SEKARANG semuanya semakin jelas. Mengikut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, pihaknya mendapati Cambridge Analytica telah memiliki data 87 juta pengguna platform media sosial itu secara tidak sah.

Ini bermaksud maklumat peribadi pengguna tersebut berpotensi dimanipulasikan oleh syarikat tersebut untuk apa saja tujuan, termasuklah politik dan ekonomi.

Dalam testimoni kepada Kongres Amerika Syarikat, Mark Zuckerberg memberitahu mengenai penglibatan negara luar dalam propaganda pilihan raya di negara itu. Apabila pihak ketiga memiliki data pengguna Facebook, mereka boleh menyasarkan propaganda itu.

Pengguna Facebook berkongsi pelbagai data. Ini termasuklah data asas mengenai umur, lokasi, jantina, keluarga, pendidikan dan afiliasi politik.

Selain itu, mereka juga berkongsi pemikiran politik. Melalui posting yang dibuat setiap hari juga, pengguna Facebook bercerita mengenai siapa yang mereka berjumpa, dengan siapa mereka berkawan dan apa yang mereka buat.

Facebook menggalakkan pengguna berkongsi dengan audiens apa yang ada di fikiran mereka.

Kesemua maklumat ini membentuk profil pengguna yang cukup baik. Facebook telah menangkap bukan saja data demografi, tetapi juga apa yang ada di minda pengguna. Belum pernah ada platform yang begitu hebat.

Selain Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah juga telah melancarkan siasatan mengenai penggunaan data Facebook untuk tujuan ekonomi dan politik secara tidak sah.

Di Filipina, Suruhanjaya Privasi Kebangsaan negara itu mengatakan Cambridge Analytica telah mengambil data 1.17 juta pengguna. Jumlah ini adalah yang paling besar di luar Amerika Syarikat. Mereka juga akan melancarkan siasatan untuk melihat adakah perbuatan sedemikian melanggar Akta Privasi Data di Filipina.

Persoalan-persoalan ini menarik untuk dilihat kerana Malaysia sekarang di ambang pilihan raya. Malah, wakil Cambridge Analytica juga membuat kenyataan bahawa mereka turut terlibat dalam pilihan raya di sebuah negeri sebelum ini.

Penglibatan konsultan dalam pilihan raya adalah perkara biasa. Semua parti politik menggunakan konsultan. Apa yang membimbangkan ialah konsultan tersebut menggunakan kaedah yang tidak sihat, termasuklah memperoleh data secara tidak sah.

Ada beberapa persoalan yang perlu kita tanya menjelang pilihan raya ini. Pertama, berapa banyakkah data pengguna Facebook Malaysia yang telah diambil secara tidak sah oleh Cambridge Analytica. Di Malaysia, ada 14.6 juta pengundi berdaftar. Berapa peratuskah data mereka yang diakses oleh syarikat itu.

Kedua, selain Cambridge Analytica, apakah lagi syarikat yang telah mengutip dan menggunakan data peribadi pelanggan secara tidak sah. Pengguna Facebook di Malaysia cukup gemar membuat kuiz dan menggunakan pelbagai apps pihak ketiga. Cambridge Analytica dan pihak yang membuat apps tersebut mengutip data dengan cara itu. Dalam dunia ini, tidak ada yang percuma. Apabila seseorang menggunakan apps, dia menyerahkan data peribadinya kepada pemilik apps itu.

Ketiga, selain Facebook atau platform media sosial di luar negara, bagaimanakah pembekal perkhidmatan di negara kita melindungi data. Ini termasuklah syarikat telekomunikasi dan pelbagai syarikat yang mengumpul data peribadi pengguna.

Kesemua ini merupakan persoalan yang wajar dijawab. Apabila kita bercakap mengenai Industri 4.0, kita bercakap mengenai kemampuan teknologi memanipulasikan maklumat dan data pengguna.

Kita yakin sebahagian data ini digunakan bagi tujuan yang baik dan bermanfaat. Malah, dalam Industri 4.0, data ini digunakan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman jenama (brand experience).

Namun di celah-celah kebaikan itu, ada petualang yang mengambil kesempatan. Inilah yang membimbangkan rakyat tatkala kita berhadapan dengan PRU14 ini. Bukan semua pengundi ada kekuatan mental dan kemahiran berfikir secara kritis.

Ada sesetengah pengguna menerima bulat-bulat maklumat yang dihantar kepada mereka. Apabila mereka lihat posting Facebook, mereka menerima itu sebagai kebenaran. Kalau pun tidak, mereka akan menyebarkan posting yang dilihat menguntungkan kabilah politik mereka; walaupun itu pembohongan.

Organisasi seperti Cambridge Analytica mengambil kesempatan daripada kejahilan pengguna. Apabila kejahilan ini bertukar menjadi undi, ia amat menakutkan!

* Norizan Sharif ialah penganalisis sosiopolitik, kini berada di Minnesota, Amerika Syarikat