PERSOALAN tentang ekonomi negara adalah perbincangan umum yang wajar diangkat sebagai wahana utama pemimpin untuk menyelesaikan maslahat rakyat.

Justeru, saya turut tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam sesi perbahasan Bajet 2018 yang lalu. Antara titik utama yang saya utarakan adalah inti pati bajet yang populis tetapi rohnya elitis.

Menurut Ibn Khaldun kemerosotan sesebuah tamadun merupakan putaran sejarah.

Pada peringkat permulaan sesuatu tamadun itu berjaya kerana berpegang kepada nilai-nilai baik, tetapi selepas mencapai kegemilangan, nilai-nilai tersebut merosot kerana limpahan kemewahan dan penyelewengan.

Saya rujuk kepada laporan khas hasil Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2016 menunjukkan situasi yang merisaukan.

Berdasarkan laporan tersebut, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar kes tumbesaran terbantut dalam kalangan anak-anak antara 1 dan 2 tahun tertinggi di Malaysia (hampir 30%).

Tambahan pula, sebanyak 20 peratus dalam kalangan anak-anak berusia 5 tahun ke bawah, mampu mengakibatkan masalah fizikal dan pertumbuhan minda jika tidak ditangani buat jangka panjang.

Masalah tumbesaran terbantut, atau stunted growth yang semakin berleluasa dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya anak-anak kecil, perlu diberi penekanan sewajarnya oleh pihak berwajib.

Menurut dapatan Borgen Project pada tahun 2015, anak-anak Orang Asli paling kerap menjadi mangsa masalah malnutrisi kerana kekurangan akses pada makanan berkhasiat.

Tetapi situasi yang berlaku di Putrajaya melambangkan bahawa ekonomi ‘membangun’ kelihatan seakan tidak memberi impak pada kesihatan rakyat, sehingga warga bandar dan luar bandar turut terjejas.

Mungkin persoalan ini boleh diajukan pada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dengan gah mengumumkan peningkatan pendapatan kasar isi rumah daripada RM3,624 (2009) kepada RM6,267 tahun lalu.

Matematiknya, hampir mustahil sebuah negara yang kononnya mengalami peningkatan ekonomi ini ditunjangi oleh permasalahan rakyat yang mempunyai masalah tumbesaran terbantut!

Isu ini wajib dikaji dan diberi solusi menyeluruh dengan kadar segera memandangkan ia berkait rapat dengan kebajikan dan hak asasi anak-anak kecil yang bakal mewarisi negara.

Pada hemat saya, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak boleh memandang kes-kes ini sebagai rutin statistik dan kajian akademik semata-mata.

Bahkan, ia harus didorong pelan langkah penyelesaian jangka panjang yang tuntas.

Usul saya adalah bantuan susu untuk rakyat sasaran perlu diteruskan bagi membendung masalah tumbesaran terbantut ini.

Ini kerana, bukan sahaja pembangunan fizikal yang terkesan akibat kekurangan zat dan gizi yang berkhasiat, tetapi turut memberi impak terhadap pembangunan minda.

Saya khuatir apabila kerajaan memotong bantuan buat anak-anak kecil.

Program Susu 1Malaysia yang diberi peruntukan RM78 juta pada tahun 2016, sewenang-wenangnya dibatalkan pada tahun ini. Tak cukup dengan itu, Program Bantuan Makanan Tambahan Prasekolah juga telah dipotong peruntukan sebanyak RM60,000.

Menurut kajian Universiti Putra Malaysia pada 2015, isu malnutrisi dapat diatasi dengan pengura-ngan kemiskinan, peningkatan akses kepada makanan berkhasiat dan kefahaman terhadap nilai nutrisi.

Sayangnya, usaha yang diambil kerajaan tidak berpadanan dengan keperluan rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang tidak memperoleh bantuan yang cukup dan bersesuaian.

Usah kita lupa sejarah Demonstrasi Baling Disember 1974, yang disemarakkan atas rasa tidak puas hati oleh mahasiswa terhadap isu kenaikan harga barang dan kebuluran yang berlaku pada waktu tersebut.

Justeru, kerajaan perlu memainkan peranan dengan kerjasama  NGO dan golongan berkepentingan untuk turut serta merangka pengagihan makanan kesihatan kepada golongan B40, yang paling terkesan dengan masalah malnutrisi.

Saya sarankan pemberian baucar makanan tambahan dan vitamin kepada keluarga  B40 secara khusus dijalankan untuk membantu anak-anak B40, demi membasmi masalah malnutrisi melalui makanan dan program berkhasiat.

Sebarang program atau inisiatif berteraskan kesihatan yang dijalankan perlu didasari data lengkap serta pelan jangka panjang yang konkrit, bukan untuk meraih populariti kosong tanpa penyelesaian terhadap ekonomi rakyat.

Kewujudan program berbentuk populis pada hari ini, seperti ‘Fit Malaysia’ misalnya, mungkin tampak gah.

Tetapi hakikatnya hanya tersekat di skala kelompok elitis memandangkan masih ada rakyat yang bukan hanya dibelenggu masalah obesiti, tetapi juga malnutrisi.

*YB Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • Bilangan kakitangan awam yang mencecah 1.6 juta di Malaysia yang sering menjadi pertikaian, sebenarnya membawa kesan politik yang begitu signifikan terhadap landskap politik negara.
  • ISU perumahan di negara ini terutamanya perumahan kos rendah dan sederhana, semakin nazak dari hari ke hari.
  • GENERASI pertama negara terdiri daripada golongan belia, sedang dilanda suasana krisis ekonomi berpunca daripada pengangguran. Saya kongsi pendapat daripada Ibnu Khaldun yang sangat meyakini bahawa pada dasarnya sesebuah negara perlu berdiri dan bergantung kepada generasi pertama (pendiri negara) yang memiliki tekad dan kekuatan untuk mendirikan negara.
  • 'SUAMI belasah isteri dijel dua tahun'; 'Suami belasah, kencing isteri hamil minta makanan'; Dinasihat cari kerja, suami belasah isteri'; 'Polis buru suami belasah isteri hingga mati’.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.