DARI semasa ke semasa, apabila timbul sesuatu isu yang punyai kepentingan  awam, kita akan dapati pihak media segera mendapatkan komen-komen daripada pakar-pakar bidang-bidang yang berkaitan.

Apabila terjadi ribut taufan Irma di Florida, baru-baru ini, media di sana mendapatkan ulasan daripada pakar-pakar kajicuaca, geografi, meteorologi, seismologi dan juga oceanografi. Skop ilmu terhadap sesuatu bidang itu semakin luas dan kita biasanya akan mendapat maklumat, malah ilmu baharu yang lebih terperinci daripada cendekiawan-cendekiawan ini.

Pada waktu yang sama muncul pula pakar-pakar segera yang mengulas kejadian alam itu. Mereka memperkatakan mengenai isu itu hanya dengan merujuk bahan bacaan masing-masing di prof Google.

Mereka petik daripada fragmen-fragmen berita, catatan di blog, Facebook, Twitter dan cebisan-cebisan video di YouTube. Komen-komen mereka lazimnya disalut sensasi seolah-olah apa yang diulas itu seolah-olah seperti pandangan pakar juga. Beriya-iya sehinggakan kita turut percaya dan berkata, ‘ya, ya,’ di dalam hati.

Di negara kita pun apa kurangnya. Misalnya, baru-baru ini, apabila timbul berita perhimpunan kaum Rohingya di Jalan Ampang, banyak sekali komen ala-ala pakar ekonomi, sosial dan juga politik.

Ada juga yang lebih berani yang memberi komen daripada sudut sejarah tentang kepalsuan identiti kaum Rohingya di Myanmar. Padahal, ulasan tiga suku masak itu dipetik daripada laman-laman web yang tidak sahih. Kononnya hendak menjadi cyber warrior, tetapi sebenarnya hanya cyber scum ~ sampah siber yang patut sekali dienteng-entengkan.

Namun, apabila persepsi itu diulang tayang, diperbesar dan ditular, maka pandangan masyarakat akan mudah mempercayainya. Komen dan ulasan mereka yang menyamar menjadi pakar itulah yang lazimnya menjelmakan sesuatu persepsi itu menjadi realiti.

Bahayanya ialah, persepsi yang negatif itu akan dipercayai sebagai sesuatu yang benar. Ia benar-benar akan mengubah public opinion. Dan, public opinion yang terpapar di internet itu lebih berbahaya kerana jika ia palsu, masyarakat yang percaya sesuatu yang tidak betul dan memberi reaksi yang tidak betul juga. Mempercayai sesuatu yang salah akan mengakibatkan kita salah bertindak.

Soalnya di sini, bagaimanakah kita berdepan untuk membanteras sesuatu yang tidak benar itu? Andainya kita seorang individu dan kita berdepan pula dengan fitnah yang mencemarkan nama baik, cara yang tepat menanganinya ialah dengan berdiam diri sehingga sesuatu fitnah itu mati begitu sahaja.

Kita semua berada dalam dunia yang serba-serbi laju dan begitu cepat berubah. Banyak pula hal-hal yang boleh mengalih perhatian kita dalam masa beberapa saat. Lebih-lebih lagi apabila kita punyai telefon pintar; ingatan kita mengenai sesuatu perkara itu akan lebih singkat kerana belum pun sempat kita menghazam sesuatu perkara, perkara lain pula yang muncul.

Kerana itu, sesuatu yang menjadi topik bualan yang hangat pada hari ini akan begitu cepat dilupakan pada keesokkan harinya. Orang tak akan ingat masalah kita sebab ada beratus-ratus masalah baharu yang menjadi perhatian pada hari esoknya.

Seandainya ia masih menular dalam masa dua-tiga hari, adalah bagus jika suatu laporan polis dibuat dan kita menularkan pula langkah kita itu di laman sosial. Dengan cara itu, yang heboh dan kepoh itu akan senyap-senyap mengundur diri ataupun terus memadam status yang boleh dijadikan bukti untuk tindakan undang-undang terhadapnya.

Tetapi, bagaimana pula seandainya ia sesuatu isu yang begitu besar dan tidak henti-henti diperkatakan oleh ratusan netizen? Jika kita berdiam diri, komen serta kongsi akan menular dan kekal diperkatakan. Kadangkala, apa yang sudah sejuk akan panas kembali seandainya ia diperkatakan oleh orang yang baharu mengetahuinya meskipun setelah berbulan berlalu.

Apa pula yang patut dilakukan pada sesuatu perkara yang diperkatakan secara negatif oleh ratusan malah ribuan netizen? Jawabnya, kita perlu menjawab secara besar-besaran juga. Bukan secara api dilawan dengan api, tetapi api dilawan dengan air.

Itulah yang sebenarnya terjadi pada pandangan-pandangan negatif terhadap isu Rohingya baru-baru ini. Apabila komen-komen negatif mula menular dan meliar, ramai aktivis NGO yang turun padang untuk membalas balik komen-komen yang negatif itu.

Hanya beberapa hari isu negatif itu menular, ia disejukkan dengan pandangan-pandangan yang lebih bertanggungjawab dan hands-on oleh mereka yang berpengalaman di medan. Nampaknya, semakin sehari kita semakin nampak jalan bagaimana sesuatu yang tidak betul itu boleh dilawan dan dimenangi.

Cyber warrior mesti ditentang oleh cyber trooper. Maknanya kena ada ramai tenaga untuk memperbetulkan yang silap. Cuma adatlah, meruntuh itu lebih mudah daripada membina; apatah lagi untuk membaik pulih.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BANYAK pihak sudah meneka bilakah PRU-14 akan diadakan. Pengulas dan penganalisis politik serta ramai kolumnis media telah cuba meramal tarikh itu. PM pun juga ditanya. Beliau sekadar menjawab, ‘belum dapat ilham.’ Walau bagaimana pun, SPR sudah pun memulakan taklimat persediaan kepada para petugasnya. Pilihanraya dah dekat.
  • SAYA terbaca sebuah artikel pendek yang tular melalui Whatsapp. Artikel yang berjudul PESAN ALAM itu antaranya mempunyai inti pemikiran yang menarik buat renungan kita bersama.
  • BILL Gates, usahawan terkenal seantero dunia dengan perisian Microsoft pernah berkata, dia membaca 50 buah buku setahun.
  • TATKALA menjalankan tugas, saya bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Biasa juga berdepan dengan berbagai kerenah dan bersemuka dengan bermacam tahap pemikiran.
  • PILIHAN keutamaan di antara kualiti dan kuantiti sering diperdebatkan. Ada pandangan mengatakan, bila kita terlalu menitikberatkan kualiti, maka kita tidak akan dapat mencapai sasaran kuantiti.