SAYA lega Malaysia, Indonesia dan Thailand telah bersetuju untuk memberikan perlindungan sementara dan bantuan kemanusiaan kepada ribuan pelarian Rohingya yang dikatakan telah terkandas di perairan Asia Tenggara.

Namun begitu, saya berasakan bantuan ini sepatutnya telah diberikan lebih awal. Tindakan yang lebih pantas dalam hal ini mungkin dapat menyelamatkan lebih ramai orang daripada sebarang kesengsaraan, mungkin juga daripada kematian.

Apa yang pasti, krisis ini telah menunjukkan dengan jelas beberapa kelemahan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean), yang mana Malaysia merupakan Pengerusinya.

Tahun 2015 ini sepatutnya merupakan tahun di mana masyarakat Asean bersatu sebagai satu komuniti, namun begitu barisan pertahanan dan perisikan kita gagal untuk mengesan bila kapal-kapal itu bertolak, dan dikatakan telah dibantu oleh penyeludup manusia.

Pada masa sama, dan yang lebih menghampakan adalah kegagalan kita untuk menghentikan keganasan dan penindasan ke atas kaum Rohingya di Burma yang menjadi penyebab utama mereka terpaksa melarikan diri dari Rakhine.

Kita haruslah sedar bahawa kapal-kapal ini tidak akan berhenti datang ke perairan ini selagi mana kita tidak mengatasi masalah perkauman yang berlaku di Burma.

Krisis Rohingya ini boleh dikatakan masih diambang permulaan, dan sama ada kita setuju atau tidak, Malaysia haruslah memimpin sebarang usaha untuk menyelesaikannya.

Kenapa? Apa kena-mengena dengan kita? Malaysia, seperti yang diperkatakan tadi, merupakan Pengerusi Asean. Kita juga sebahagian daripada Majlis Keselamatan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Manakala Burma adalah sebahagian daripada Asean dan PBB.

Pada pendapat saya, ini bukanlah melanggar prinsip “tidak campur tangan” negara-negara Asean. Salah satu paksi utama komuniti rantau ini adalah “Komuniti Keselamatan-Politik Asean”.

Kita tidak akan mungkin boleh mengharapkan kestabilan dan keselamatan politik di rantau ini jika kita terus membenarkan krisis pelarian Rohingya dan masalah penyeludupan manusia berterusan.

Rohingya juga adalah saudara Islam kita. Tidakkah kita bersifat hipokrit jika kita lantang bersuara dalam kes-kes lain yang lebih jauh tetapi tidak mengendahkan penindasan ke atas kaum Rohingya?

Sekali lagi, kerajaan Turki di bawah Parti AK pimpinan Recep Teyip Erdogan dan Ahmet Devutoglu telah menunjukkan ciri kepimpinan sebenar dengan menghantar kapal-kapal besar dari Turki untuk menyelamatkan kaum Rohingya. Ia amatlah memalukan untuk kita.

Kaum Rohingya ini tiada pelindung di rumah mereka sendiri, sedangkan Aung San Suu Kyi yang merupakan pejuang hak asasi manusia yang dikenali di seluruh dunia juga hanya mampu berdiam diri dan tidak menunjukkan kaliber seorang pemimpin.

Oleh itu, Malaysia mestilah menunjukkan kepimpinan untuk mengatasi bencana yang mendatang. Kita mestilah bekerjasama dengan Asean dan Majlis Keselamatan PBB untuk memberi tekanan kepada Burma supaya menghentikan sebarang keganasan ke atas Rohingya dan mengembalikan hak mereka sebagai rakyat.

Dalam pada itu, kita mestilah mengenal pasti dan menghapuskan sindiket penyeludupan manusia yang kian berleluasa di seluruh rantau ini. Setiap perubahan mestilah diusahakan di rumah sendiri juga.

Kita mesti pastikan Rohingya yang dilindungi di Indonesia dan negara kita sendiri dijaga dengan baik dan tidak dieksploitasi atau ditindas. Rohingya yang berada di sini tidak seharusnya dihantar pulang selagi mana masalah politik di Myanmar belum selesai.

Kejadian ini juga sepatutnya menjadi anjakan kepada Malaysia untuk memperincikan kemungkinan menandatangani Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 (1951 Convention on the Status of Refugees) dan Protokol 1967.

Ia amatlah memalukan bagi rantau ini kerana hanya Filipina dan Kemboja yang telah menandatangani perjanjian antarabangsa itu.

Dengan menandatangani Konvensyen Pelarian itu, Malaysia pasti lebih hampir memenuhi tanggungjawab hak asasi manusia dan akan lebih komited untuk memberi perlindungan yang baik kepada pelarian, terutamanya kanak-kanak.

Membelakangi Rohingya akan menyebabkan ketidakstabilan dan kesengsaraan di rantau ini untuk berterusan berdekad lamanya.

Malaysia mestilah menunjukkan kepimpinan pada masa yang begitu genting ini.

* Nik Nazmi Nik Ahmad Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia