AKRONIM merupakan singkatan daripada sekurang-kurangnya dua patah perkataan yang dijadikan sepatah kata. Terdapat penggunaan akronim yang banyak dalam masyarakat Malaysia. 

Allahyarham P Ramlee telah mencipta dua patah akronim yang sangat popular sehingga sekarang, iaitu pawagam (panggung wayang gambar) dan kugiran (kumpulan gitar rancak. Akronim lain yang popular ialah Mara (Majlis Amanah Rakyat) dan Bernama (Berita Nasional Malaysia).

Pakar bahasa Melayu bersetuju bahawa akronim tergolong dalam kata nama tunggal. Salah satu cara pembentukan akronim ialah cantuman huruf dan suku kata awal daripada serangkaian perkataan

Contoh bagi akronim sedemikian ialah Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara). Terdapat juga akronim yang terbentuk daripada cantuman huruf awal perkataan, contohnya Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Akronim juga terbentuk daripada cantuman suku kata awal perkataan seperti tadika (taman didikan kanak-kanak) dan cerpen (cerita pendek).

Selain itu, terdapat juga akronim yang berasal daripada cantuman bahagian awal perkataan pertama dengan bahagian lain dalam perkataan seterusnya seperti asbut (asap kabut).

Dalam bidang pendidikan, terdapat rangkai kata yang sering disebut rangkai kata pengajaran dan pembelajaran. Dalam setiap dapatan atau laporan pendidikan, rangkai kata pengajaran dan pembelajaran akan diulang berkali-kali.

Kebiasaannya, rangkai kata yang diulang banyak kali dalam sesuatu penulisan akan ditulis penuh bagi kali pertama tetapi akan diakronimkan untuk kali yang seterusnya. Persoalan yang timbul dalam kalangan ahli pendidikan ialah penentuan penggunaan akronim bagi rangkai kata pengajaran dan pembelajaran sama ada ditulis PdP, pdp, P&P atau p&p.

Aktual, tiada ketetapan khas bagi membentuk akronim. Pembentukan akronim terbentuk hasil persetujuan bersama. Bukan semua akronim yang dicadangkan akan diterima masyarakat, misalnya akronim gorpis (goreng pisang) tidak popular kerana bercanggah dengan tatabahasa.

Walau bagaimanapun, akronim bagi rangkai kata pengajaran dan pembelajaran perlu diselaraskan kerana penulisan berkaitan pendidikan menjadi rujukan umum. Daripada keempat-empat pilihan akronim bagi rangkai kata pengajaran dan pembelajaran iaitu PdP, pdp, P&P, dan p&p, saya mencadangkan akronim P&P digunakan.

Akronim P&P amat sesuai digunakan kerana rangkai kata pengajaran dan pembelajaran bukan sekadar rangkai kata biasa tetapi istilah khas dalam bidang pendidikan. Oleh sebab itu, huruf “P” besar mestilah digunakan pada “pengajaran” dan juga “pembelajaran”.

Maka, jadilah rangkai kata itu “Pengajaran dan Pembelajaran”. Huruf “d” pada kata hubung “dan” yang berada di tengah-tengah antara kedua-dua perkataan itu tidak boleh ditulis dengan huruf besar kerana perkara itu telah ditetapkan dalam tatabahasa.

Apabila “Pengajaran dan Pembelajaran” ditulis begitu, maka akronim bagi istilah itu mestilah P&P. Simbol “&” perlu digunakan kerana kata hubung ‘dan’ tidak boleh dijadikan akronim.  

Kita mempunyai dua pilihan sama ada menggunakan simbol “&” atau menghilangkan terus kata hubung “dan” daripada rangkai kata tersebut seperti yang dilakukan pada beberapa perkataan lain.  

JNJK ialah akronim bagi Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti. Akronim ini tidak pula ditulis JNdJK atau JN&JK.  Jika kita menggunakan lebuh raya, kita akan berhenti rehat di kawasan Rehat dan Rawat yang diakronimkan sebagai R&R. Rehat dan rawat merupakan rangkai kata yang dijadikan nama khas dalam konteks tersendiri.

Oleh sebab itulah, akronim yang dipilih ialah R&R bukannya r&r. Berdasarkan contoh yang mudah difahami itu mengesahkan bahawa akronim bagi Pengajaran dan Pembelajaran mesti ditulis P&P.

Sebagai alternatif, saya mencadangkan supaya rangkai kata “Pengajaran dan Pembelajaran” dibuang kata hubung “dan” dan ditulis Pengajaran Pembelajaran. Akronim bagi rangkai kata “Pengajaran Pembelajaran” juga ditulis PP sahaja. Pilihan ini lebih mudah dan menghilangkan kesangsian orang ramai tentang penggunaan kata hubung “dan” dalam akronim tersebut sama ada perlu menggunakan “d” atau simbol “&”.  

Jika akronim bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru ditulis PIBG dan bukannya PIB&G, maka Pengajaran dan Pembelajaran juga elok ditulis PP sahaja dan bukannya P&P atau akronim lain yang mengelirukan.

Semoga penjelasan ini dapat meyakinkan rakan-rakan saya di KPM yang perlu menulis rangkai kata ini ratusan kali bagi setiap laporan.