SAYA terpandang seorang remaja yang sedang melengung di sebuah bistro. Di hadapannya ada sebuah komputer riba. Dia kelihatan tiada bersemangat. Saya menyapanya dan bertanya apa masalahnya. Rafie, nama remaja itu memberitahu saya yang dia penat membuat pelbagai promosi baju-T di dalam laman sosial Facebooknya.

Namun tidak ramai yang membeli produknya. Katanya, dia mahu sahaja berhenti dan mencari kerja daripada berniaga secara dalam talian. ‘Rajin dan usaha tangga kejayaan.’ Itu sahaja nasihat saya apabila Rafie meminta pendapat saya mengenai usahanya.

Ramai di antara kita yang sudah biasa dengan pepatah di atas. Namun,  apakah kita menyedari bahawa pepatah di atas masih lagi relevan? Jika kita ingin berjaya dengan apa yang kita lakukan, buatlah sesuatu dengan konsisten. Sama ada cepat atau lambat, jika kita beristiqamah dengan sikap rajin dan usaha dengan apa yang kita lakukan, Insya-ALLAH ia akan menempa kejayaan.

Nabi Nuh a.s telah menerima wahyu daripada ALLAH SWT agar membina sebuah bahtera untuk menyelamatkan kaumnya yang beriman daripada banjir besar. Tatkala baginda membinanya pun, dia telah dicemuh oleh kaumnya yang tidak mahu beriman. Dia diperlekeh dan diperli. Namun baginda konsisten dalam apa yang dia lakukan kerana sudah punyai visi akhir projeknya. Akhirnya, apabila banjir besar datang, dia berjaya menyelamatkan kaumnya.

 Pencipta Thomas Elva Edison telah melakukan lebih 1,000 kali eksperimen hingga berjaya membuat mentol lampu elektrik. Usahanya diragui oleh ramai saintis yang lain. Namun apabila berjaya, beliau ditanya oleh seorang pemberita, apa perasaannya kerana gagal lebih 1,000 kali dalam penciptaannya? Jawab Thomas, “Saya bukannya gagal 1,000 kali. Mentol lampu yang saya buat ini adalah ciptaan setelah menapak lebih 1,000 langkah.”

Jutawan China, Jack Ma telah menghadapi lebih tujuh kali kegagalan dalam hidup sebelum beliau berjaya membina empayar Alibabanya. Beliau banyak kali gagal dalam peperiksaan di sekolah, hanya mendapat satu markah dalam peperiksaan Matematik, gagal memasuki Universiti Havard setelah mencuba 10 kali dan juga gagal dalam lebih 30 temu duga kerja. Hanya kedegilannya untuk bersikap rajin dan usaha sahaja yang akhirnya menjadikan dia seorang bilionair.  

Bagaimanapun, pada hari ini, situasinya sudah berbeza. Jika dahulu, mereka di sekeliling seperti rakan taulan dan keluarga boleh menjadi peluntur semangat. Niat kita untuk mula berniaga, berhenti merokok, berubah perangai ataupun membela kambing sebagai suatu perusahaan akan mengundang banyak kritik daripada mereka di sekeliling kita.

Kini, oleh kerana tenggelam di alam siber, mereka di sekeliling kita pun tidak akan peduli dengan apa yang kita lakukan. Terlalu banyak perhatian mereka terarah kepada apa yang terpapar di telefon masing-masing. Media sosial, video, sembang dan juga permainan menjadikan mereka tidak mahu ambil tahu dengan apa yang kita lakukan. Ketidakpedulian ini juga akan melemahkan semangat kita.

Telefon sebenarnya memisahkan manusia hingga menjadi individu-individu yang berada di dalam dunianya yang tersendiri. Kerana itu, apa yang ingin dilakukan tidak akan mudah menarik perhatian. Jika tiada kritik, cemuh dan perli dari orang di sekeliling, ia juga menjadikan kita berasa apa yang kita usahakan itu tiada maknanya.

Justeru, bagaimana? Kita kena berpegang juga dengan prinsip rajin dan usaha tangga kejayaan. Dalam suasana yang berbeza, prinsip kejayaan masih serupa. Jika dahulu menjadi perhatian tetapi dicemuh lalu melemahkan semangat, kini tidak dipedulikan juga akan melemahkan semangat.

Berbalik kepada Rafie, saya menasihatinya agar terus melakukan apa yang ingin dilakukannya secara konsisten. Jangan sekali-kali berhenti. Dengan begitu banyak aplikasi dan pelbagai perkara yang mengasyikkan sesiapa sahaja, mereka tidak akan peduli apa yang Rafie usahakan.

Tetapi, algorithm di dalam media sosial itu direka untuk memaparkan siapa yang kerap menaikkan status. Ertinya, siapa yang paling banyak memaparkan statusnya, maka paparan dialah yang akan lebih kerap muncul.

Saya menasihati Rafie agar memahami numbers game dalam dunia siber. Meskipun kualiti menjadi keutamaan, kuantiti jugalah apa yang bakal menarik perhatian orang. Lakukan sehingga mereka yang sibuk dengan dunianya terperasan akan kehadiran kita. Apabila waktunya tiba, usaha kita akan menjadi besi berani yang akan menarik pelanggan menghampiri kita.

Pokoknya, jalan menuju kejayaan itu memang sunyi dan gelap. Kita perlukan lampu suluh yang baterinya adalah semangat kita sendiri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • INDUSTRI persuratkhabaran mula berkembang di Eropah. Pada awalnya, akhbar ditulis tangan dan beredar di Venice pada 1566.
  • SEKALI-sekala, saya akan bertemu dengan ahli politik yang berjawatan menteri. Selalunya, daripada apa yang saya perhatikan, mereka adalah di antara orang yang sibuk dengan pelbagai tugas kerana ruang lingkup peranan mereka yang luas. Seseorang menteri adalah juga seorang pemimpin di peringkat kawasan kampungnya, di peringkat negeri dan di peringkat nasional.
  • DALAM hidup, kita perlu memainkan pelbagai peranan. Peranan-peranan ini kita ketahui secara perlahan-lahan melalui pengalaman dan juga apabila ia diajar oleh ibu bapa mahupun guru.
  • KITA menyimpan banyak sekali wajah-wajah manusia di dalam memori. Wajah yang paling awal kita simpan ialah wajah ibu kita. Kemudian wajah bapa, diikuti dengan wajah mereka yang hampir dengan kita.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.