APAKAH persamaan antara Arianna Huffington (Thrive Global), Dietrich Mateschitz (Red Bull), Elon Musk (Tesla, SpaceX), dan Sergey Brin (Google)? Kesemua mereka mempunyai pengalaman kehidupan rentas budaya.

Arianna Huffington membesar di Athen, belajar di London dan membangunkan Huffington Post dan kini Thrive Global di Amerika Syarikat.

Dietrich Mateschitz menjadi jurujual di luar negara sebelum mengasaskan Red Bull. Elon Musk meninggalkan Afrika Selatan, manakala Sergey Brin berpindah dari Rusia ke Amerika Syarikat.

Pengalaman kehidupan rentas budaya mendedahkan mereka kepada keragaman pengguna, sekali gus ia menjadikan mereka lebih cekal menghadapi dunia keusaha-wanan.

Seseorang menceburi dunia bisnes sama ada disebabkan oleh 'keperluan' (necessity) atau 'peluang' (opportunity). Keperluan bermaksud dia tidak ada pilihan, terpaksa berbisnes. Dia juga membuat bisnes disebabkan oleh pelbagai peluang seperti latihan, pembiayaan dan akses pasaran yang ditawarkan.

Bagi imigran seperti Arianna Huffington, Dietrich Mateschitz, Elon Musk, dan Sergey Brin, mereka menjadi usahawan disebabkan kedua-dua faktor tersebut. Malah, ramai imigran lain menjadi usahawan kerana mereka tidak ada pilihan, dan pada masa sama negara baharu itu memberikan peluang yang selama ini mungkin tidak ada di negara sendiri.

Maka tidak hairanlah di Amerika Syarikat imigran dua kali ganda menjadi usahawan berbanding warga asal negara tersebut. Walaupun mereka hanyalah 13% penduduk, namun 27.5% usahawan di negara ini adalah imigran. Ini bermaksud satu dari empat usahawan adalah imigran.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Amerika Syarikat tetapi juga di merata tempat dalam dunia. Di Malaysia juga tidak terkecuali. Orang yang pernah merantau dan terdedah kepada rentas budaya lebih cenderung menjadi usahawan berbanding dengan Peribumi yang tinggal di kampung sendiri.

Harvard Business Review berhujah diskriminasi ke atas imigran menjadikan mereka tidak ada pilihan melainkan menceburi bisnes. Disebabkan warna kulit atau bahasa, imigran sukar mendapat pekerjaan berbanding Peribumi di kebanyakan negara dunia.

Sementara pendedahan kepada rentas budaya menjadikan mereka lebih terbuka kepada idea-idea baharu, melihat pelbagai inovasi dan lebih memahami kecenderungan pengguna yang pelbagai.

Mengambil kira inilah maka dalam konteks Malaysia sekiranya kita mahu melahirkan usahawan yang kompetitif, maka kita harus mendedahkan lebih ramai rakyat Malaysia kepada 'keperluan' berbisnes dan pengalaman rentas budaya.

Sebagai permulaan, orang politik harus berhenti memperkenalkan program mendodoi dan babysitting usahawan. Apabila kementerian dan agensi mengambi pendekatan ini, maka akhir sekali usahawan kita lembik dan tidak mampu bersaing di pasaran terbuka.

Walaupun sudah 61 tahun kita merdeka, namun ramai lagi usahawan yang bercakap soal 'tongkat'. Sampai bila mereka mahu bertongkat? Untuk membolehkan mereka berdiri sendiri, buang 'tongkat' dalam pembangunan keusahawanan.

Ada masa kita kelihatan seolah-olah kejam. Namun disebabkan ibu bapa kejam dan tidak mendukung anak-anaklah, maka hari ini anak-anak itu boleh berjalan dan berlari. Berhenti ambil pendekatan populis dan bersifat menaungi jika kita mahu usahawan pergi jauh.

Dan, pada masa yang sama berikan mereka pendedahan rentas budaya. Sebahagian besar usahawan kita mengalami fear of exporting.  Akhirnya mereka hanya membuat produk dan berbisnes di sekeliling rumah. Inilah yang berlaku sekarang.

Saya berharap agar kerajaan dapat menukar hala tuju ini. Kesemua agensi pembangunan keusahawanan hendaklah mempunyai program eksport. Kalau dapat, jadikan itu sebagai KPI ketua jabatan masing-masing.

Agensi sedia ada seperti Matrade hendaklah diperkukuhkan lagi. Bilangan kakitangan luar negara ditambah dan pejabat-pejabat satelit dibuka. Sekiranya ada kekangan bajet, ambil diaspora Malaysia di luar negara bagi membantu kakitangan sedia ada.

Buka pasaran antarabangsa seluas-luasnya. Apabila menerokai pasaran luar negara, usahawan kita bukan saja akan jadi lebih berani tetapi inovatif.

Itulah  laluan Arianna Huffington, Dietrich Mateschitz, Elon Musk, dan Sergey Brin. Dan, itulah juga perjalanan yang harus ditempuhi oleh usahawan Malaysia!

* Penulis ialah Chief Explorer Officer, Enescorp International LLC, iaitu sebuah perusahaan sosial yang menerokai pasaran untuk perusahaan kecil Malaysia di Amerika Syarikat