PRINSIP asas politik ialah ia seharusnya daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat.

Kesilapan paling besar yang rakyat lakukan ialah membiarkan politik menjadi tawanan politikus. Rakyat bukan saja membiarkan politikus mencatur masa depan negara, tetapi juga menentukan arah tuju wacana politik.

Ada rakyat yang menganggap, apabila mereka mengangkat politikus ke jawatan sekarang, maka tugas mereka sudah selesai.

Mereka tunggu lima tahun lagi sebelum membuat pilihan semula.

Apabila kita mengatakan hak rakyat berpartisipasi hanya lima tahun sekali, maka kita sebenarnya mengehadkan peranan mereka.

Dalam persekitaran politik sedemikian, prinsip asas politik yang disebut terdahulu tidak hidup. Ia tidak lagi menjadi daripada rakyat.

Sebaliknya, rakyat membiarkan politikus membuat keputusan dan menentukan apakah yang terbaik untuk rakyat. Ini tidak bagus.

Dalam mana-mana sistem demokrasi, rakyat mempunyai tiga pilihan besar.

Pilihan pertama ialah merungut dan membebel. Inilah yang dapat kita lihat sekarang.

Di mana mereka merungut dan membebel? Di media sosial. Dalam grup WhatsApp dan di kedai mamak.

Merungut dan membebel mungkin boleh jadikan kita gembira. Sekurang-kurangnya ada orang mendengar. Sekurang-kurangnya kita boleh melepaskan perasaan.

Namun, apakah perubahan akan berlaku disebabkan merungut dan membebel?

Kita mungkin boleh mempengaruhi pendapat politik orang yang sanggup menadah telinga mendengar. Bagaimanapun, impaknya tidak besar.

Pilihan kedua ialah memasukkan kepala ke dalam pasir dan menganggap tidak tahu apa yang sedang berlaku. Apabila politikus bercakap merapu, biarkan mereka. Apabila politikus bercakap sesuatu yang kita tak suka, biarkan mereka.

Dan, apabila politikus membahaskan sesuatu kepentingan rakyat, kita juga masukkan kepala ke dalam pasir.

Ini berlaku apabila rakyat sudah tidak ada keyakinan dengan politik dan politikus.

Kita bukan saja memekakkan telinga kepada diskusi politik yang menyakitkan hati tetapi juga sesuatu yang bermanfaat. Perbuatan sedemikian merugikan.

Adakah kita ada pilihan? Ada. Kita boleh menjadi agen perubahan dengan mengambil bahagian dalam proses politik itu sendiri.

Mengambil bahagian dalam proses politik bukan bermaksud kita menjadi ahli parti politik. Atau, bertanding dalam pilihan raya, walaupun itu juga satu pilihan.

Mengambil bahagian dalam proses politik bermaksud kita mencorakkan wacana politik.

Sewaktu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyampaikan ucapan State of the Union baru-baru ini, pelbagai kumpulan akar umbi melakukan rating skala kebenaran.

Sewaktu Donald Trump bercakap, kumpulan-kumpulan ini memberikan rating sama ada apa yang dia cakapkan itu betul, separuh betul atau salah.

Dengan cara ini, pengundi dalam melihat sama ada pemimpin bercakap benar atau tidak. Siapakah politikus yang boleh dipercayai dan pembohong.

Alangkah bagus jika di Malaysia kita ada gerakan seumpama ini secara rentas parti politik. Apabila politikus sama ada dalam kerajaan atau pembangkang bercakap, ada kumpulan akar umbi memberikan rating skala kebenaran.

Dengan cara ini, politikus kedua-dua belah pagar politik akan lebih berhati-hati. Gerakan suara ketiga sebegini boleh menjadikan politikus kita lebih bertanggungjawab dengan gerakan politik mereka.

Dalam keadaan sekarang, rakyat memberikan politikus jawatan dengan sedikit semak dan imbang. Malah, kuasa mengawasi politikus diberikan kepada agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Ma-laysia, polis dan seumpamanya.

Rakyat sendiri tidak mengambil bahagian bagi mempengaruhi proses ini. Kita memilih untuk merungut dan membebel.

Atau, memasukkan kepala ke dalam pasir apabila ada perkara yang kita tak suka dengar.

Sampai masanya untuk gerakan suara ketiga membawa aspirasi rakyat dengan menjadikan politikus lebih bertanggungjawab.

Jika kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara progresif dan sentiasa bergerak ke hadapan, aktivisme ini mesti digerakkan.

Adalah cukup merugikan jika kita membiarkan politikus mencatur masa depan negara sesuka mereka. Apatah lagi membiarkan percaturan itu dilakukan dengan bercakap separuh benar atau berbohong terang-terangan tanpa sebarang tindak balas rakyat.

* Norizan Sharif ialah penganalisis sosiopolitik, kini berada di New Jersey, Amerika Syarikat