nama khas dan kata ganti nama, munsyi?” Tuan Haji Hamzah Ismail, ahli MMS memberikan pandangan.

“Tepat sekali, tuan haji!”

“Kata nama khas ialah kata nama yang merujuk nama orang, benda khas, binatang, tumbuhan atau tempat khas. Ejaan bagi kata nama khas bermula dengan huruf besar. Sebagai contoh, Tanjong Malim, Pak Belang, Mahat Akiya, Proton Inspira, dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.”

“Kata nama am dan kata ganti nama, munsyi?” usik Encik Nalarajah Nadason pula.

“Kata nama am ialah kata nama yang merujuk manusia, binatang, benda atau perkara-perkara umum. Sebagai contohnya, penyu, jurukamera, kesihatan, petinju, perjalanan dan penyelidikan.”

“Ayat contohnya, bagaimana?”

“Universiti Pendidikan Sultan Idris terletak di Tanjong Malim.”

“Jadi, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Tanjong Malim ialah kata nama khas, munsyi?” soal Tuan Yee Jee Kwong, Ahli Majlis, MDTM.

“Benar, Tuan Yee Jee Kwong. Kata ganti nama pula ialah perkataan yang digunakan untuk menggantikan nama diri, nama tempat dan nama tunjuk. Sebagai contohnya, penulis, kami, awak, siapa, bila, itu, situ, dan sana.”

“Orang yang berkot hitam di dalam kereta api itu siapa?”

“Kosa kata, ‘siapa’ ialah kata ganti nama, munsyi?” jawab Encik Alaku Viswanathan.

“Betul, Encik Alaku.”

“Terima kasih, munsyi atas khidmat nasihat tatabahasa!”

“Terima kasih kembali, para pencinta bahasa Melayu di MDTM, Daerah Muallim. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul. Bahasa Jiwa Bangsa.”

Kopi O kurang manis, dapat penulis hirup perlahan-lahan sebelum bersalam-salaman dengan peserta dan urus setia program di Kafeteria MDTM.

* Ruangan ini dikelola oleh Dewan Bahasa dan Pustaka