Isu terbaru melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Damansara Utama Methodist Church (DUMC) mengingatkan saya lawatan ke sebuah rumah perlindungan mangsa HIV Islam di Subang Jaya beberapa tahun lepas.

Salah seorang anggota Keadilan di cabang saya aktif di sebuah masjid di sana. Beliau memperkenalkan saya ke rumah perlindungan tersebut yang dikendalikan qariah masjid tersebut secara sukarela.

Kepentingan rumah tersebut ialah memandangkan seperti mana diketahui, prejudis terhadap mangsa HIV dan Aids masih berleluasa dalam masyarakat kita. Justeru ramai di antara mereka menghadapi masalah untuk kembali kepada keluarga selepas meninggalkan hospital dan penjara.

Hakikatnya ada mangsa HIV dan Aids Muslim yang menerima bantuan masyarakat Kristian. Ini sudah tentu bukan petanda baik bagi pihak berkuasa agama malah umat Islam di negara kita. Pihak berkuasa agama sepatutnya menjaga kebajikan umat Islam dengan sumber ratusan juta ringgit.

Menariknya dalam kes ini, ada sebuah gereja terlibat yang bekerjasama dengan rumah tersebut untuk menghantar mangsa HIV Muslim pulang.

Kita sewajarnya sangat prihatin dengan gejala murtad. Tetapi untuk menumpukan pada faktor luaran semata-mata tanpa melihat kegagalan kita sendiri sebagai masyarakat Islam menanganinya, bermakna kita tidak jujur pada diri.

Ya, mungkin mangsa HIV ini sengaja mengasingkan diri daripada keluarga mereka. Ya, ada di antara mereka terlibat dalam dadah dan seks bebas (walaupun kita sering terlupa jangkitan HIV juga datang daripada suami-isteri serta pemindahan darah). Tetapi itu bukan alasan agar mereka tidak dilayan dengan baik sebagai manusia, apatah lagi untuk mereka meninggal dunia di luar Islam.

Islam menekankan sifat Allah SWT yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tidak kiralah masa lampau mereka, mereka boleh diampunkan sekiranya bertaubat.

Sewaktu lawatan, saya menyedari rumah tersebut menerima ramai pelawat. Bukan sahaja pegawai-pegawai Jabatan Penjara dan Hospital (ramai mangsa HIV di rumah tersebut datang dari penjara ataupun hospital) tetapi juga ketua gereja yang disebutkan di atas, yang memindahkan mangsa HIV Muslim ke rumah tersebut.

Saya bertanya kepada mereka sama ada mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa agama. Qariah masjid ini mengatakan sudah mencuba tetapi dimaklumkan pihak berkuasa tersebut ada ‘rancangan sendiri’ lantas tidak akan menyumbangkan walau satu sen. Saya tertanya-tanya mengapa usaha murni sebegini tidak dibantu sejak mula, apatah lagi ketika rumah perlindungan ‘rasmi’ masih lagi di ‘peringkat perancangan’?

Justeru saya bersetuju dengan pandangan bahawa kita harus meneliti semula bagaimana wang zakat dibelanjakan di Malaysia. Wang zakat boleh diuruskan dengan lebih baik.

Misalnya, saya terkejut apabila diberikan buah tangan selepas menghadiri acara penyampaian zakat kepada fakir miskin. Saya bersangka baik yang buah tangan itu bukanlah daripada wang zakat, tetapi amalan itu menghantar mesej yang salah kepada masyarakat.

Ini mengingatkan saya kepada kisah moyang saya, Haji Wan Musa Abdul Samad, Mufti Kelantan antara 1908 hingga 1916. Ketika Sultan dan majlis agama ingin membina bangunan konkrit Masjid Muhammadi (masjid negeri di Kelantan) untuk menggantikan binaan kayu – sebahagiannya menggunakan zakat fitrah - beliau meletak jawatan memandangkan fitrah diutamakan untuk fakir miskin dan bukannya untuk pembangunan.

Baru-baru ini seorang pengundi di kawasan saya menceritakan kisah pengemis Yahudi buta. Pengemis ini gemar mencela Nabi Muhammad SAW sebagai orang gila dan ahli sihir di pasar Madinah. Apabila Rasulullah mendapat tahu tentang perkara ini, Baginda tidak marah sebaliknya melawat pengemis tersebut tiap-tiap hari untuk menyuapkannya tanpa berkata apa-apa.

Apabila Rasulullah wafat, Saidina Abu Bakar as-Siddiq mengambil alih tanggungjawab tersebut. Tetapi apabila beliau menyuapkan pengemis tersebut, pengemis tersebut naik marah dan mengatakan ini bukan orang sama yang menyuapnya selama ini.

Abu Bakar terus menangis dan menceritakan bahawa orang yang menyuap pengemis tersebut setiap hari tidak lain dan tidak bukan Rasulullah sendiri. Pengemis tersebut terkejut, teringat celaannya tiap-tiap hari terhadap seorang Nabi yang hanya membalasnya dengan kebaikan. Akhirnya, pengemis tersebut memeluk Islam.

 

  • Semua pandangan yang dikemukakan adalah pendapat peribadi penulis dan tidak mewakili pendapat Sinar Harian. Pihak kami telah menyunting artikel supaya lebih jelas dan ringkas untuk memudahkan kefahaman pembaca