SEWAKTU  saya mengikuti Special Food Show  di New York tahun lalu, ada dua orang usahawan Malaysia mengambil bahagian.

Seorang dari Batu Pahat, manakala seorang lagi dari Bukit Mertajam. Kedua-dua mereka mempromosikan danish cookies yang dibuat di kilang masing-masing.

Saya kagum kerana kedua-dua usahawan ini datang dengan pembiayaan sendiri.

Kedua-duanya memberitahu mereka sering mengambil bahagian dalam pameran perdagangan di Amerika Utara dan Eropah.

Specialty Food Show ialah pameran perdagangan makanan dan minuman specialty food yang terbesar di Amerika Utara.

Pada musim sejuk, ia diadakan di California, manakala pada musim panas ia diadakan di New York.

Menurut Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di New York, Shahrulmiza Zakaria, pada tahun ini ada empat syarikat Malaysia yang akan mengambil bahagian. Specialty Food Show edisi musim panas akan diadakan selama tiga hari bermula 30 Jun ini.

Bilangan syarikat ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan penyertaan usahawan dari negara-negara seperti Kesatuan Eropah, Turki, Jepun, Indonesia, Filipina atau Thailand.

Dan ini tidaklah menghairankan kerana kemasukan makanan berproses Malaysia ke Amerika Syarikat juga kecil.

Walaupun Perdana Menteri dan menteri-menteri bercakap mengenai betapa perusahaan kecil harus mengeksport, hasilnya agak terbatas. Perusahaan kita masih lagi mahu menjaja di sekeliling rumah.

Seperti yang pernah saya sebutkan di kolum ini terdahulu, usahawan kita bergantung harap kepada kerajaan bagi menerokai pasaran untuk mereka.

Apabila kerajaan tidak mengambil inisiatif ini, maka usahawan kita pun berpeluk tubuh saja.

Saya juga pernah menegur dalam beberapa tulisan saya sebelum ini, ia berpunca dari sikap kita yang menganggap kerajaan ada tongkat sakti. Kesemua masalah rakyat, termasuklah yang dihadapi oleh usahawan, boleh diselesaikan oleh kerajaan.

Sementara kerajaan ada peranan dalam menggalakkan penerokaan pasaran, namun usahawan itu sendiri yang harus merintis jalan. Sekiranya usahawan mengambil pendekatan tunggu dan lihat, mereka tidak ke mana-mana.

Dua orang usahawan yang saya temui dalam Specialty Food Show tahun lepas adalah contoh yang baik bagaimana usahawan sendiri boleh ambil inisiatif.

Kerajaan juga boleh sediakan insentif, khidmat nasihat dan memudah cara penerokaan pasaran oleh usahawan.

Peranan ini telah dimainkan dengan baik oleh Matrade dan lain-lain agensi kerajaan. Di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) juga, ada disediakan dana untuk penerokaan pasaran.

Begitu juga dengan Malaysian Design Development Center (DDEC), agensi di bawah Mara dan SME Corp (sekadar menyebut beberapa contoh).

Namun usahawan itu sendiri hendaklah berada di hadapan dalam penerokaan pasaran. Bak kata pepatah Inggeris, kita boleh mengheret kuda ke tepi tasik, namun kuda itu sendirilah yang kena minum air.

Melangkah ke hadapan, saya yakin kerajaan akan terus menggalakkan penerokaan pasaran. Malah, secara peribadi saya mahu melihat pembentangan Bajet 2019 oleh kerajaan baru ini memberikan tumpuan kepada penerokaan pasaran.

Kalau boleh, kita mahu melihat kerajaan melakukan rasionalisasi agensi penerokaan pasaran dan menggembleng sumber agar kita dapat melihat impak yang lebih besar.

Kita mungkin ketinggalan untuk menyertai Specialty Food Show edisi musim panas ini. Namun itu bukanlah penghujung kepada usaha ini.

Saya yakin jika kerajaan dapat memberikan tumpuan kepada penerokaan pasaran dalam Bajet 2019 nanti, aktiviti ini dapat kita semarakkan.

Saya meletakkan harapan yang besar kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali untuk memberikan mesej yang jelas kepada komuniti usahawan Malaysia dalam Bajet 2019 akan datang.

* Norizan Sharif ialah Chief Explorer Officer, Enescorp International LLC, iaitu sebuah perusahaan sosial yang menerokai pasaran untuk perusahaan kecil Malaysia di Amerika Syarikat