AKHIRNYA teka-teki anggota Kabinet terjawab. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pembentukan 25 buah kementerian.

Sebagai  seorang  yang pernah mengetuai Institut Keusahawanan Negara (Insken) dan pada masa yang sama di Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), saya mengalu-alukan penubuhan Kementerian Pembangunan Usahawan.

Kementerian ini tidak akan dapat menyelesaikan semua cabaran dihadapi usahawan. Namun saya percaya ia boleh memainkan peranan mendengar dan memudah cara keperluan usahawan di negara kita.

Berikut ialah 10 harapan saya kepada Menteri Pembangunan Usa-hawan, Mohd Redzuan Md Yusof dan Timbalan Dr Hatta Md Ramli.

Pertama, lihat semula fungsi dan skop agensi-agensi yang selama ini diletakkan di beberapa kementerian. Di bawah program pembangunan keusahawanan, ada sekurang-ku-rangnya lima kategori agensi iaitu pembiayaan, latihan, infrastruktur, teknologi dan pemasaran.

Kelima-lima agensi ini membentuk ekosistem pembangunan keusahawanan dan ia harus diletakkan di bawah satu bumbung. Sekiranya tidak, agensi-agensi ini akan bergerak sendirian dan penyelarasan menjadi sukar.

Kedua, gabungkan perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana di bawah satu kategori. Tukar “perusahaan kecil dan sederhana” menjadi “perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” atau micro, small and medium enterprise. Ringkasnya, MSME. Ini selaras dengan istilah yang digunakan pada peringkat antarabangsa.

Penggabungan ini penting untuk membolehkan kerajaan membantu peningkatan skala bisnes di bawah satu kementerian. Buat rasionalisasi agensi. Elakkan pertindihan fungsi dan skop. Sekiranya perlu, gabungkan agensi-agensi yang rencam ini.

Ketiga, bangunkan Pelan Induk MSME Nasional. Pelan ini penting kerana ia mengarahkan semua agensi, pertubuhan bukan kerajaan dan usahawan ke satu arah yang sama. Usah mulakan dari kosong. Semak dan reviu semula Pelan Induk PKS Kebangsaan sedia ada. Jadikan Pelan Induk MSME Nasional sebagai satu dokumen bersifat entrepreneur-centric atau berpaksikan usahawan.

Keempat, buat engagement berterusan dengan industri. Dalam proses membangunkan Pelan Induk MSME, dapatkan input daripada usahawan pelbagai skala. Dengar keluh-kesah perusahaan mikro. Dengar denyut nadi perusahaan kecil. Dengar aspirasi perusahaan sederhana.

Kelima, usahakan agar bisnes kompetitif. Sewaktu dialog bajet tahun lepas, saya pernah mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat guna sama untuk pengeluaran produk. Kita ada terlalu banyak kilang kecil yang tidak kompetitif. Inilah akibatnya bila kita terlalu fokus kepada pengeluaran produk, bukan saluran pemasaran.

Usahawan kita berlumba-lumba keluarkan produk tidak berkualiti dan berlambak di pasaran. Melalui kilang guna sama ini kita boleh tentukan produk dibangunkan bersifat specialty, ada niche tersendiri dan berada di tingkat atas rantaian nilai, di samping memenuhi piawaian antarabangsa.

Keenam, fokus kepada pembangunan saluran pemasaran. Inilah isu besar  harus  ditangani. Sementara latihan penting, kita tak perlu terlalu banyak aktiviti ini. Apatah lagi seminar yang tak habis-habis. Akhir, program pembangunan keusahawanan menjadi tempat bercakap, bercakap dan bercakap.

Usah jadikan usahawan sebagai backdrop kepada pemimpin berucap. Kementerian tak perlu terlalu melebarkan jaring. Tumpukan kepada usahawan berpotensi. Dengan cara ini kita dapat mengukur impak.

Ketujuh, pastikan program pembangunan keusahawanan memberikan pulangan yang diharapkan. Saya pernah mencadangkan sebelum ini agar kerajaan melaksanakan Audit Impak Rakyat. Melalui audit ini, lihat semula sejauh mana peruntukan disalurkan telah membesarkan skala bisnes. Sekiranya tidak, gantikan dengan program lebih baik. Usah nak jadi populis.

Kelapan, hentikan diva dan primadona dalam program pembangunan keusahawanan. Usah tatang usahawan sampai mereka tidak mampu berdiri sendiri. Kita mungkin rasa kita membangunkan usahawan. Sebaliknya perbuatan sedemikian membunuh keusahawanan. Program pembangunan keusahawanan yang baik seharusnya menjadikan usahawan tercabar dan perlu berjuang untuk hidup. Usah lindungi mereka. Rujuk kepada diskusi mengenai opportunity vs necessity dalam pembangunan keusahawanan.

Kesembilan, bawa usahawan kita terokai pasaran luar negara. Di Thailand, lebih 6,000 perusahaan mikro dan kecil di bawah One Tambon One Product (OTOP) mengeksport US$3 bilion setahun. Walaupun etnik Thailand ada 200,000 orang saja di Amerika Syarikat, produk makanan dan minuman Thailand ada di mana-mana, hatta di hipermarket seperti Walmart, Whole Food Market dan Target.

Kesepuluh, YB menteri dan YB timbalan menteri hendaklah guna istilah yang betul. Dulu saya pernah dengar beberapa menteri gunakan istilah 'usahawan kecil.' Itu salah. Kalau ada usahawan kecil, adakah usahawan perut boroi itu usahawan besar?

Istilah yang betul ialah 'perusahaan kecil.' Takrifan Majlis PKS Kebang-saan merujuk kepada saiz perusahaan, bukan saiz usahawan. Pada peringkat antarabangsa, orang tak sebut small entrepreneurs. Sebaliknya, mereka gunakan istilah small enterprises atau small businesses. Sekiranya menteri pun tak jelas mengenai istilah, usahawan lagilah keliru!

* Norizan Sharif ialah Chief Explorer Officer, Enescorp International LLC, iaitu sebuah perusahaan sosial yang menerokai pasaran untuk perusahaan kecil Malaysia di Amerika Syarikat. Untuk maklumat lanjut, lawati laman web http://www.enescorp.org