KE manakah hilangnya roh “Bahasa Jiwa Bangsa”? Nilai bahasa kebangsaan semakin menghilang. Bahasa dirojakkan. Bahasa dipasemburkan. Bahasa menjadi caca marba. Dahulu, heboh dengan Sure Heboh. Selepas dikritik, akhirnya Sure Heboh ditukar menjadi Jom Heboh. Prihatinlah juga pihak berkenaan yang mahu mendengar rungutan dan teguran daripada pengguna bahasa yang cakna.

Dewasa ini, kononnya bagi tujuan komersial, maka bahasa perlu dirojakkan. Segelintir pihak berlumba-lumba memperalatkan bahasa untuk tujuan keuntungan semata-mata. Hal ini amat ketara, khususnya dalam kalangan mereka yang terlibat dalam bidang perniagaan, pengiklanan dan hiburan.

Tidak hairanlah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, masyarakat di negara ini dilambakkan dengan tajuk dan dialog filem dan drama, tajuk dan lirik lagu yang menggunakan bahasa rojak atas tujuan yang menjengkelkan atas tujuan komersial. Sekadar beberapa contoh tajuk filem dan drama Melayu antaranya termasuklah Showdown the Movie, Bikers Kental, Abang Lejen, Lagenda Budak Hostel, Pilot Cafe, Love You Mr. Arrogant, Kampung Girl, Playboy itu Suami Aku, Suamiku, Encik Perfect 10 !, dan banyak lagi.

Deretan papan tanda, papan iklan, kain rentang, gegantung dan sebagainya di seluruh negara juga secara jelas banyak merosakkan penggunaan bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan nama tempat, jalan, lorong, taman perumahan, dan sebagainya turut menggunakan pelbagai istilah asing yang mencolok mata.

Maka muncullah Bintang Walk, Aman Jaya Mall, Scarlet Villa, presint, boulevard, casa, court, height, park, avenue, pavilion,  peak,  mont, ridge, dan lain-lain. Lihat pula di plaza tol lebuh raya, terdapat papan tanda yang menggunakan bahasa rojak, iaitu “Lorong Touch n Go”.

Pengguna bahasa Melayu turut terpengaruh dan teruja  menggunakan bahasa Inggeris sama ada dalam pertuturan mahupun dalam penulisan. Misalnya perkataan “chef”. Banyak orang yang menulis perkataan yang merujuk tukang masak ini sebagai “chef”. Perkataan ini memang wujud dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, tetapi ejaannya yang betul ialah “cef”, bukannya “chef”.

Penulis sendiri melalui pengalaman mengendalikan slot bahasa di radio menegur dan menasihati penerbit sebuah stesen radio tentang penggunaan bahasa yang salah yang kerap kali digunakan oleh juruhebah. Malangnya, teguran tinggal teguran. Sedarlah wahai bangsa Malaysia yang sepatutnya menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Dengan pemikiran yang masih dijajah, kita sebenarnya menurunkan darjat dan kedudukan bahasa kebangsaan. Mutu penguasaan bahasa Melayu akan terus merosot dan terhakis. Bahasa Melayu yang menjadi bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan semakin terhimpit.

Impaknya sangat besar. Penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa rojak yang leluasa hanya merugikan bangsa. Bukan mahu menafikan kepentingan bahasa Inggeris terutamanya, tetapi janganlah kerana bahasa asing, bahasa sendiri dikesampingkan. Bahasa Melayu ialah warisan yang bernilai tinggi dan melambangkan estetika bangsa. Jangan biarkan generasi kini hilang penguasaan bahasa kebangsaan.

Hakikatnya, semua pihak seharusnya memainkan peranan menerapkan budaya penggunaan bahasa Melayu yang betul. Jangan dibiarkan bahasa rojak merosakkan bahasa Melayu. Pihak berkuasa perlu lebih tegas dalam hal yang membolehkan tindakan diambil terhadap pihak tertentu yang sengaja mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Ibu bapa perlu menghalang diri sendiri daripada menggunakan bahasa rojak dan salah nahunya semasa berkomunikasi dengan anak-anak. ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dijadikan agenda utama supaya bahasa Melayu benar-benar menjadi jiwa bangsa. Jangan dibiarkan guru bersendirian dalam membetulkan kesalahan.

Sama-samalah kita membina bangsa yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan sahsiah diri, tetapi juga membangun dengan bahasa ibunda yang kukuh. Sedarlah wahai masyarakat, kalau tidak kita yang memartabatkan bahasa sendiri, siapalah lagi yang mahu kita harapkan?