IQALUIT ialah sebuah bandar dalam wilayah Nuvanut yang terletak di utara Kanada.

Pada bulan paling panas iaitu Julai, suhunya setakat 9 darjah Celcius, manakala ketika Januari iaitu bulan paling sejuk, suhu di Iqaluit ialah -29 darjah Celcius.

Ia mempunyai penduduk sekitar 7,000 orang, menjadikannya bandar paling sedikit penduduk di Kanada.

Daripada jumlah itu, ada 100 orang Islam di Iqaluit dan tidak lama dulu mereka telah membina sebuah masjid di situ.

Apa yang menarik, terdapat warga Bangladesh di situ. Selain masyarakat China dan India, warga Bang-ladesh kini menjadi bangsa peneroka di kebanyakan tempat di dunia ini.

Mungkin, punca utama ialah desakan hidup.

Namun, apabila mereka menjadi bangsa peneroka, rakyat Bang-ladesh mengumpul pengalaman hidup global.

Pengalaman hidup global tidak boleh dipelajari melalui buku teks. Ia adalah sesuatu yang harus dilalui dan dirasai.

Pengalaman inilah yang membuka minda mereka untuk melihat pasaran bisnes yang lebih besar.

Di kebanyakan gedung beli-belah di Amerika Syarikat dan Eropah, pakaian keluaran Bangladesh cukup banyak.

Mungkin kita berhujah bahawa puncanya ialah kos pengeluaran rendah. Betul, namun itu bukanlah satu-satu alasan. Kalaulah tidak warga Bangladesh menjadi bangsa peneroka, mereka mungkin tidak sehebat itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak pernah menyebut betapa Malaysia harus menjadi negara keusahawanan atau entrepreneurial nation.

Negara keusahawanan bukan bermaksud semua orang harus menjadi usahawan. Negara keusahawanan bermaksud rakyat memiliki ciri-ciri keusahawanan yang tinggi.

Antara ciri keusahawanan ialah rasa ingin tahu, mahu menyelesaikan masalah, sedia menghadapi cabaran, rela bersaing di pasaran terbuka dan tabah apabila berhadapan cabaran.

Dalam negara keusahawanan, rakyat tidak bergantung kepada kerajaan untuk menyelesaikan semua masalah mereka. Orang politik tidak dilihat sebagai superman yang boleh menyelesaikan semua masalah rakyat.

Sebaliknya, dalam negara keusahawanan, rakyat mengemukakan penyelesaian kepada masalah mereka sendiri.

Inilah sebenarnya asas keusahawanan. Usahawan ialah seseorang yang menyelesaikan masalah pengguna dengan memberikan nilai tambah yang diperlukan dan dihargai mereka.

Dalam negara maju, orang yang menyelesaikan masalah pengguna ialah usahawan, bukan politikus.

Sebab itulah kita melihat bagaimana usahawan di Amerika Syarikat sanggup berbeza pendapat dengan kepimpinan politik semasa.

Sekarang pun kita melihat bagaimana perbezaan pendapat ini berlaku dalam isu-isu seperti tenaga, kesihatan, percukaian, imigrasi.

Sekiranya kita ingin rakyat Malaysia memiliki ciri-ciri keusahawanan ini, kita harus menjadi bangsa peneroka. Kita harus mengembara dan menerokai pasaran baharu. Kita harus berani menempuh ombak dan duri merantau di negara orang.

Apabila kita hidup di perantauan, minda keusahawanan kita bergerak pantas. Di Amerika Syarikat, imigran dikatakan dua kali ganda berkecenderungan memulakan bisnes berbanding warga tempa-tan.

Kita juga melihat trend yang sama, bagaimana imigran lebih terdorong memulakan bisnes berbanding Peribumi di negara kita sendiri.

Di California, 36 peratus bisnes dimiliki oleh imigran. Selain negeri itu, New York dan New Jersey juga mempunyai tumpuan imigran yang tinggi di Amerika Syarikat. Separuh daripada bisnes kecil di New York dimiliki oleh imigran.

Bangsa Malaysia harus mulai mengembara dan hidup di perantauan. Ketepikan kesenangan seketika. Buang kemewahan sementara. Berjalan dan terokai pasaran antarabangsa.

Kita belajar bagaimana orang China dan India membangunkan bisnes di luar negara. Mereka tidak memulakan dengan buat pejabat besar-besaran. Mereka bermula secara kecil-kecilan.

Itu lebih mudah dan tidak membebankan. Pendekatan ini mungkin nampak “lekeh” di mata sesetengah kita. Namun, dengan cara inilah mereka mula menguasai ekonomi tempatan di mana mereka merantau.

Saya percaya rakyat Malaysia juga ada kemampuan sedemikian. Apa yang kita perlu lakukan ialah bermula. Dan, sekarang ialah masa terbaik untuk memulakannya!

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEMUA orang politik bercakap mengenai politik berintegriti. Dalam politik baharu, integriti merupakan nilai penting.
  • APABILA angin bertiup, pucuk kuat bergoyang, tetapi perdu tidak bergerak. Sekarang tiupan angin pilihan raya mula dirasai.
  • SAYA tak nampak di mana salahnya untuk Tun Dr Mahathir Mohamad bertemu Duta-duta Kesatuan Eropah baru-baru ini. Pertemuan itu adalah sesuatu yang biasa bagi duta-dua tersebut. Mereka bertemu pemimpin-pemimpin kerajaan, pembangkang, pertubuhan bukan kerajaan dan juga individu tertentu.
  • MINGGU lepas saya bertemu dengan lebih 20 pelajar Malaysia di Rutgers University, New Jersey. Mereka mengundang saya untuk makan-makan di universiti tersebut.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.