SEMUA orang politik bercakap mengenai politik berintegriti. Dalam politik baharu, integriti merupakan nilai penting.

Sementara politik pembangunan masih lagi penting, namun akhir sekali integriti merupakan penilaian yang penting dalam pengundian nanti. Pemimpin yang berintegriti akan lekat di hati rakyat.

Apalah yang dimaksudkan sebagai integriti? Dalam bahasa yang mudah, integriti bermaksud apa yang kita cakap, itu yang kita buat. Atau, apa yang kita buat itulah yang kita cakapkan.

Sekiranya perbuatan, percakapan dan isi hati kita tidak sama, itu bermaksud kita bukanlah manusia berintegriti.

Dalam erti kata lain, integriti adalah satu prinsip dan cara hidup. Prinsip hidup bermaksud ia menjadi pegangan, manakala cara hidup bermaksud ia adalah sesuatu yang kita amalkan. Integriti seharusnya merupakan suatu prinsip yang kita amalkan.

Integriti juga bermaksud kita melakukan sesuatu yang serupa sama ada manusia memerhatikan atau atau tidak.

Sekiranya kelakuan kita berbeza sewaktu manusia ada dan sewaktu manusia tidak melihat, maka kita tidak berintegriti.

Sekiranya itulah kefahaman kita mengenai integriti, maka seorang yang menawarkan diri untuk memegang tampuk kepimpinan seharusnya menjadikan integriti sebagai satu prinsip dan cara hidupnya.

Rakyat mengharapkan mereka untuk lakukan apa yang mereka cakap dan fikirkan.

Ketiga-tiga itu harus berjalan seiringan. Selain itu, perbuatan mereka sama ada di khalayak ramai atau dalam kehidupan peribadi juga seharusnya berpegang kepada prinsip yang sama.

Begitulah tingginya harapan rakyat kepada mereka yang memegang tampuk kepimpinan. Hal ini penting kerana pemimpin memegang amanah awam.

Ia bukan saja menjunjung amanah kepercayaan rakyat, tetapi mereka juga memegang dan menguruskan dana awam. Jawatan dalam Islam bukan habuan, tetapi beban.

Seseorang akan mudah melakukan rasuah sekiranya dia tidak mempunyai asas-asas integriti yang disebutkan tadi.

Jika mulutnya berikrar banteras rasuah di depan khalayak, tetapi dia pecah amanah dengan dana awam, maka dia telah mengorbankan prinsip integriti. Apa yang dilakukan dan apa yang dia cakap, tak sama.

Begitu juga, seseorang pemimpin menjadi tidak berintegriti jika dia berdolak-dalik dengan percakapan.

Sewaktu sesama kelompoknya dia bercakap lain, namun apabila di depan kelompok lain dia bercakap lain pula. Atau mungkin dulu dia bercakap lain, sekarang dia bercakap lain pula.

Bagi seseorang yang mengamalkan politik Micheavelli, mereka tidak lihat itu sebagai satu kesalahan. Selama mana mereka boleh menang pilihan raya, mereka tidak ada masalah dengan manusia lidah bercabang.

Bagaimanapun, bagi mereka yang mengamalkan prinsip-prinsip politik baik, amalan sedemikian ditolak kerana seseorang itu bukan saja berkompromi dalam soal integriti, tetapi menjerumuskan dirinya sebagai munafik.

Dari sisi yang lain, integriti juga bermaksud seseorang menggunakan neraca yang sama apabila menghukum.

Jika dia cenderung membela kelompok sendiri namun menghukum lawan yang melakukan perkara yang sama, maka dia bukanlah seorang pemimpin yang berintegriti.

Kita lupa bahawa Rasulullah SAW pernah menyebut bahawa jika puterinya Fatimah RA mencuri, maka dia akan menjatuhkan hukuman yang sama seperti orang lain.

Tentunya Fatimah RA yang dididik oleh Rasulullah SAW tidak pernah mencuri, namun prinsip diamalkan tetap sama. Inilah integriti kepimpinan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Ini bukanlah satu perkara yang luar biasa dalam politik di negara kita. Malah, ramai orang bercakap jika nak bersihkan diri, keluarlah dari parti kita dan masuklah dalam parti lawan.

Nescaya segala dosa-dosa lama kita dilupakan dan kita diangkat sebagai manusia maksum.

Inilah apa yang berlaku sekarang. Jika dibiarkan berterusan, maka kita akan mempunyai ramai pemimpin politik yang bercakap soal integriti tetapi tidak mempunyai nilai-nilai integriti tinggi. Amat malang bagi politik kita.