TAHNIAH Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ia sekali gus menyaksikan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, melepaskan jawatan tersebut.

Di mata saya, Dr Wan Azizah lebih dari setakat isteri Anwar. Beliau merupakan seorang pemimpin yang menerajui parti politik. Dr Wan Azizah telah memimpin parti itu dari sebuah parti jalanan sehingga akhirnya berjaya membentuk kerajaan.

Ketabahan beliau diuji. Kewibawaannya dibentuk melalui proses yang cukup panjang. Saya tak fikir ada ahli politik Malaysia melalui apa yang dilalui beliau.

Kesemua ini menjadi Dr Wan Azizah bukan sekadar pemimpin wanita, tetapi pemimpin parti dan negara yang hebat. Pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri jelas memperlihatkan kewibawaan itu. Dia wanita pertama menjawat jawatan tersebut.

Apabila beliau mengundurkan diri, maka politik Malaysia kehilangan seorang tokoh wanita. Sekiranya beliau juga menarik diri dari jawatan Timbalan Perdana Menteri jika ditakdirkan Anwar menjadi Perdana Menteri, maka Malaysia kehilangan seorang lagi tokoh wanita.

Saya faham mengapakah ia berlaku. Dan, ramai orang boleh faham sekiranya Dr Wan Azizah memilih untuk tidak jadi Timbalan Perdana Menteri pada suatu hari nanti.

Dalam politik Malaysia, tidak ramai wanita berada pada tampuk kepimpinan. Begitu juga dalam sektor korporat.

Sehingga akhir tahun lalu, bilangan ahli lembaga pengarah wanita dalam 100 syarikat senaraian awam paling besar berdasarkan modal pasaran di Malaysia tidak sampai 20%. Bukan setakat itu, 14 syarikat tersebut juga tidak mempunyai seorang pun ahli lembaga pengarah wanita.

Statistik pada peringkat antarabangsa juga kurang memberangsangkan. Setahun lalu, ada 32 orang wanita yang menjadi CEO syarikat-syarikat dalam Fortune 500. Sekarang, hanya tinggal 24 orang sahaja.

Terbaharu, Indra Nooyi melepaskan jawatan sebagai CEO PepsiCo. Sebelum itu, Marissa Mayer meninggalkan Yahoo, Irene Rosenfeld menamatkan perkhidmatan dengan Mondelez dan Meg Whitman berhenti menerajui Hawlett Packard Enterprise.

Wanita yang memegang jawatan itu dilantik atas kapasiti mereka sendiri, bukan sebab mereka wanita. Sebab itulah dalam tempoh 12 tahun Indra Nooyi menjadi CEO, jualan PepsiCo meningkat 80%. Beliau juga berjaya menjadikan bisnes tersebut lebih hijau.

Walaupun Dr Wan Azizah berjaya melangkah ke jawatan Timbalan Perdana Menteri dan presiden parti, sehingga kini belum ada lagi wanita yang menjadi Ketua Setiausaha Negara. Jawatan paling tinggi disandang wanita ialah Ketua Setiausaha kementerian dan beberapa ketua-ketua perkhidmatan yang lain. Sektor awam di Malaysia bergerak lebih perlahan berbanding politik di negara kita.

Mungkin sudah sampai masanya untuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melantik wanita sebagai Ketua Setiausaha Negara apabila Tan Sri Dr Ali Hamsa bersara suatu hari nanti. Saya fikir ramai penjawat awam wanita yang mempunyai kualiti kepimpinan yang baik.

Sekiranya Dr Mahathir boleh melantik anak muda sebagai menteri, saya tidak melihat apakah alasan untuk beliau tidak boleh melantik wanita ke jawatan itu.

Ada orang kata pastikan wanita yang dilantik sama ada dalam jawatan politik, korporat atau sektor awam berkualiti; bukan sekadar memanaskan kerusi. Saya setuju dengan pandangan itu.

Dr Wan Azizah yang dicanai dalam politik, adalah contoh betapa wanita ada kekuatan untuk menghadapi tribulasi yang membentuk kepimpinan beliau. Suka atau tidak, gaya kepimpinan Dr Wan Azizah sekarang adalah hasil apa yang dilalui beliau selama ini.

Sementara kita mahu melihat lebih ramai wanita berada pada tampuk kepimpinan, kita berharap Dr Wan Azizah kekal di kerusi Timbalan Perdana Menteri sehingga pilihan raya akan datang. Bukan kerana dia wanita, tetapi kerana dia layak untuk berada di situ.

* Norizan Sharif ialah penganalisis politik. Buku beliau “Tunggu Apa Lagi” yang membicarakan politik muafakat telah diterbitkan oleh Karangkraf sebelum ini.