SEKALI lagi kita sudah masuk musim bajet. Sebagai Exco Pendidikan Kerajaan Negeri Selangor, fokus perincian saya dalam ucapan Perdana Menteri adalah berkenaan polisi dan inisiatif yang mampu menambahbaik mutu pendidikan negara ini.

Saya boleh merumuskan, bajet ini agak mengecewakan dalam perkara ini.

Perkara yang paling membimbangkan dalam Bajet 2017 ini adalah potongan besar bajet operasi universiti-universiti awam Malaysia.

Saya hanya perlu berikan dua contoh, iaitu bajet untuk Universiti Kebangsaan Malaysia yang dipotong kepada RM352.7 juta daripada RM512.33 juta sebelumnya (potongan 31.16%), manakala Universiti Teknologi Mara pula dipotong sebanyak 25.2%, iaitu daripada RM2.23 bilion kepada RM1.67 bilion.

Secara keseluruhannya, peruntukan keseluruhan bagi 20 universiti awam pada tahun 2017 jatuh sebanyak 19.23%, iaitu daripada RM7.57 bilion kepada RM6.12 bilion.

Ini juga potongan besar untuk tahun kedua berturut-turut selepas potongan teruk pada bajet tahun lepas.

Saya rasa masyarakat memahami bahawa penjimatan adalah perlu terutamanya dalam keadaan ekonomi global yang kurang stabil ini.

Tapi tidakkah universiti awam patut diberi pelepasan daripada potongan ini?

Sepatutnya dalam keadaan begini pendidikan, yang merupakan satu perkara asas dan bermanfaat secara meluas termasuklah memenuhi keperluan pekerjaan, adalah cara terbaik untuk membantu golongan B40 dan M40 yang diperkatakan oleh Perdana Menteri di dalam ucapannya.

Tidakkah patut lebih banyak penjimatan boleh dibuat daripada RM15.9 bilion yang diperuntukkan kepada Pejabat Perdana Menteri sendiri, yang jelas masih terlalu besar?

Saya bukanlah hendak menggalakkan pemberian wang sewenang-wenangnya kepada universiti awam.

Universiti juga perlu membuktikan kemampuan dan kebolehan mereka selepas mutu yang kian merudum. Universiti mestilah menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka mampu mengeluarkan graduan yang kompetitif, dan juga penyelidikan yang berkualiti.

Tetapi pada masa yang sama kita patut sedar bahawa universiti pasti menghadapi kekangan yang lebih besar untuk berubah dengan peruntukan yang semakin berkurangan.

Dalam pada itu kita pula boleh lihat penambahan berganda-ganda untuk program Permata, misalnya yang diselia oleh isteri Perdana Menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri, daripada RM36.3 juta pada tahun 2016 sehingga RM85 juta untuk tahun 2017, satu kenaikan yang melebihi 100%.

Permata ini merupakan satu program yang boleh dipersoalkan kerana ia tidak dimasukkan di bawah portfolio mana-mana menteri sedangkan ia berkait rapat dengan pendidikan, atau kebajikan, namun ia diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Adakah kita sudah jelas dengan manfaat daripada program itu sehingga Bajet boleh dilipat ganda begitu sekali?

Tidak semua yang di dalam Bajet 2017 itu tidak baik. Saya menyokong langkah kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM4.6 bilion untuk kehadapankan agenda TVET, tambahan pula dengan penggunaan sembilan maktab perguruan kepada kolej politeknik dan vokasional.

Tetapi ini juga mengundang pertanyaan, mengapa maktab-maktab ini seakan-akan tidak digunakan?

Ini hanya menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan mempunyai mekanisme perancangan yang lemah, dan ini membuatkan saya khuatir tentang “transformasi” yang hendak dibawa oleh mereka.

Proses ini akan memakan belanja sebanyak RM400 juta, bukanlah jumlah yang kecil. Ke manakah wang ini akan dibelanjakan?

Perkara-perkara seperti ini dan beberapa kelemahan yang lain di dalam bajet ini memberi gambaran bawah Bajet ini merupakan bajet anti-pendidikan. Iaitu suatu bajet yang semakin melebarkan kerajaan yang sudah parah, tetapi menggadaikan kepentingan rakyat Malaysia.



* Nik Nazmi Nik Ahmad
Ahli  Dewan Undangan Negeri Seri Setia