Adegan-adegan terkini memaparkan ancaman agama Kristian yang berkemungkinan menawan Malaysia mengingatkan saya kepada kisah tragis Sierva Maria karya Gabriel Garcia Marquez, penulis tersohor dari Colombia.

Protes kumpulan yang tiba-tiba tumbuh bagai cendawan, demi ‘membela’ bangsa Melayu-Islam diperkasakan dengan dukungan pasif PDRM yang pro-demonstrasi (ada kalanya mereka anti-demokrasi, bergantung keadaan dan anjuran) adalah antara adegan-adegan utama yang bertaut kepada kisah novela Marquez tersebut.

Tidak mengapalah jika protes yang dianjur kumpulan Pembela dua hari lepas menjadikan rujukan utama sebuah laporan blogger - memuatkan gambar samar-samar tanpa bukti-bukti lain menerusi entri bertajuk ‘Making Christianity the official religion?.

Cetusan sebegini untuk memuaskan politik sempit pihak berkepentingan sewajarnya dihentikan. Pihak polis perlu menangani segera dan bukan menjadi ‘talian hayat’ untuk memenangi undi bagi parti politik tertentu dengan penggunaan politik perkauman sebegini. Tidak mengapa juga jikalau Unashamedly Ethical Conference (UEC) pihak penganjur yang didakwa mahu menggantikan Islam dengan Kristian sebagai agama rasmi di Malaysia menafikan sekeras-kerasnya dakwaan ini.

Adegan-adegan seperti inilah yang seolah-olah dicedok daripada babak-babak novela Gabriel Garcia Marquez berjudul Of Love and Other Demons.

Novela tersebut menceritakan kisah tragis Sierva Maria, gadis belasan tahun, yang disalah sangka pihak gereja pada waktu itu sebagai ahli sihir kerana perawakannya berlainan dengan mana-mana anak-anak berkulit putih pada zamannya.

Ayah dan ibu Sierva, yang tidak mengendahkan nasib gadis tersebut sejurus lahir, langsung menyerahkannya kepada jagaan orang gaji berkulit hitam; di mana Sierva dibiarkan tidur beramai-ramai bersama ‘hamba-hamba abdi’ tersebut, bekerja di dapur dan di ladang bersama mereka, dan jarang-jarang sekali bertemu ayah atau ibu.

Ada masa ayahnya, Marquis berasa bersalah dan cuba untuk memperbaiki hubungan dengan anak tunggalnya; pada saat Sierva disyaki menghidap penyakit rabies kerana digigit anjing gila. Malangnya, tekanan pihak gereja yang dari awal mengesyaki Sierva mungkin dirasuk melihatkan perilaku yang begitu aneh menyebabkan Marquis, bertindak menghantar Sierva ke konven Santa Clara di mana gadis malang itu akhirnya bernafas buat kali terakhir setelah berkali-kali dipaksa menjalani exorcism gara-gara dirasuk.

Walau ada cubaan beberapa paderi untuk menyelamatkan Sierva namun usaha mereka untuk mengembalikan rasionaliti dan pimpinan tertinggi pihak gereja, gagal kerana beliau enggan meneliti latar belakang Sierva hasil produk ibu bapa yang lalai menjaga anak.

Adakah kita bakal mengulangi nasib dihadapi oleh mereka yang berhadapan dengan sentimen dan tekanan pelampau seperti pihak gereja yang akhirnya mengakhiri jiwa gadis malang tersebut?

Perlu kita gusarkan ialah Laporan Bank Dunia yang menyatakan terdapat sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara. Tentu sekali angka ini jauh lebih tinggi daripada apa kita pernah diberitahu iaitu antara 300,000 sehingga 500,000 sahaja. Apa yang lebih membimbangkan kita adalah 43 peratus enggan kembali ke negara ini selagi polisi ekonomi bersifat perkauman kekal diamalkan.

Kegagalan kerajaan dalam menarik pelaburan asing di dalam negara, bahkan perbezaan gaji dan faedah yang tinggi antara bekerja di luar negara dan di negara ini mungkin suatu tarikan rakyat keluar dan bekerja di sana.

Cukuplah pengakhiran novela yang tragis apabila melihat kehilangan jiwa Sierva Maria. Kita punyai tanggungjawab besar untuk menggunakan rasional akal, minda yang terbuka, mencontohi cara Rasulullah SAW mengendali hubungan antara kaum Ansar dan Muhajirin sewaktu Hijrah ke Yathrib (Madinah) dahulu.

Rasulullah SAW mengajar umatnya untuk taaruf atau suai kenal bukan untuk memporak-perandakan satu sama lain. Rasulullah SAW mengikat tali yang erat antara sesama Islam dan memberikan kebebasan kepada penganut agama lain untuk hidup secara bebas di Madinah. Cara ikutan ini patut diteladani oleh mereka yang bergelar pemimpin bukannya untuk mengembangkan politik murahan dan menyalakan api perkauman.

Jikalau kita biarkan tragedi Sierva Maria berulang nescaya gelaplah masa depan rakyat. Kita tidak harus membiarkan sekelompok kecil golongan taasub, prejudis dan berpandangan