TERDAPAT perdebatan sengit di media arus perdana dan sosial mengenai sejauh mana pembaharuan, sama ada dari segi politik atau ekonomi, patut dicapai di Malaysia selepas PRU14.

Beberapa pihak berpendapat bahawa kita memerlukan perubahan pesat dan drastik untuk memastikan kemenangan yang diperoleh pada 9 Mei 2018 dipertahankan.

Pihak lain pula berpendapat bahawa kita perlu melakukan perubahan pada kadar beransur-ansur, terutamanya berkaitan dengan “isu sensitif”, iaitu raja-raja Melayu, Islam dan kedudukan istimewa Bumiputera.

Pakatan Harapan dipilih sebagai platform untuk memperbetul salah laku Barisan Nasional, bukan untuk meneruskan atau lebih teruk - mengeruhkan lagi salah laku tersebut.

Rakyat Malaysia, telah, selepas sekian lama, menggunakan kuasa mereka untuk menukar kerajaan secara aman dan mengikut lunas-lunas Perlembagaan.

Mereka tidak akan teragak-agak untuk menggantikan Pakatan Harapan sekiranya apa yang kami mampu berikan adalah sama dengan gaya pentadbiran Barisan Nasional.

Ini termasuk bukan sahaja gagal untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi sekiranya kami yang percaya dalam perubahan, tidak mampu untuk menjadikan kerajaan kita lebih cekap dan bertanggungjawab, ekonomi kita lebih adil dan dinamik.

Pada 9 Mei, rakyat juga telah memilih untuk meninggalkan politik asabiyyah, yang telah dieksploitasi oleh kerajaan yang dipimpin oleh Umno dan proksinya. Kita tidak boleh membenarkan semangat perpaduan ini terpadam.

Sesungguhnya, dalam jangka panjang, satu-satunya cara untuk orang Melayu dan Bumiputera dapat memajukan diri adalah dalam sebuah Malaysia yang merupakan demokrasi majmuk.

Tetapi pemimpin dan akar umbi Pakatan Harapan—sememangnya semua rakyat Malaysia—perlu menyedari bahawa kami juga perlu mengatur langkah bijak dalam persoalan pembaharuan.

Pada bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang, pelbagai percubaan akan dilakukan untuk memunculkan semula politik identiti.

Isu kaum dan agama akan digunakan untuk memecahbelahkan kerajaan dan mengadu dombakan rakyat.

Isu politik yang bersifat mampu memecah-belah ini akan digunakan untuk mematahkan perubahan yang dicapai lebih kurang sebulan yang lalu; untuk menamatkan keterbukaan dan kebebasan baru yang kita dapat nikmati sejak itu - bahkan mengurangkannya ke tahap lebih rendah daripada apa yang kita ada sebelumnya.

Rakyat Malaysia dan kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh sesekali terpedaya.

Bukan semua orang yang tidak bersetuju dengan kerajaan kita adalah jumud ataupun pelampau agama.

Kita mesti bijak mengatur strategi dalam perjuangan kita.

Pakatan Harapan, dipilih untuk memulihkan semangat dan mesej dokumen penting negara: Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia dan Rukun Negara.

Daripada Rukun Negara, kebanyakan daripada kita dapat mengingati lima tonggaknya, tetapi jarang mukadimahnya:

“Bahawasanya negara kita Malaysia mendukung cita-cita hendak: Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya; Memelihara cara hidup demokratik; Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati secara adil dan saksama; Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.”

Cita-cita ini perlulah dijadikan pedoman kita dari sekarang. Kita haruslah sentiasa berpandukan, dan mematuhi prinsip-prinsip asas kita.

Hal ini termasuk prinsip bahawa Malaysia merupakan satu demokrasi berparlimen dinaungi institusi raja berperlembagaan, dengan pengasingan kuasa serta semak dan imbang.

Bahawa terdapat kontrak sosial antara rakyat kita, tetapi fungsinya bukan untuk menjadi satu kaum tuan dan meminggirkan kaum lain.

Keterbukaan dan ketelusan mampu—malah perlu—wujud dengan kerukunan secara serentak.

Tiada siapa yang tewas atau khianat sekiranya agenda reformasi dilaksana secara seimbang dan berhikmah.

Dalam Malaysia baharu, seluruh rakyatnya harus diberikan peluang sama rata tanpa mengambil kira siapa mereka.

Namun begitu, risiko tindak balas negatif tidak boleh diperlekehkan.

Janganlah kita lupa bagaimana di Amerika Syarikat, kemenangan Barrack Obama pada tahun 2008 dan 2012 diikuti dengan kemenangan Donald Trump pada tahun 2016, ataupun bagaimana era Tony Blair, Gordon Brown dan David Cameron berakhir dengan Brexit.

Ini bukanlah panggilan untuk berhati-hati secara berlebihan atau untuk berundur dalam pembaharuan. Jauh sekali dari itu.

Tetapi, rakyat Malaysia yang percaya dalam perubahan mesti sedar bahawa terdapat banyak kerja untuk kita lakukan pada masa akan datang.

Sekiranya demokrasi hendak terus wujud di Malaysia, kerajaan Pakatan Harapan haruslah mampu meredakan kebimbangan semua rakyat Malaysia, serta menaikkan kedudukan mereka, dari segi martabat dan ekonomi mereka.

Untuk melakukan itu, pemimpinnya dan pengikutnya haruslah bekerjasama. Kami menang sebagai satu pasukan besar yang inklusif, kami mesti mentadbir sebagai satu pasukan besar yang inklusif.

Ini adalah saling berkaitan dan penting jika pembaharuan yang dicapai pada 9 Mei berkekalan.

* YB Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Ahli Parlimen Setiawangsa