SEWAKTU artikel ini ditulis, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau akan umumkan 10 orang menteri Kabinet. Dan, media juga melaporkan bilangan anggota Kabinet tidak akan lebih 30 orang.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 dahulu, saya pernah sarankan agar kerajaan mengehadkan kepada 10 orang menteri saja. Bagaimanapun cadangan saya itu dibakulsampahkan.

Dalam politik Malaysia, semua ahli Parlimen melihat mereka pekerja, bukan wakil rakyat. Mereka tidak lihat diri mereka sebagai legislator seperti di Amerika Syarikat. Saya tak salahkan mereka kerana sebahagian besar politikus kita ialah 'career politician'.

Mereka melihat jawatan sebagai menteri Kabinet sebagai peluang untuk bekerja. Mereka tidak lihat peranan sebagai penggubal undang-undang di Parlimen itu penting.

Oleh kerana Malaysia kini mempunyai pentadbiran baharu, saya fikir elok kita lihat semua sistem dan aturan bernegara kita. Saya mencadangkan agar fungsi Parlimen kita dimantapkan lagi. Kerajaan usah layani ahli-ahli Parlimen seperti dulu.

Parlimen bukan rubber stamp. Berikan peluang kepada ahli-ahli Parlimen menyokong dan membantah apa saja cadangan undang-udang, termasuklah oleh kerajaan. Berikan ruang untuk mereka benar-benar berfungsi sebagai pengimbang dalam sistem demokrasi luhur.

Kalau ini dapat dilakukan, maka kita telah melakukan reformasi struktur yang cukup penting.

Apabila ahli-ahli Parlimen memainkan peranan sebagai legislator, maka Perdana Menteri tidak perlu ada Kabinet besar. Saya berpendapat 10 orang anggota Kabinet cukuplah.

Penyatuan kementerian-kementerian juga boleh meningkatkan kecekapan pengurusan kerajaan. Dengan cara ini koordinasi antara kementerian dan jabatan yang selalu melambatkan sistem penyampaian dapat diatasi.

Apabila fungsi jabatan disatukan di bawah sebuah kementerian dan seorang menteri, keputusan dapat dibuat dengan lebih pantas. Manakala fungsi bertindih disatukan. Ia merupakan satu proses rasionalisasi sektor awam yang dinanti-nantikan.

Maka, timbul persoalan mampukah menteri yang sedikit melakukan kerja yang banyak? Di sinilah saya fikir kepada keperluan untuk menghakupayakan (empower) penjawat awam.

Berikan kuasa penuh kepada Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah untuk buat keputusan. Menteri fokus kepada memberikan kepimpinan saja. Menteri tak perlu buat kerja pegawai.

Selain itu, Perdana Menteri juga boleh melantik lebih ramai timbalan menteri dan pembantu menteri bagi membantu tugas-tugas menteri. Mereka ini boleh dilantik daripada kalangan ahli-ahli Parlimen dan juga profesional. Mereka tidak perlu hadir mesyuarat Kabinet kerana mereka bukan jemaah menteri.

Berikut ialah cadangan bagaimana kementerian sedia ada boleh disatukan menjadi 10 kementerian. Dikekalkan kementerian berikut:

(1) Kementerian Kewangan

(2) Kementerian Keselamatan

Dalam Negeri

(3) Kementerian Pertahanan

(4) Kementerian Luar Negeri

Kementerian baharu diwujudkan hasil gabungan kementerian-kementerian sedia ada:

(5) Pendidikan dan Modal Insan (Education and Employment).

Gabungkan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, dan Kementerian Sumber Manusia.

(6) Pertanian, Perladangan dan  Makanan

Gabungkan Kementerian Pertanian dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Industri.

(7) Sains, Teknologi dan Komunikasi

Gabungkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

(8) Pembangunan Negara

Gabungkan Kementerian Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah, dan Kementerian Kerja Raya.

(9) Pembangunan Usahawan

Gabungkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Pelancongan, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna.

(10) Pembangunan Sosial

Gabungkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Pembangunan Bandar.

Saya juga mencadangkan agar diwujudkan jawatan baharu iaitu “jurucakap kerajaan” (government spokeman) bagi meningkatkan komunikasi dengan rakyat. Jawatan “menteri penerangan” dimansuhkan.

Sanggupkah kita melakukan reformasi? Atau adakah kita masih mahu meneruskan sistem lama yang mengagihkan jawatan menteri kepada pendukung parti?

* Norizan Sharif ialah penganalisis sosiopolitik, kini berada di New Jersey, Amerika Syarikat