GANDINGAN tujuh kementerian, dua Rancangan Malaysia dan lebih 10 bilion Ringgit Malaysia dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan, dari 2015 hingga 2017 - akhirnya  di mana tahap kejayaan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) pada hari ini?

Apa pun, wajar untuk semua pihak yang prihatin dengan masa depan Malaysia mengangkat agenda TVET sebagai wadah memperkasa anak muda Malaysia - kerana ini selari dengan jaminan masa depan anak-anak muda Malaysia di samping menangani keperluan mendatang dalam menyambut Revolusi Industri 4.0.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik telah mengumumkan tugasan berat bagi saya mempengerusikan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET sebagai seorang sukarelawan.

Teringat pula saya kepada perbualan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, yang berkongsi keterujaan dan pelan Kementeriannya untuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) menyerap IR 4.0 dalam kokurikulumnya.

Pasti sahaja Malaysia Baru di bawah kerajaan baharu perlu menyambung kecemerlangan dan inisiatif berterusan berbanding kerajaan sebelumnya - kini kita lebih telus, berakauntabiliti dan efisien.

Reformasi TVET memerlukan kita untuk berfikir di luar kerangka selain hanya fokus terhadap perihal kursus dan institusi.

Secara lahiriah, sementara kita menerima hakikat bahawa setiap individu mempunyai bakat yang berbeza di serata dunia, kita mempunyai sistem sistem yang boleh mengukur dan diberikan ganjaran berdasarkan merit akademik.

Pelajar yang kurang berkelayakan, kini dicampak ke satu kumpulan yang dipanggil sebagai sistem TVET. Ini adalah permasalahan sistem dan harus diperbaiki secara bersistem.

Biarpun TVET telah wujud dalam pelbagai bentuk sejak RMK10 dan RMK11, realitinya kesemua usaha ini perlu melalui reformasi berstruktur secara tuntas.

Rombakan TVET merupakan salah satu matlamat utama Pakatan Harapan yang termaktub dalam manifesto PRU14. Kami berjanji untuk membangunkan sekolah teknik dan vokasional supaya setara dengan aliran lain, mengangkat TVET sebagai pilihan yang diterima masyarakat umum.

Di samping janji manifesto ini, kita memerlukan penambahbaikan ketara TVET jangka masa pendek dan panjang.

Perubahan menyeluruh bidang pendidikan Malaysia memerlukan pengiktirafan dan penambahbaikan TVET, menaikkan ia ke status yang setaraf dengan ijazah!

Kita mesti menunjukkan bahawa pendidikan universiti bukanlah satu-satunya matlamat akhir buat warga Malaysia, sebaliknya wujud pelbagai alternatif sampingan.

Sistem yang sekian lama mempraktikkan bermacam bentuk pengecualian akan diubah untuk memastikan tiada anak Malaysia akan ketinggalan.

Mandat yang dihulur kepada saya, memerlukan penyediaan laporan bertindak berhubung reformasi berstruktur ke atas TVET dalam tempoh kurang setahun. Saya akan memastikan sebuah pelan tindakan lengkap merangkumi langkah operasi tersusun disiapkan, hasil usaha sama pelbagai pihak pemegang taruh.

Selainnya, sudah tentu terletak di tangan kita semua- untuk memastikan Menteri melaksana langkah seterusnya! Selari dengan laporan saya nanti!

Rakyat Malaysia, ucap ‘Selamat Datang’ kepada revolusi industri 4.0 dalam TVET Malaysia !


* YB Nurul Izzah Anwar ialah Ahli parlimen Permatang pauh dan Naib Presiden Keadilan