PEMERGIAN saya ke Turki baru-baru ini, dihiasi pelbagai pengalaman menyegarkan.

Sesudah berakhirnya kempen PRU14 dan bermulanya pembentukan kerajaan Pakatan Harapan (PH), lawatan tersebut memberi sedikit ruang untuk saya meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tercinta, diselangi bibit pertemuan dengan para pegawai kerajaan Turki dan perbincangan perdagangan dua hala antara kedua negara.

Kehadiran kami sekeluarga, menjadi penguat buat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjalani pembedahan di bawah jemputan kerajaan Turki dan pengawasan Prof Datuk Dr Wan Azman Wan Ahmad, pakar perubatan berpengalaman Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Doa saya, semoga papa dapat sembuh secepat mungkin dalam keadaan serba tenang - demi meneruskan tanggungjawab mengangkat suara rakyat, suara keramat.

Sepanjang keberadaan saya selama empat hari di Turki, saya mengikuti rapat perkembangan yang berlaku di Malaysia. Sekembalinya saya ke Kuala Lumpur, saya bergegas ke Universiti Malaya untuk menghadiri pentas akhir program ‘Debat Malaya’.

Dan tentunya, isu yang paling mendapat perhatian dalam sesi debat berkenaan adalah isu penarafan United Examinations Certificate (UEC), yang turut diperkatakan di setiap pelosok dan lapisan masyarakat.

Apa yang dapat dilihat kini, adalah percanggahan yang berlangsung dalam kalangan pemegang taruh merentasi tembok perkauman dan latar belakang masyarakat negara.

Kita wajar menilai setiap aspek secara teliti sebelum membuat sesuatu keputusan. Natijahnya perlu difikirkan, impaknya wajib diterangkan.

Reformasi sistem pendidikan Malaysia semestinya harus berjalan secara teratur dan sistematik, mengambil kira pandangan setiap pemegang taruh yang ada.

Isu penarafan status sijil UEC, termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan sebelum PRU14, perlu disingkap dalam suasana yang tenang, harmoni dan konstruktif.

Apa yang tergambar pada hari ini adalah refleksi ketidakpuasan beberapa pihak, yang mampu mencetuskan ketegangan jika tidak ditangani dengan cara yang bersesuaian.

Walhal pihak yang sama alpa tentang salah satu manifesto BN sewaktu PRU14 berlangsung, yakni pengiktirafan sijil UEC sebagai sijil yang diperakui untuk kemasukan universiti tempatan.

Penggubal polisi pendidikan sebaiknya mencari jalan tengah yang dapat memacu sistem pendidikan berkualiti, tanpa menjadikan pendidikan sebagai mekanisme yang menjarakkan perhubungan komuniti di Malaysia.

Alternatif yang mahu ditawarkan (UEC  contohnya), wajar diterangkan berlandaskan landskap masyarakat tanah air. Sensitiviti perlu dijaga, manakala pencerahan menyeluruh berhubung visi serta objektif dapat mengurangkan kerisauan berasas pihak pembantah.

Saya menyokong harapan yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa status dan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan tidak akan terhakis.

Sebarang tindakan yang bertenta-ngan pastinya akan menimbulkan jurang pemisahan antara penduduk pelbagai kaum di Malaysia - menjadi satu ancaman jangka panjang yang kita tidak inginkan di Malaysia Baharu.

Pembaharuan sistem pendidikan dialu-alukan, tetapi didahului kajian terperinci tentang baik buruk cadangan yang diusulkan.

Langkah dan kata-kata yang dilontarkan dengan terburu-buru hanya akan mengelirukan masyarakat, mengekang kesatuan yang mahu dilihat rakyat sesudah kerajaan baru tertubuh.

Bersempena pembukaan Parlimen buat julung kali setelah Malaysia mula dikemudikan kerajaan PH, sama-sama kita doakan isu UEC, dan isu-isu rakyat serta nasional dapat dibincangkan secara terbuka dan berhemah, ke arah pembinaan Malaysia baharu yang majmuk dan harmoni.